Ingatan saya bertemu Ganapathy

Biar dibikin merinding mendengar ingatan dan tindakan kita semua dalam menuntut keadilan bagi kedua-dua Ganapathy ini, Zikri Rahman menulis

58 views
Ganapathy di Malaysia (kiri) dan Ganapathy di Malaya (kanan)

Negara benar-benar mahu kita melupakan kedua-dua Ganapathy itu. Ganapathy yang mana?

Yang ini: seorang Ganapathy yang setahun sebelum darurat pertama 1948, sudah pun menggerakkan ratusan ombak mogok di estet-estet Semenanjung Malaya menerbitkan rasa cuak penjajah.

Seorang lagi Ganapathy, saya terbayang-bayang namanya bergema dilaung oleh rakyat seluruh keturunan yang bersetiakawan mengunjuk rasa di atas kematiannya di rumah pasung tempohari. Regim pasti gentar dalam keadaan ramai yang sudah tidak ambil pusing apa masuk akal atau tidak dalam darurat yang ada sekarang.

Di antara kedua-dua Ganapathy ini, barangkali mereka sudah pun bertemu di alam sebelah sana; di mana sahaja. Yang seorang mengingat akan Malaya yang didambakannya. Sesosok lagi bersurah bagaimana Malaysia akhirnya khianat.

Saya kurang pasti ketika bertemu kedua-dua Ganapathy ini, saya dapat menangkap keseluruhan butir bicara mereka. Saya tidak sepenuhnya kisah akan perkara ini. Ada hal yang lebih besar dari itu, dan saya menghormati sahaja pilihan mereka untuk berbicara dalam bahasa apa sekalipun. Mana mungkin tidak, ketika hayat mereka masih ada dan sewaktu mereka bicara di dalam bahasa yang Negara paksakan itu pun, tidak sepenuhnya pula Negara memilih untuk peduli.

Niat saya hanya satu, mahu memasang telinga mendengar. Kerana saya pasti, sebelum kedua-duanya putus nyawa, Negara mahu mereka benar-benar diam – dalam sejarah, dalam ingatan.

Saya akui, apa yang ada di dalam fikiran saya ini sungguh terkutuk. Bayangkan, sepertinya hanya sewaktu mereka berdua didiamkan sebelum diputuskan nyawa itulah, baru saya sekonyong-konyong mahu peduli mendengar resah mereka. Maafkan saya, Ganapathy. Ampuni saya, Ganapathy. Saya berjanji akan hanya memasang telinga. Tidak lebih, tidak kurang.

Saya hanya akan menebak seperti apa basa-basi percakapan sewaktu ada rezeki mengikut kalian bertemu satu sama lain. Ikutlah, di alam sebelah sana; di mana saja. Saya akur mengekor.

READ MORE:  Edict sokong usaha Suhakam dan polis ambil langkah kurangkan kadar kematian dalam tahanan

Saya hampir pasti, Ganapathy yang seorang itu akan bertanya apa penjajah kulit putih yang sama itu masih berwenang-wenang atau tidak sekarang.

Barangkali, Ganapathy yang seorang lagi pula menjawab, “Sudah tiada namun ada pula yang lain tetap saja bersenang-senang di Malaysia”.

“Siapa?” tanya Ganapathy yang di Malaya itu.

Saya kurang menangkap balasan jawapan Ganapathy di Malaysia itu. Atau barangkali saya pura-pura tidak mendengar kerana kita pun tahu jawapannya seperti apa. Kulit putih hanyalah satu daripada berpuluh-puluh warna penjajah yang ada. Topeng dan seragam yang disarung mereka kemudiannya itulah yang perlu kita lantas waspada.

Fikir saya, ketika kedua-dua Ganapathy bertemu, mereka barangkali canggung antara satu sama lain. Tidaklah sampai seperti bersembang ayam-itik pula. Tidak.

Bayangkan, Ganapathy yang pertama dihabisi nyawanya nun jauh setahun selepas darurat yang pertama dalam usia yang relatif muda.

Ganapathy yang kedua pula meninggal tanggal 18 April 2021, selepas dua tiga kali keluar masuk hospital dan penjara. Realiti sejarah di antara kedua-duanya cukup berjarak.

Namun, nampaknya tidak. Ini saya perasan waktu Ganapathy yang dikhianati Malaysia itu bersuara, Ganapathy yang di Malaya itu seakan-akan mengerti segalanya. Saya nampak Ganapathy di Malaya itu mengangguk dengan mata membulat amarah. Saya percaya Ganapathy yang di Malaya itu sepertinya sudah melalui semua yang diceritakan Ganapathy di Malaysia.

Dari penjajah di Malaya hinggalah ke pemerintah di Malaysia, orang seperti Ganapathy biar dicantas tidak tumbuh dari pucuk lagi. Dituduh pula pada mereka macam-macam. Jika tidak pemabuk, subversif, tidak subversif, penjenayah. Menjadi seorang Ganapathy hatta di Malaya atau Malaysia, pendek kata memang dikutuk sejarah. Kolonialisme tidak pernah meninggalkan Ganapathy serta keturunannya. Merdeka bukan milik mereka.

Mujur, Ganapathy yang berdua ini punya simpang-siur ingatan yang berpapasan. Mereka benar mahu kita mengingat dan ambil iktibar. Seingat Ganapathy di Malaya itu lagi, seusai dia dibungkam di tali pengakhiran, ada 800 teman-temannya yang lain ikut diperosok ke penjara sejurus tercetus darurat pertama.

READ MORE:  Edict sambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan, mahu kementerian dalam negeri ambil berat aduan ketua polis

“Merusuh, melawan, subversif,” tuduh penjajah pada mereka-mereka ini hanya kerana menuntut hidup yang berhak.

Dan Ganapathy di Malaya tetap mahu bertanya kalau-kalau Ganapathy di Malaysia tahu: “Apa mereka, teman-temanku, semua masih diperosok dalam penjara?”

Saya sekilas melirik pandangan kepada Ganapathy yang di Malaysia ini dan melihat tingkahnya sukar menyusun kata. Ganapathy di Malaysia jujur tidak tahu untung nasib 800 mereka yang disebut Ganapathy di Malaya itu.

Namun, Ganapathy di Malaysia tahu yang sekarang sudah lebih 800 orang daripada keturunan mereka yang dibangsatkan di merata penjara seluruh Malaysia. Malahan, ribuan sebenarnya yang mati ketika dipasung sejak sekian lama. Sepertinya, darurat bagi mereka ini tidak pernah ada nokhtah. Mereka hanyalah sekadar nombor-nombor yang dicatat tanpa makna. Baik di dalam penjara British mahupun regim penerusnya ini. Tidak wujud keadilan buat mereka.

Ganapathy di Malaysia ingat-ingat lupa tentang ribuan mereka yang mati tersia-siakan itu. Ada segelintir katanya kerana dinafikan peluang untuk punya maruah menjalani hidup yang berhak. Lebih ramai yang lain jauh lebih tragik; dinafikan terus hak untuk hidup itu. Itu pun digasak habis-habisan jati diri seluruh keturunan mereka biar tidak percaya diri lagi. Biar mereka sesal dan malu dilahirkan menjadi keturunan Ganapathy.

Lidah kedua-dua Ganapathy mahu mengungkap semua nama yang pergi kalau boleh. Mana mungkin mereka lupa. Namun, “apa gunanya?” serentak bentak kedua-dua Ganapathy membentak. Bagi mereka, mengungkap ingatan itu perlu hadir berserta tekadnya tindakan.

Sewaktu mereka menuturkan yang ini, saya perasan bola mata kedua-dua Ganapathy meluru pandangan ke arah saya. Saya masih diam memasang telinga semata-mata. Namun sampai bila saya hanya akan berpura-pura mendengar? Selepas banyak sekali kedua-dua mereka membuka pekung ingatan, apa saya masih memilih bungkam?

READ MORE:  Forum: Kecuaian polis, tahanan sengsara

Ini saya sudah jangka sedari awal lagi. Jika bukan sekarang, pasti soalan yang satu ini tetap akan ditanya: “Dengan siapa kau mati?” Ganapathy yang seorang itu bertanya seraya menceritakan tentang takdir dirinya di Malaya dahulu. Ceritanya begini, “Aku digantung biar mati seorang. Sahabatku pula, seorang dari ratusan ribu yang lain, P Veerasanan, dirobek peluru penjajah.”

“Dengan siapa kau mati?” ulang Ganapathy di Malaya sekali lagi.

Ganapathy dari Malaysia itu saya yakin tidak tahu jawapannya. Malahan mengapa dia mati sekalipun, barangkali tidak pula dia ketahui.

Saya menggumam jawapan. Justeru, saya sekaligus mengkhianati kedua-dua Ganapathy sebenarnya. Kerana saya ada jawapannya selepas mendengar semua ingatan dari mereka berdua.

Jawapannya tiada pada sejarah yang wujud sekarang. Tidak pula pada Negara yang sungguh-sungguh mahu kita melupakan kedua-dua mereka. Jawapannya itu ada pada seluruh ingatan baka keturunan Ganapathy. Kerana hanya dengan ingatan, Ganapathy berdua kemudian abadi.

Mustahil saya yang memasang telinga mendengar serta kalian yang mengikut baca ingatan pertemuan saya ini akan lupa. Di luar sana, nama Ganapathy kan gegak-gempita. Hanya menunggu masa untuk rakyat turun berserakan memenuhi jalan-jalan besar. Itu tanda kita semua tekad menolak lupa. Watak penjajah di Malaya atau wajah pemerintah di Malaysia, biar dibikin merinding mendengar ingatan dan tindakan kita semua dalam menuntut keadilan bagi kedua-dua Ganapathy ini. – Jentayu

Nota kaki: Ganapathy di Malaya merupakan SA Ganapathy, pemimpin kesatuan sekerja Pan-Malaya Federation of Trade Unions.

Manakala, Ganapathy di Malaysia pula merupakan A Ganapathy, seorang ayah dan suami yang kerjanya meniaga susu. Beliau di antara ratusan mangsa yang meninggal dunia ketika dalam tahanan.

Sumber: Jentayu – Malaysia Muda, karya Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments