:

Curiga perkauman bukan sebahagian tradisi Melayu Islam

Sikap keterbukaan dan kesediaan untuk memahami agama dan budaya lain harus dihidupkan semula dan dipasak utuh dalam ragam kehidupan seharian umat Melayu Islam hari ini

WING-CHI POON/WIKIMEDIA

Oleh Imran Rasid

“Bukankah kecurigaan itu telah terbunuh ketika kita mula bersapa?” – Usman Awang

Di tengah-tengah polarisasi masyarakat di Malaysia yang meruncing, adanya rasa curiga yang kian menebal.

Curiga ini ditanam dan disemai agar bercambah menjadi rasa takut dan benci kepada golongan ‘yang lain’ (‘the other’), iaitu kelompok yang berbeza dengan ‘kita’. Siapa ‘kita’ dan ‘yang lain’ itu pun tidak jelas melainkan ianya dimainkan oleh pihak-pihak berkepentingan tentu.

Natijahnya, kecurigaan ini akhirnya digunakan, adakalanya atas nama Islam, untuk mengapi-apikan umat Melayu Islam untuk membenci dan menolak sebahagian golongan bukan Islam di negara ini. Ini bukan pendekatan agama kita. Ini tentunya bukan pendirian nilai bangsa kita.

Agama Islam, sepertimana yang termaktub dalam Al-Qur’an dan Sunnah, sentiasa berpijak pada prinsip keamanan dan kedamaian. Almarhum Ustaz Siddiq Fadzil pernah mengungkapkan: “Islam menganjurkan sikap memaafkan, malah memberikan reaksi yang lebih baik dengan objektif mengubah permusuhan menjadi persahabatan, bukan untuk mempertajam pertentangan.”

Pandangan ini selaras dengan firman Allah SWT:

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali (ta’arufu).” (Surah Al-Hujurat, ayat 13)

Petikan ayat ini jelas meletakkan prinsip dasar bagi hubungan antara manusia (tanpa mengira kaum dan agama) tidak bertitik tolak daripda rasa curiga dan adu domba, tetapi sifat berlapang dada untuk saling mengenal dan belajar antara satu sama lain.

Istilah ta’arufu, dari kata arafa, menegaskan semangat kesalingan: kenal mengenal, faham-memahami, dan hormat-menghormati.

Ustaz Quraish Shihab, ulama tafsir besar Indonesia, dalam kitab tafsirnya Tafsir Al-Misbah menegaskan bahawa ayat ini mengajak  kepada sikap saling mempelajari antara satu sama lain bagi meningkatkan ketakwaan sekali gus mendorong ke arah kedamaian dan kesejahteraan hidup duniawi dan kebahagiaan ukhrawi [Tafsir Al-Misbah: Pesan, Kesan dan Keserasian Al-Qur’an, jilid 13, halaman 263.]

READ MORE:  Membendung arus kebangkitan konservatisme agama di Malaysia

Deretan panjang sejarah umat Islam juga memaparkan pelbagai contoh yang menekankan semangat kesalingan yang benar-benar ikhlas antara golongan Islam dan kelompok dari agama yang berbeza.

Riwayat hidup baginda Rasulullah SAW dipenuhi dengan kisah-kisah kedamaian dan saling mempelajari antara satu sama lain. Baginda, misalnya, tidak kekok untuk memanfaatkan taktik dan strategi perperangan tamadun Parsi (sungguhpun dari sudut geopolitik, empayar Sasanid lebih mendatangkan ancaman bagi kerajaan kecil Islam di tanah Arab).

Sayyidina Umar al-Khatab, pemimpin kerajaan yang turut menakluki beberapa kawasan penting di bawah naungan Empayar Romawi dan Sasanid, juga tidak menolak menerapkan model pentadbiran (Al-dīwān) dari kerajaan Parsi ke dalam pemerintahan kerajaan Islam yang baru berkembang.

Semangat saling mengenal (baca: anti-curiga) ini juga terus mekar dan berkembang dalam era pasca al-Khulafāʾ al-Rāshidūn.

Kegiatan penterjemahan dan keilmuan kerajaan Abbasiyyah yang dijulang sebagai “Zaman Keemasan Islam” hanya boleh berkembang melalui proses mengenal dan mempelajari hikmah dan kebaikan tradisi Yunani dan Farsi; memanifestasikan semangat kesalingan yang ikhlas dan tulen.

Semangat ini juga boleh diteladani melalui perjalanan hidup pemikir besar Islam, Abū al-Rayḥān Muḥammad ibn Aḥmad al-Bīrūnī (362-442H/973 -1048M). Al-Bīrūnī berkelana ke India melalui ekspedisi ketenteraan Mahmud dan menetap di sana untuk mempelajari kebudayaan India selama 12 tahun. Sepanjang beliau di India, al-Bīrūnī menekuni bahasa Sanskrit, dan menterjemah beberapa kitab agama Hindu sekali gus mengkaji kepelbagaian aliran keagamaan di India.

Penelitiannya itu tersingkap dalam Kitab ma li al-Hind, yang disifatkan oleh sebahagian sarjana sebagai kitab pertama yang mengkaji perbandingan agama secara sistematik dari seorang ilmuan Islam. Kitab ma li al-Hind menjelaskan kepelbagaian agama dalam ketamadunan India menurut kaca mata masyarakat-masyarakat di India dan kitab-kitab Sanskrit sendiri.

READ MORE:  Malaysia celebrates six decades of independence with concerns and blessings

Beliau cukup berhati-hati untuk tidak mendatangkan sebarang penilaian (judgemental) dari perspektif Islam. Bagi al-Bīrūnī, proses pemahaman dan pembelajaran harus dimulakan dengan mengenal ‘yang lain’ (‘the other’) secara ikhlas dan jujur tanpa bersikap prejudis. Demikianlah semangat li’ta’arufu yang disarankan oleh Islam.

Tradisi dan kebudayaan alam Melayu juga tidak asing dengan semangat kesalingan yang damai antara masyarakat berbilang kaum. Jauh sebelum Islam mula bertapak di rantau ini, masyarakat tempatan sudah pun mengamalkan pertukaran budaya dan idea sesama agama dan ras. Sejarawan seperti OW Wolters, Ian Mabbett, Van Leur dan MB Hooker turut mencatatkan bagaimana pertukaran idea berlangsung secara organik, tanpa sebarang paksaan.

Dalam maksud lain, tesis Samuel Hungtinton Clash of Civilizations tidak terpakai di alam Melayu – yakni tidak ada dominasi sesebuah tamadun terhadap ketamadunan yang lain dijalankan secara keras atau melalui jalan konflik. Bahkan, ungkapan Bhinejka Tunggal Ika (Kepelbagaian dalam kesatuan) yang dipetik daripada karya puisi kuno berbahasa Jawa sewaktu kekuasaan Empayar Majapahit lebih tepat menggambarkan semangat hubungan antara kaum dan agama di rantau ini.

Kedatangan Islam ke tanah Melayu terus mengekalkan budaya kesalingan dan toleransi ini. Ulama Kesultanan Acheh, Sheikhul Islam Nuruddin ibn Ali al-Raniri (m 1068 H/1658 M) turut mengarang kitab bertemakan perbandingan aliran agama berjudul Tibyān Fī Ma‟rifat Al-Adyān. Huraian ar-Raniri banyak menyamai karya ilmuwan Parsi Muhammad al-Shahrastānī (Abad 5H/10M).

Meskipun demikian, al-Raniri turut mendatangkan pandangan beliau yang tersendiri. Misalnya, berbeza dengan al-Shahrastānī yang tidak menggolongkan agama Hindu sebagai Ahli Kitab, al-Raniri melihat golongan Barāhimah (Brahmanisme dalam keagamaan India) termasuk dalam 10 golongan Ahli Kitab.

Contoh-contoh yang saya bawakan ini bertujuan untuk mengingatkan umat Melayu Islam di Malaysia ini bahawa tradisi keagamaan dan kebudayaan kita tidak bermula dengan rasa curiga pada kaum dan agama lain. Rantau ini terbangun melalui dasar toleransi yang tinggi, beserta sikap ingin mengenal dan belajar antara satu sama lain secara ikhlas dan jujur.

READ MORE:  Untuk Malaysia maju, tiada sesiapa yang patut disisihkan

Sikap keterbukaan dan kesediaan untuk memahami agama dan budaya lain harus dihidupkan semula dan dipasak utuh dalam ragam kehidupan seharian umat Melayu Islam hari ini.

Inilah identiti dan nilai tradisi Melayu dan Islam yang sebenar. Identiti dan nilai inilah yang mampu menyelamatkan kita daripada ditipu dan dihasut dengan retorik kebencian pihak-pihak tertentu. – Imani

Imani blog merupakan satu platform percambahan idea melalui penulisan ilmiah dan separa ilmiah dalam pelbagai bidang: agama, politik, sejarah, pendidikan, kewangan dan kemasyarakatan

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments