Rumah mampu milik – di antara hak rakyat dan keuntungan pemaju

0
65
PPR public housing - Photograph: Choo Choy May/Malay Mail

Kemudahan perumahan rakyat biasa tidak harus dijadikan komoditi untuk keuntungan golongan pemodal. Keluarkan penyediaan perumahan rakyat daripada pasaran demi menghentikan harga rumah melambung naik, ujar R Karthiges.

Merujuk kepada kenyataan akhbar (The Star, berita online The Sun, 9 Oktober 2018), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa kerajaan persekutuan sedang mengusahakan projek perumahan mampu milik dan mampu sewa tetapi bergantung kepada kerajaan negeri sama ada mahu memberi tanah untuk projek tersebut atau tidak.

Lima agensi perumahan kerajaan akan bergabung untuk membentuk majlis perumahan mampu milik dan mengkordinasi pembangunan skim perumahan tersebut.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan usaha untuk memperluaskan pembinaan skim perumahan mampu milik untuk rakyat B40 tetapi pada masa yang sama memandang kenyataan tersebut menunjukkan kerajaan persekutuan mengharapkan kerajaan negeri untuk menyediakan tanah dilokasi bersesuaian untuk menjayakan perumahan mampu milik.

Isu pertama di sini ialah tanah untuk projek perumahan sedemikian. Walaupun kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam pentadbiran tanah, sekiranya projek pembangunan yang dijalankan adalah untuk kepentingan rakyat, maka kerajaan persekutuan ada caranya untuk mendapatkan tanah tersebut sekiranya kerajaan negeri berdegil untuk tidak memberi tanah.

Selain Akta Pengambilan Tanah 1960 boleh digunakan dengan bayaran pampasan yang minima, sebenarnya kerajaan persekutuan mempunyai simpanan tanah yang luas melalui GLCnya seperti Sime Darby di seluruh negara dan tanah tersebut boleh digunakan untuk kepentingan umum.

READ MORE:  Langkah untuk meringankan masalah B20

Jangan mengunakan alasan sebegini untuk tidak membina rumah mampu milik di negeri-negeri yang bukan dikuasai kerajaan Pakatan Harapan. Bagaimana pula kes-kes yang dibongkarkan mengenai tanah kerajaan di lokasi unggul dijual kepada pihak swasta dengan harga yang murah?

PSM mencadangkan kerajaan PH harus mengadakan satu moratorium untuk tanah persekutuan dan juga negeri untuk menghentikan transaksi tanah ke tangan pihak swasta. Suatu jawatankuasa khas harus ditubuhkan untuk meneliti perkara ini demi mengekalkan simpanan tanah kerajaan yang boleh digunakan untuk projek perumahan mampu milik.

Isu kedua ialah pemahaman kerajaan tentang hak perumahan rakyat kebanyakan. Kami, di PSM berpendirian bahawa “perumahan adalah hak rakyat” dan harus menjadi tanggungjawab kerajaan.

Pengalaman lampau membuktikan perbadanan kerajaan terlibat dalam pengusiran paksa peneroka bandar dan menggunakan alasan bahawa tanah diperlukan untuk projek perumahan kerajaan. Pada masa yang sama, tanah yang diperuntukan kepada perbadanan kerajaan disalurkan kepada syarikat kroni swasta untuk membangunkan skim perumahan. Kami risau tabiat lama ini masih berterusan dan sejauh mana kerajaan baru akan mengatasi masalah sedemikian.

Isu ketiga yang sama penting juga ialah harga perumahan mampu milik atau mampu sewa yang akan dibawa kelak. Jika dibiarkan, spekulasi harga tetap berlaku kerana niat terulung kaum koporat masih berpaksikan keuntungan.

Pengumuman gaji minima sebanyak RM1,050 (dinaikkan ke RM1,100 dalam Bajet 2018) yang mengecewakan bermaksud, dalam kata lain, seorang pekerja hanya mampu membeli rumah dengan harga dibawah RM67,000 dengan gaji tersebut (iaitu dengan kiraan bayaran ansuran bulanan perumahan tidak boleh melebihi satu pertiga daripada gaji penuhnya).

Persoalannya, adakah kerajaan PH berniat untuk membina rumah mampu milik dengan harga sekitar RM42,000 hingga RM70,000? Ataupun adakah kerajaan PH juga akan terpengaruh dengan hujah pemaju yang mendefinasikan semula rumah mampu milik sebagai rumah yang berharga RM300,000? Apakah rasionalnya kita memanggil rumah sedemikian mampu milik? Tidakkah ini satu penipuan?

READ MORE:  Langkah untuk meringankan masalah B20

Bagaimana pula dengan harga sewa PPR atau projek mampu sewa yang dicadangkan? Adakah menteri sedar kerajaan negeri PH pernah melakukan pengusiran paksa penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) kerana tak mampu bayar sewa bulanan?

Cadangan harga sewa RM110 untuk rumah dua bilik dan RM90 untuk satu bilik adalah sesuatu yang munasabah dan tidak harus dinaikkan. Sekiranya ada yang tidak mampu untuk bayar walaupun dengan harga yang sedemikian, jangan halau mereka.

Rumah PPR ialah alternative terakhir kaum miskin untuk hidup berbumbung. Jangan menggunakan alasan tidak membayar untuk mengusir mereka. Carikan alternatif lain termasuk peruntukan sebahagian daripada rumah mampu sewa ini sebagai rumah majlis atau rumah kerajaan dan beri subsidi sewa kepada mereka yang tidak mampu.

Kerajaan baru PH harus sedar perumahan selesa mampu milik/sewa adalah hak asasi rakyat dan harus menjadi tanggungjawab kerajaan. Skim ini adalah sepatutnya untuk semua rakyat B40 dan M40. Hentikan pengusiran paksa.

Kemudahan perumahan rakyat biasa tidak harus dijadikan komoditi untuk keuntungan golongan pemodal. Keluarkan penyediaan perumahan rakyat daripada pasaran demi menghentikan harga rumah melambung naik.

R Kartiges ialah seorang aktivis dari Parti Sosialis Malaysia.

Thanks for dropping by! Apart from the views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed, the opinions in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation of whatever amount you can afford to sustain Aliran. Please make payments to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.

And why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.

Join the conversation

avatar
750
  Subscribe  
Notify of