Antara dua dunia – Oxford dan Sabah

0

Izzah Dejavu membalas artikel pegawai khas menteri pendidikan ZF Zamir “Menghirup udara kekuasaan dan mabuk didalamnya”.

“Turun! Turun! Turun Maszlee!”

Teriak satu suara lelaki dari arah luar van ketika aku dan Asheeq ditangkap. Malam muram. Van polis aku naiki dengan rasa marah pada segala ketidakadilan yang disenyapkan. Mujur saja ada bulan di luar yang menyinar terang memberikan pengharapan bahawa mulai hari ini, suara mahasiswa tidak lagi akan diperlekeh dan dipandang enteng.

Sejarah pasti berulang. Hidup ini kitaran. Itulah yang dipersetujui oleh pengkaji sejarah manusia. Jalan perubahan ini panjang. Mahasiswalah akan menjadi benteng check and balance bersama masyarakat, memastikan jalan di hadapan ditunggang dengan penuh prinsip dan kejujuran.

Sepanjang dalam van, aku tergelak perlahan mengingat buku Cita Sempurna yang tamat dibaca sebelum pilihan raya umum 2018. Kekuasaan, jawatan dan nama sudah pasti menggiurkan. Kita manusia boleh dibeli dengan apa sahaja melainkan mereka yang masih bersetia dengan cita sempurna yang dianutinya.

Cita sempurna

Cita sempurna adalah satu pandangan hidup yang menyeluruh bertujuan untuk mencapai masyarakat sempurna. Cita ini juga menggerakkan usaha yang hebat bagi menjayakannya dan ia menjelma dalam pelbagai rupa. Dari konsep intisari cita sempurna, kekejaman itu kekejaman. Yang menjadi soal apakah kekejaman itu berkuasa atau tidak, bukan kekejaman itu adalah suatu kebaikan.

Dan cita sempurna itu akan selalu berlawanan dengan cita bencana yang punya tiga bahagian. Yang pertama berkaitan dengan jenayah, yang kedua berkaitan dengan amalan perseorangan dan yang ketiga berkaitan dengan nilai institusi dan kepercayaan masyarakat.

Mahasiswa terpekik – cerita jujur yang disembunyikan

Sebelum sit-in berlaku, aku sudah melihat sendiri bagaimana mahasiswa diperlekeh oleh Sang Penguasa. Walaupun jarang bersua muka, aku sentiasa melihat kerja-kerja mereka di media. Aku lihat mahasiswa yang berjiwa besar dan bekerja – bukan sahaja tentang hal dalam universiti bahkan di luar universiti, bersama masyarakat untuk membangun tanah air.

Rakan-rakan dari Demokrat UM, Demokrat UKM, Umany serta rakan-rakan dari Gabungan Pembebasan Akademik (GPA) yang terdiri dari Gerakan Menuntut Pembebasan Akademik (Gempak) ,Gerakan Reformasi Institusi Pendidikan (Grip) dan Gerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak). Mereka rakan-rakan yang bersama-sama mahu lakukan perubahan terhadap institusi pendidikan negara yang bukan dianut oleh Kekuasaan, tetapi semua rakyat Malaysia perlu dilibatkan.

Aku masih ingat di sat-saat akhir, Dr Maszlee Malik membatalkan pertemuan dengan mahasiswa beberapa hari sebelum berjumpa dengan alasan menunaikan haji. Memang bertuah Dr Maszlee dapat menunaikan haji. Cuma kami tertanya-tanya, apa tiket pergi haji dibeli beberapa hari sajakah? Haji Maszlee pergi haji dengan terburu-buru ini kenapa? Kenapa janjikan tarikh, kalau tahu sudah mahu pergi haji. Ah, kita lupakan persoalan yang tak akan dijawab Haji Maszlee.

Yang saya pasti rakan mahasiswa lain pasti bersetuju, kalau kepulangan Haji Maszlee disambut baik oleh semua. Kita semua tidak sabar dengan tarikh pertemuan lain oleh Haji Maszlee dan semua yang berada di Kementerian Pendidikan. Bukankah kita semua akan bergabung dan bersatu suara menjadikan pendidikan sebagai alat untuk mengubah situasi negara ke arah yang lebih baik.

Autonomi dan khabar dari Haji Maszlee

Ada dua perkara yang mahasiswa tuntut sejak dahulu iaitu: kebebasan akademik dan autonomi. Autonomi secara ringkas adalah memisah dan mengurangkan kuasa kerajaan terhadap mana-mana institusi pendidikan.

Tapi sayang sejuta kali sayang, selepas kepulangan Haji Maszlee ke tanah air, berita kecewa dilempar kepada mahasiswa yang mahu bersama melakukan perubahan. Maszlee menerima jawatan presiden UIAM, sementara pegawai Murad dilantik menjadi pengarah di Universiti Utara Malaysia.

Ini membawa kepada beberapa mahasiswa yang kesal dengan tindakan menteri pendidikan dan semua yang bekerja di Kementerian Pendidikan, kerana membelakangi kepercayaan dan prinsip mahasiswa yang lama dulu, kami sama-sama anuti. Ini jugalah yang rakan mahasiswa lain yang sedaya upaya berjumpa Haji Maszlee sebelum ini inginkan.

Tetapi yang timbul marah-marah hanyalah tentang isu Haji Maszlee-UIAM. Mereka lupa lantikan Murad di UUM juga adalah lantikan politik. Dan seperti kata Wan Saiful Wan Jan malam sebelum kami ditangkap, akan ada lebih banyak lantikan politik selepas ini (silakan WSWJ untuk saman jika saya bohong).

Mereka lupa Haji Maszlee milik semua orang. Beliau adalah menteri pendidikan, Ahli Parlimen Simpang Renggam, kini juga presiden UIAM. Bagaimana ini tidak boleh membuka mata kalian, bahawa ini adalah permulaan kepada conflict of interest yang akan berlaku dan menjadi tanggungjawab kita untuk menghalangnya.

Jika kita tidak menghalang, percayalah kita cuma akan mengulangi BN 2.0. Kalau pun hujahnya hanya tentang UIAM, Haji Maszlee punya banyak tugas lagi untuk dilaksanakan di sekolah mahupun universiti awam yang lain, apatah lagi untuk berbakti kepada rakyat di kawasannya.

Kalau jujur mahu berubah, pecat Murad di Universiti Utara Malaysia kerana undang-undang UUM tidak sama di UIAM. Adakah Haji Maszlee akan lakukan itu? Kerana sejak dari awal hujah Haji Maszlee adalah antara beliau dengan UIAM. Jadi sila pecat Murad kerana lantikan politik tidak akan diterima di mana pun!

Mahasiswa majoriti-minoriti

Saya percaya hujah majoriti-minoriti yang dipakai hari inilah yang menyebabkan dunia menjadi kacau bilau. Sebelum pertemuan bermula, saya bacakan senarai kertas 62 NGO yang bersama dengan perjuangan mahasiswa bahawa perlantikan Haji Maszlee dan Murad, di mana keduanya adalah orang berjawatan di kementerian, adalah konflik kepentingan yang jelas harus dibantah.

Saya pasti mereka (mahasiswa dan NGO) semua adalah mereka yang mahukan perubahan dilakukan secara jujur dan berprinsip. Suara mereka mesti didengar. Bukankah kita mahukan perubahan dari bawah ke atas. Atau Dr Maszlee telah lupa apa yang diajarnya sendiri? Atau mungkin kerana berada dalam kekuasaan, maka Dr Maszlee mahu perubahan dilakukan dari atas ke bawah?

Dr Maszlee, terus terang saya katakan bahawa Dr Maszlee tidak serius mahukan perubahan, tapi membontoti apa yang BN lakukan. Seratus juta alasan sekalipun, jujur saya katakan sebenarnya Dr Maszlee tidak percaya kepada suara mahasiswa dan civil society yang berada bersama Dr sebelum ini yang mahukan perubahan yang adil. Tidak ada perubahan pun yang akan berlaku jika masih mengikut jejak langkah BN. Kita bukan bodoh, untuk tahu yang berkuasa akan terus berkuasa.

Dr Maszlee, kalau perubahan “Oxford” yang Dr inginkan, dan makna demokrasi cumalah menteri datang-duduk-dengar dan langgar janji sendiri, biar saya bisikkan di telinga Dr (agar tak dianggap kurang ajar) bahawa demokrasi pun sudah hilang maknanya!

Menghidupkan cita sempurna

Hari ini Hari Malaysia. Selepas tangkapan dua orang Mahasiswa di Kementerian Pendidikan, ini tangkapan kedua dibuat oleh kuasa terhadap lapan orang mahasiswa dan anak muda di Sabah. Kenapakah mereka yang sedikit ini berteriak? Marah mereka itu pada siapa? Pada Haji Maszlee? Pada Murad di UUM? Pada pensyarah kah? Atau nilai institusi-institusi gila yang merupakan Cita Bencana kepada masyarakat?

Saya melihat mereka yang ditangkap ini adalah orang yang komited memperjuang nasib masyarakat. Mereka ini kecil tetapi jiwanya besar. Saya melihat kerja-kerja dan tuntutan suci mereka mendidik anak bangsa, menimbulkan kesedaran rakyat tentang tujuan dan peranannya secara besar-besaran supaya golongan yang berkuasa akan berdayung mengikut arus bukan bermain di pantai yang senyap.

Tapi lihat apa kekuasaan lakukan; mereka takut pada suara mahasiswa; mereka takut pada suara anak muda yang mahu lakukan perubahan!

Antara dua dunia – Oxford dan Sabah. Selamat Hari Malaysia!

Dalam solidariti rakan-rakan di Sabah,
Izzah Dejavu

Izzah Dejavu adalah di antara kumpulan mahasiswa yang protes di depan Kementerian Pendidikan dan kemudian ditahan.


Sumber: Facebook Izzah Dejavu

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments