
Pengampunan bersyarat kepada Najib Razak beri bola tanggung kepada PH dalam pilihan raya umum.
Sudah jelas pengampunan yang diberikan oleh Yang diPertuan Agong kepada Najib Razak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan telah memudaratkan Umno mulai sekarang dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Pilihan raya negeri Melaka yang akan berlangsung tidak lama lagi, adalah satu medan tempur yang kecil.
Medan perang besar ialah pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum Februari 2028.
Sekarang Umno-Barisan Nasional sudah mula berada dalam keadaan defensif. Di media sosial, rakyat sudah mula bertanya: bila Umno mahu lancarkan tabung pulihkan kerugian 1MDB?
Sejarah Najib memimpin Umno bukanlah sejarah gilang-gemilang membawa kemenangan kepada Umno-BN dalam pilihan raya.
Dalam pilihan raya umum pada tahun 2013, Umno-BN hampir hilang kerajaan persekutuan. Itu kali pertama Najib memimpin Umno-BN dalam pilihan raya umum sebagai presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Bukan sahaja BN hilang majoriti dua-pertiga di Dewan Rakyat, tetapi angka data Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan jumlah undi popular rakyat kepada Pakatan Rakyat mengatasi BN walaupun BN jadi kerajaan persekutuan.
Itu tanda-tanda awal kejatuhan Najib, Umno dan BN. Apabila sampai pilihan raya umum pada tahun 2018, Najib sebagai Perdana Menteri ditolak rakyat. Rakyat hanya perlu dua isu sahaja untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib, iaitu isu cukai GST dan isu rasuah 1MDB.
Dr Mahathir Mohamad dan Mahiaddin Yasin, dua tokoh pimpinan Umno yang keluar dari Umno atau dipecat dari Umno oleh Najib, telah bergabung dengan PH pimpinan Anwar Ibrahim. Gabungan besar ini telah dapat menyatukan rakyat Melayu dan bukan Melayu untuk menolak skandal 1MDB Najib.
Sekarang pengampunan bersyarat Najib telah mengubah lanskap politik Malaysia. PH sekarang mendapat bola tanggung dari pengampunan Najib.
Sebelum Najib diberi pengampunan, Anwar selaku Perdana Menteri, presiden PKR dan pengerusi PH begitu defensif. Beliau dikritik secara terbuka dan juga di media sosial tidak henti-henti setiap hari.
Kini keadaan sudah berubah angin. Sekarang, apabila Najib diberi pengampunan dan lega hukum, tiba-tiba simpati kepadanya kerana merengkok dalam penjara meruap dan lesap.
Rakyat mulai marah apabila melihat sistem keadilan negara ini ada dua darjat: satu untuk rakyat biasa golongan marhaen dan satu lagi untuk elit politik dari kelas bangsawan.
Mulai hari kedua, Najib menerima pengampunan, Zahid Hamidi, presiden Umno kembali kepada status ‘co-pilot’ kepada Umno. De facto pemimpin Umno sekarang bukan lagi Zahid tetapi Najib.
Sekarang rakyat Malaysia dari semua kaum, budaya dan agama, dari semenanjung dan Sabah serta Sarawak sudah dapat melihat dua wajah pemimpin mereka iaitu Perdana Menteri Anwar dan Najib pemimpin Umno yang baru keluar dari penjara untuk tahanan seterusnya di rumah.
Penilaian kini di tangan rakyat sendiri. Mana satu antara kedua mereka yang boleh membawa Malaysia ke arah yang lebih baik?
Jika dalam pilihan raya umum tahun 2022, Pas dan Bersatu bergabung dalam Perikatan Nasional dengan membawa naratif PN yang bersih dan amanah, jadi kini bagaimana Pas dan Umno boleh membawa naratif yang sama – bersih dan amanah dengan kehadiran Najib yang disabitkan bersalah dalam kes SRC International; juga sekali lagi disabitkan bersalah atas tuduhan salah guna kuasa dan pelupusan wang haram melibatkan lebih RM2bn berkait 1MDB (untuk kes ini Najib Razak dijatuhi hukuman 15 tahun penjara dan denda RM11.4bn. Keputusan mahkamah ini sedang dirayu oleh Najib.)
Dari segi politik, Najib kini betul-betul menjadi beban kepada Umno dan juga Pas. Tidak ada beban, batu digalas.
Bagaimana Umno dan Pas sekarang hendak bercakap mengenai kerajaan yang bersih dan amanah, yang telus, cekap dan adil apabila kini Najib telah muncul di hadapan mata rakyat sebagai satu simbol yang mencurigakan bagi sebuah kerajaan yang dikatakan ‘government-in-waiting’?
Hassan Abdul Karim ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang.
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

