Memahami keputusan pilihan raya kecil Sungai Kandis

0

Analisa oleh Wan Haron Wan Hassan, Sinar Harian.

Keputusan PRK Dun Sungai Kandis sudahpun diketahui umum. Kemenangan sekali lagi berpihak kepada PH melalui calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mendapat 15,427 undi, sekaligus berjaya menewaskan calon BN, Datum Lokman Noor Adam yang mendapat 9,585 undi. Majoriti kemenangan ialah 5,842 undi. Calon Bebas hanya memperolehi 97 undi sahaja.

Peratusan pengundi yang keluar mengundi ialah 49.4 peratus sahaja berbanding dengan jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 80%.

Sebelum kita melihat dan membuat analisa yang terperinci implikasi keputusan tersebut, kita ambil dulu peringatan bahawa Pas memilih untuk tidak bertanding di dalam PRK ini dan mengambil pendirian untuk memberi sokongan yang padu kepada calon Umno-BN. Bermakna calon Umno turun gelangang membawa hasrat dan inspirasi bersama Umno dan Pas.

Perbandingan keputusan PRU14 dan keputusan PRK

Semasa PRU14, dari jumlah 50,800 pengundi yang berdaftar, seramai 43,470 telah keluar untuk mengundi, iaitu 85% . Dari jumlah ini, PH mendapat 23,998 undi, iaitu 55.5%, sementara Umno mendapat 11,518 undi, iaitu 26.5% dan Pas meraih 7,573 undi, iaitu 17.5% dan PRM (Parti Rakyat Malaysia) memperolehi hanya 76 undi.

PRK kali ini menyaksikan dari jumlah 51,217 pengundi yang layak memgundi, hanya 25,109 pengundi sahaja yang mengeluar mengundi, iaitu 49.4%, satu angka yang agak rendah dan pasti akan mengundang persoalannya tersendiri.

Dari jumlah undi tersebut, PH telah mendapat 15,427 undi, iaitu 61.5% sementara gabungan Umno/Pas mendapat 9,585 undi, iaitu 38.2%, sementara calon Bebas memperolehi 97 undi.

Rumusan dan implikasinya

Apakah yang dapat kita fahami dan rumuskan daripada keputusan PRK ini?

Pada hemat penulis keputusan tersebut telah memberi isyarat dan petanda yang amat jelas dan nyata sekali bahawa sokongan kepada PH bukan saja makin meningkat, tetapi meningkat dengan begitu mendadak sekali. Sementara sokongan kepada Umno dan Pas kian merosot dan terhakis dengan teruk sekali. PH berjaya melebar peratus undinya daripada 55.5% yang diperolehi semasa PRU14 kepada 61.5% dalam PRK ini sementara peratus sokongan kepada Umno dan Pas telah merosot dengan drastiknya daripada 44% (Umno 26.5% + Pas 17.5%) kepada 38.2% sahaja.

READ MORE:  Hentikan salah guna kuasa dan sumber kerajaan

Jika peratusan yang keluar mengundi lebih tinggi daripada apa yang berlaku pada hari ini, besar kemungkinan PH boleh meraih majoriti kemenangan dengan lebih besar lagi.

Pun begitu, PH perlu membuat ‘post-mortem’ yang jujur, mendalam dan terperinci tentang keputusan PRK ini. Mengambil kira faktor-faktor yang positif dan memberangsangkan sambil mentelaah dan merenungi isu-isu yang mencabar serta perlu ditangani dengan berkesannya. Termasuk memikirkan hakikat bahawa mengapa Umno dan Pas masih mampu meraih hampir 10 ribu pengundi daripada kurang lebih 25,000 yang keluar mengundi. Bermakna walaupun Umno dan Pas boleh dianggap makin pudar dan malap, mereka masih mempunyai ahli-ahli tegar dan penyokong-penyokong yang setia. PH tidak boleh leka ataupun lalai dengan cabaran daripada pihak pembangkang.

Jika keputusan ini boleh dikira dan dianggap sebagai kayu pengukur kepada sentimen rakyat ketika ini, khususnya tentang sikap orang Melayu, maka tidak sukar untuk kita membuat rumusan bahawa untuk masa depan, sekurang-kurangnya untuk jangka masa pertengahan ini, ianya jelas berpihak kepada PH. Sementara untuk Umno dan Pas, mereka berdepan dengan cabaran yang makin getir dan kian sukar untuk mendapat sokongan dari rakyat jelata.

Isu perkauman dan agama tafsiran sempit parti politik yang dibawa oleh Umno dan Pas terus ditolak oleh rakyat. Tidak salah jika kita membuat kesimpulan bahawa bukan sahaja penyokong asal PH tetap dan terus kekal dengan PH tetapi sebaliknya penyokong-penyokong Umno dan Pas pula sudah mula menyeberangi kepada PH.

Perang propaganda, dakyah dan fitnah yang dibawa oleh pembangkang nampaknya tidak mengena dan tak laku. ‘Gutter politics’ yang diamalkan oleh mereka tidak berjaya memberi apa-apa kesan kepada rakyat. Personaliti gah, megah dan angkuh calon Umno juga memualkan pengundi. Kehadiran Najib Razak di gelangang Sungai Kandis dengan gaya dan cara kempennya hanya berjaya untuk mengingatkan pengundi kepada kengerian dan kegetiran zaman pemerintahannya.

READ MORE:  Salah guna sumber kerajaan untuk kempen pilihan raya kecil Chini (Malay/English)

Khutbah, laungan dan tempikan daripada pemimpin-pemimpin Pas tentang agama juga sudah menjadi hambar. Dilihat sebagai sesuatu yang tidak mempunyai kredebiliti lagi kerana lain yang didakwahkan lain pula yang dibikin pemimpin mereka.

Untuk PH pula, kelihatan wujud perpaduan dan kesatuan di antara parti-parti komponen. Mohamad Sabu, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Mohamed Azmin Ali tampil sebagai satu barisan yang padu. Apa yang membawa impak paling besar kepada pengundi-pengundi ialah kehadiran Anwar Ibrahim di gelangang Sg Kandis. Beliau disambut seolah-olah sebagai seorang wira yang baru pulang ke pangkuan rakyat selepas sekian lama dizalimi dan dianiya, ibarat sirih pulang ke gagang.

Peratusan rendah yang turun mengundi boleh diperjelaskan atas alasan keletihan rakyat untuk sekali lagi turun mengundi selepas baru saja mengundi dalam PRU14. Penyokong kedua pihak mungkin juga mengambil sikap tidak perlu mengundi kerana keputusannya sudah dapat dijangka. Sebahagian pengundi bekerja pada hari Sabtu dan lain-lain lagi. Apapun ianya tidak memberi atau menimbulkan apa-apa keraguan tentang parti pilihan pengundi, sentimen pengundi dan halatuju politik negara.

Kesimpulannya

Kesimpulannya ialah walaupun diakui kerajaan PH sedang menghadapi pelbagai masalah dan cabaran dalam mengurus tadbir negara ketika ini termasuk kegagalan untuk menunaikan sebahagian janji-janji pilihanraya, rakyat jelata telah menunjukkan kesedian mereka untuk menenerima penjelasan yang diberi pihak kerajaan. Mereka nampak menerima hakikat bahawa kerajaan ini sedang berusaha dengan gigihnya untuk menyelesaikan masalah.

Keputusan PRK ini telah menunjukkan keyakinan dan kepercayaan rakyat yang bulat dan padu kepada kepimpinan Dr Mahathir Mohamad. Untuk membawa mereka ke arah masa depan yang lebih berdaya maju, makmur dan selamat. Mereka telah menjawab soalan cepumas yang dilontarkan oleh Mahathir , samada mereka mahu kembali kepada era rejim kleptokrat Najib dan kuncu-kuncunya? Melalui keputusan PRK ini, mereka telah menjawab dengan jelas dan nyata sekali….nauzubillah , tidak sekali-kali!. ‘No, thank you very much’.

READ MORE:  Why is Muhyiddin still thinking of emergency rule to stop polls?

Sumber: Sinar Harian

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments