Dana untuk perlindungan sosial bagi rakyat Malaysia

Setiap sesi perbincangan belanjawan negara akan menyaksikan pelbagai pihak menuntut dana untuk projek dan program yang memanfaatkan rakyat serta negara.

Masalah yang dihadapi oleh Kementerian Kewangan adalah sumber pendapatan negara untuk tahun 2022 hanya menampung lebih kurang 65% daripada jumlah belanjawan yang dijangkakan untuk tahun 2022.

Anggaran pendapatan kerajaan persekutuan untuk tahun 2022: RM234bn

Anggaran belanjawan untuk tahun 2022: RM332bn

Defisit: RM98bn (29.5% belanjawan; 6% keluaran dalan negara kasar atau KDNK)

Ini bererti bahawa RM98bn harus dipinjam untuk menampung Belanjawan t2022 – dan kerajaan kita biasanya melakukan ini melalui penerbitan bon kerajaan yang dibeli oleh pemodal besar.

Selain daripada RM98bn yang disebut di atas, Kementerian Kewangan juga harus menerbitkan RM110bn bon lagi untuk membayar balik bon-bon lama yang sudah habis tempoh mereka dan harus dibayar balik kepada pelabur dalam 2022.

Jadi, jumlah penerbitan bon oleh kerajaan persekutuan adalah dalam lingkungan RM211bn tahun ini. Dan bunga yang harus dibayar untuk hutang kerajaan sebanyak RM998bn adalah dijangka mencapai RM43bn bagi 2022.

Situasi kewangan negara merupakan satu kekangan yang besar terhadap sebarang keinginan untuk menambahkan belanjawan kerajaan supaya memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial bagi rakyat kita.

Jadi, untuk sesi Belanjawan 2023, Parti Sosialis Malaysia tidak menfokuskan senarai projek dan program yang telahpun kami syorkan beberapa kali sebelum ini.

Sebaliknya, kami ingin menumpukan perhatian terhadap strategi untuk meningkatkan pendapatan kerajaan supaya dapat melaksanakan program-program melindungi masyarakat secara mampan.

Kami ingin mengesyorkan dua idea baharu yang boleh mengatasi masalah kekurangan dana untuk belanjawan kerajaan, iaitu:

  • Strategi jangka masa 10 tahun untuk menghentikan perlumbaan ke bawah berkaitan cukai korporat dalam kalangan negara-negara Asean dan caranya meningkatkan cukai terhadap golongan korporat dan golongan terkaya di dalam negara
  • Pelaksanaan kaedah “debt monetisation” ataupun penjualan sebahagian bon kerajaan kepada Bank Negara dengan kadar bunga yang rendah.
READ MORE:  As population ages, stronger retirement safety net needed  

A. Strategi jangka masa 10 tahun untuk meningkatkan cukai korporat dalam kalangan negara-negara Asean

Negara-negara Asean sedang bersaing untuk pelaburan asing (FDI) dan mereka telah dinasihatkan oleh Bank Dunia dan IMF bahawa mereka mesti berwajah ‘mesra’ pada bisnes untuk berjaya dalam menarik FDI.

Oleh itu Malaysia telah mengurangkan cukai korporat dari 40% keuntungan korporat pada tahun 1980-an ke 24% keuntungan korporat pada masa ini.

Thailand lebih teruk lagi dan telah mengurangkan cukai korporatnya ke 19% keuntungan syarikat, dan Singapura berada di tahap 18% cukai terhadap keuntungan korporat.

Syor PSM:

  • Mengadakan perbincangan dengan Indonesia, Thailand, Vietnam dan negara Asean yang lain
  • Syorkan pengubahsuaian Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (Afta) supaya memasukkan klausa baharu bahawa penalti tarif akan dikenakan terhadap mana-mana negara Asean yang mengurangkan lagi cukai korporat dari kadarnya sekarang – kenaikan tarif sebanyak 5% untuk setiap 1% pengurangan dalam kadar cukai korporat. Ertinya, jika cukai korporat dikurangkan 2%, tarif terhadap eksport negara itu harus dinaikkan 10%
  • Selepas syor ini dipersetujui dan dilaksanakan, membawa satu syor lagi untuk meningkatkan cukai korporat sebanyak 1% setiap tahun sehingga mencapai kadar cukai 30% keuntungan syarikat. Dan juga kenakan penalti terhadap mana-mana negara Asean yang tidak melaksanakan tindakan ini – kenaikan tarif 3% terhadap eksportnya untuk setiap 1% cukai yang gagal dinaikkan.

Adalah amat perlu untuk meningkatkan kadar cukai korporat secara serentak di rantau Asean untuk mengelak daripada “comparative disadvantage” dan kehilangan FDI kepada negara lain di Asean. Jika syor ini dapat dilaksanakan, ianya akan membawa beberapa kelebihan kepada rantau ini, antaranya:

  • Pendapatan kerajaan meningkat
  • Kerajaan dapat sumber untuk melaksanakan program-program kebajikan bagi rakyat dan juga untuk memajukan penjanaan tenaga boleh diperbaharui serta menangani perubahan iklim
  • Penambahan dalam perbelanjaan kerajaan akan meningkatkan KDNK dan ini akan mewujudkan peluang bisnes untuk para peniaga, dan seterusnya akan memperkembangkan peluang berkerja untuk rakyat kita.
READ MORE:  Beware the debt trap

B. Kaedah debt monetisation

Kaedah ini melibatkan penjualan bon kerajaan kepada Bank Negara. Seperti yang dihuraikan di atas, kerajaan kita akan menerbitkan bon sebanyak RM211bn dalam 2022. Kami mengesyorkan bahawa bon tambahan sebanyak RM50bn diterbit melalui jualan bon kerajaan kepada Bank Negara supaya beberapa skim perlindungan sosial dapat dilaksanakan, umpamanya pencen warga emas sejagat (RM500 sebulan untuk setiap orang rakyat berumur 65 tahun ke atas yang tidak menerima pencen lain).

Kritikan terhadap kaedah ini adalah bahawa ianya akan melemahkan mata wang Malaysia dan menyebabkan inflasi. Kerisauan ini bukan tanpa asas. Nilai mata wang sebuah negara bergantung pada bekalan dan permintaan mata wang itu dalam pasaran kewangan antarabangsa.

Adalah dianggarkan bahawa setiap ringgit yang digunakan untuk memperkasakan sistem kebajikan negara akan menyebabkan kenaikan jumlah import sebanyak 50 sen. Jadi, jika RM50bn dipakai untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan social, RM25bn akan mengalir keluar sebagai bayaran untuk import.

Oleh itu, bekalan ringgit dalam pasaran kewangan antarabangsa akan bertambah sebanyak RM25bn dan ini berkecenderungan untuk mengurangkan nilai ringgit dalam pasaran antarabangsa. Dan jika nilai ringgit merosot, harga barang import akan naik, dan ini akan menyebabkan inflasi di dalam negara kita.

Tetapi kita mesti menganalisis syor ini dengan menggunakan perspektif yang menyeluruh dengan mengambil kira bahawa

  • Jumlah import Malaysia adalah lebih kurang RM900bn setahun pada masa ini. Peningkatan import sebanyak RM25bn – peningkatan hanya 2.7% – tidak akan membawa impak yang begitu besar terhadap nilai mata wang Malaysia
  • Malaysia boleh mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan pengaliran keluar ringgit Malaysia ke negara lain
  • Pengimportan 200,000 buah kereta baharu merupakan pengaliran keluar RM20bn setahun. Pengeluaran 300,000 kereta buatan Malaysia juga adalah berkaitan dengan pengaliran keluar RM18bn dalam bentuk komponen kereta yang diimport. Pelaksanaan sistem permit untuk membeli kereta boleh:
    • menjana pendapatan untuk kerajaan sambil
    • mengurangkan pembelian kereta baharu. Ini akan mengurangkan pengaliran wang Malaysia ke luar negara
  • Pelaksanaan permit membeli ataupun duti eksais untuk barangan mewah lain juga akan membantu dalam mengurangkan pengaliran ringgit Malaysia ke luar
READ MORE:  As population ages, stronger retirement safety net needed  

Oleh kerana perkara-perkara yang dihuraikan di atas, PSM berpendapat bahawa kaedah debt monetisation boleh digunakan secara yang berhemah untuk menjana dana sebanyak RM50bn hingga RM80bn setahun bagi program perlindungan sosial

PSM bersedia dalam menghadiri sesi dialog dengan Kementerian Kewangan untuk membincangkan dua syor ini.

Dr Jeyakumar Devaraj ialah pengerusi nasional PSM merangkap penyelaras biro kajian dasar PSM



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments