Home TA Online Bila pensyarah sibuk kumpul angka tapi lupa bina kepakaran

Bila pensyarah sibuk kumpul angka tapi lupa bina kepakaran

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh Yohan Kurniawan

Dalam dunia akademik, istilah key performance indicator (KPI) sudah menjadi sebati dalam kehidupan seharian pensyarah universiti.

Di atas kertas, KPI diletakkan sebagai mekanisme untuk mengukur prestasi, memantau produktiviti dan memastikan universiti bergerak seiring dengan piawaian antarabangsa.

Namun, di sebalik angka-angka cantik yang terpampang dalam laporan tahunan, ada satu paradoks besar yang sering membelenggu staf akademik. Mereka sibuk mengejar KPI tetapi semakin jauh daripada membina kepakaran yang kukuh – yang sebenarnya menjadi asas pengiktirafan sejati di peringkat antarabangsa.

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang asing. Ramai pensyarah mengakui bahawa dalam setahun, mereka perlu menghasilkan sejumlah penerbitan, menyertai pelbagai seminar, melibatkan diri dalam projek penyelidikan, dan melaksanakan aktiviti pengajaran yang kadangkala tidak selari dengan minat atau bidang kepakaran mereka.

Tekanan untuk memenuhi senarai panjang KPI menjadikan tenaga akademik lebih cenderung bekerja secara mekanikal. Mereka menghasilkan ‘produk akademik’ yang cukup untuk memenuhi keperluan tahunan, tetapi tidak membawa nilai yang mendalam terhadap perkembangan ilmu.

Kesan jangka panjang daripada budaya ini amat membimbangkan. Seorang akademik mungkin berjaya mengumpul angka-angka mengagumkan – puluhan artikel diterbitkan, beratus jam pengajaran dilaksanakan, pelbagai geran penyelidikan diperolehi.

Namun apabila diteliti, sebahagian besar hasil tersebut tidak berkait rapat dengan bidang kepakarannya. Akademik yang sepatutnya menjadi pakar rujuk dalam satu bidang khusus akhirnya tampil dengan portfolio yang luas tetapi dangkal. Portfolio ini tidak cukup untuk meletakkan dirinya sebagai autoriti di mata komuniti antarabangsa.

Masalah ini turut menyentuh isu pengiktirafan keilmuan. Di peringkat global, pengiktirafan tidak datang semata-mata kerana kuantiti penerbitan, tetapi kerana konsistensi, kedalaman dan sumbangan bermakna dalam satu bidang khusus.

READ MORE:  Three requirements to ensure good governance at local universities

Nama-nama besar dalam akademia antarabangsa dikenali bukan kerana mereka menulis tentang segala-galanya, tetapi kerana mereka menulis dengan mendalam tentang sesuatu yang spesifik, berdekad lamanya. Inilah yang membina reputasi.

Sayangnya, apabila tenaga akademik terpaksa beralih dari satu projek ke projek lain demi mengejar KPI, kesinambungan dalam membina wibawa keilmuan sering terganggu.

Dimensi lain yang perlu diperhatikan ialah bagaimana sistem KPI memberi kesan kepada kreativiti dan keberanian untuk bereksperimen. Kajian-kajian besar yang memerlukan masa panjang, kajian lapangan yang rumit, atau penulisan buku ilmiah yang mendalam sering diketepikan kerana tidak menjanjikan ‘mata’ yang tinggi dalam laporan tahunan.

Sebaliknya, tenaga akademik terdorong untuk menghasilkan artikel pendek dan cepat diterbitkan demi memastikan sasaran tahunan tercapai. Dalam jangka masa panjang, budaya ini bukan sahaja melemahkan perkembangan ilmu, tetapi juga mencipta ‘kilang penerbitan’ yang miskin nilai intelektual.

KPI ada fungsinya sebagai alat ukur keberkesanan universiti. Namun, sistem yang terlalu rigid dan berpaksikan angka menafikan hakikat bahawa ilmu berkembang melalui masa, konsistensi dan kebebasan akademik.

Universiti sepatutnya menjadi medan untuk para sarjana mengembangkan idea, mencabar paradigma dan menghasilkan pengetahuan baru yang relevan dengan masyarakat.

Sebaliknya, apabila staf akademik dikurung dalam kerangka KPI yang sempit, ruang ini menjadi semakin terhad.

Lebih ironis lagi, budaya ini boleh menyebabkan universiti sendiri kehilangan identiti akademiknya. Apabila pensyarah sibuk mengejar bilangan penerbitan, institusi pendidikan tinggi berisiko dilihat sebagai organisasi yang hanya mementingkan kedudukan dalam penarafan global, bukan sebagai pusat pemikiran yang memacu perubahan.

Lebih buruk lagi, pelajar – yang seharusnya menjadi penerima manfaat utama ilmu – turut terkesan apabila pensyarah lebih fokus kepada memenuhi KPI berbanding menyalurkan kepakaran dan pengalaman sebenar kepada bilik kuliah.

READ MORE:  'Budaya akademik' yang kabur – sesuatu yang telah hilang daripada universiti di Malaysia

Persoalan besar yang perlu kita ajukan ialah bagaimana untuk menyeimbangkan keperluan mengukur prestasi dengan keperluan membina reputasi akademik yang sebenar?

Jawapannya bukan dengan menolak KPI secara total, tetapi dengan mengubah sistem agar lebih berfokus kepada kualiti, kesinambungan dan impak.

Sebagai contoh, penilaian prestasi boleh memberi ruang kepada staf akademik untuk menetapkan ‘jalur kepakaran’ mereka – iaitu bidang khusus yang ingin mereka bangunkan secara konsisten. Segala penghasilan akademik dinilai berdasarkan sejauh mana ia menyumbang kepada pengukuhan jalur tersebut.

Dengan cara ini, pensyarah tidak lagi terpaksa melompat dari satu bidang ke bidang lain demi angka, tetapi boleh menumpukan tenaga dan kreativiti mereka untuk menjadi pakar dalam satu cabang ilmu.

Kesimpulannya, universiti yang hebat tidak diukur melalui setebal mana laporan KPI tahunan atau setinggi mana markah KPI yang diperolehi. Universiti hebat diukur melalui sejauh mana ia melahirkan sarjana yang diiktiraf kerana kepakaran, kesarjanaan dan sumbangan bermakna mereka kepada masyarakat dan dunia.

Untuk itu, kita harus kembali meletakkan nilai sebenar akademia: membina ilmu, mengukuhkan kepakaran dan memastikan nama Malaysia dikenali kerana pemikiran yang segar, mendalam dan bernilai.

Jika tidak, kita akan terus terperangkap dalam paradoks: universiti yang kaya dengan angka tetapi miskin dengan jiwa keilmuan.

Dr Yohan Kurniawan ialah pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x