Undilah untuk satu parlimen yang bebas untuk negara kita

0
76
Proportional representation would be fairer and more inclusive - Photograph: Wikimedia Commons

Negara kita memerlukan kehadiran satu barisan pembangkang yang kuat di parlimen untuk membebaskan beberapa institusi-institusi awam daripada cengkaman kuasa eksekutif, ujar WH Cheng.

Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mana RM42bn lesap entah ke mana dan sejumlah RM2.6bn pula dijumpai di dalam akaun peribadi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Pertama merangkap presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional Najib Razak telah menjadi suatu berita hangat bukan sahaja di dalam negara ini; malah di kalangan masyarakat antarabangsa turut memberikan perhatian terhadap kedua-dua skandal kewangan yang secara langsung telah melibat dan memalukan seorang pemimpin tertinggi negara kita ini.

Belum lagi selesai kedua-dua skandal di atas yang cuba disembunyikan sedaya upaya oleh pihak kerajaan, kini terdedah pula satu lagi skandal di Lembaga Kemajuan Tanah Wilayah (Felda) yang melibatkan sebahagian dari wang perbadanan tersebut sejumlah RM43bn.

Skandal-skandal berbilion-bilion ringgit tersebut terus berlaku kerana negara kita ini seolah-olah telah menjadi “harta” milik persendirian Umno dan presiden partinya setelah berkurun abad memerintah negara ini, di mana seluruh lapisan masyarakat “dikehendaki patuh dan taat setia” kepada presiden Umno walau apajua berlaku, kononnya beliau berada di tampuk pemerintahan sedemikian atas restu “Allah” ataupun Tuhan.

Ketiga-tiga jentera utama pentadbiran negara, iaitu eksekutif (kabinet), parlimen (penggubal dasar dan undang-undang) dan kehakiman (perundangan) kesemuanya adalah diurustadbir secara langsung oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sesiapa yang menggepalai JPM selama ini tidak perlu kita dedahkan kerana rakyat jelata telahpun jelas dengan identiti sebenarnya pemimpin tersebut (MO1) yang sungguh licik dan berkuasa sehinggakan berbilion-bilion ringgit lesap di bawah tangannya.

Akibat daripada itulah pelbagai bentuk rang undang-undang yang mengekang hak rakyat untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat telah digubal dan diluluskan di parlimen tanpa penyemakan, pemantauan dan penelitian yang lebih mendalam.

Dengan adanya undang-undang pemerasan tersebut, ianya membolehkan perdana menteri dan Umno terus berkuasa tanpa perlu bimbang dengan pengaruh dan tentangan daripada parti-parti pembangkang ataupun kumpulan-kumpulan pendesak sivil yang giat memperjuangkan integriti dan hak asasi kemanusiaan di negara ini.

READ MORE:  Hadi's bill in Parliament: 'Today is a sad day for Malaysians'

Di negara kita, jawatan perdana menteri telah menjadi suatu kedudukan kepimpinan yang terlalu berkuasa sehinggalah apajua semak dan imbang terhadap penyandang adalah dilarang sama sekali.

Untuk makluman, selaku perdana menteri, beliau juga adalah pengerusi Majlis Keselamatan Negara (menggantikan Majlis Gerakan Negara yang telah dibubarkan) yang baru dibentuk bagi mengguruskan secara langsung segala hal-ehwal “keselamatan, ketenteraan, kepolisan dan politik” dalam negara ini.

Di dalam sistem parlimen negara kita, walaupun ianya terdapat unsur yang memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan pusat, namun ianya terhad kepada hanya urusan pentadbiran dan belanjawan yang remeh sahaja sementara itu tidak wujud langsung mekanisme untuk menyemak imbang JPM pada keseluruhannya.

Contoh yang paling ketara adalah ahli-ahli parlimen dan orang awam adalah dilarang sama sekali untuk bertanya atau berbincang perihal kegiatan yang dijalankan di dalam Perbadanan Petroleum Negara Berhad (Petronas), kerana kesemua bentuk aktiviti Petronas adalah dilindungi dan tertakluk di bawah Akta Petronas dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Jadi, bagaimana ahli-ahli parlimen dapat memastikan bahawa perdana menteri memerintah dan menguruskan negara kita dengan penuh integriti, bermoral tinggi, jujur dan tidak melakukan sebarang perbuatan rasuah? Jawapannya adalah tidak ada dan jika sekiranya ada sesiapa mengorak langkah menyoal lebih mendalam, penangkapan, pendakwaan dan pemenjaraan bakal menanti anda.

Sekali lagi, ingin kami tegaskan bahawa sebab utama kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang masih berleluasa di dalam kerajaan adalah kerana ketiadaan mekanisme pemantauan yang menyeluruh terhadap sebarang tingkah laku perdana menteri dan menteri-menteri kabinetnya di dalam sistem parlimen yan sedia ada pada hari ini.

Ini bermakna, selagi Najib masih perdana menteri, selama itulah beliau akan berkedudukan kebal dan bebas daripada segala jenis penyiasatan dan persoalan mengenai perilaku, kedudukan moral dan kedudukan kewangan beliau.

Tibalah masanya bagi rakyat jelata untuk memainkan peranan yang lebih menyeluruh di dalam memastikan wujudnya suatu mekanisme yang dapat menghenti atau menggantung perkhidmatan seseorang pemimpin kerajaan sekiranya terdapat dakwaan atau penyiasatan terhadap ketelusan beliau, keterlibatan beliau di dalam rasuah, penyalahgunaan kuasa atau apajua skandal.

Langkah untuk menghenti atau menggantung perkhidmatan seseorang perdana menteri sebenarnya tidak boleh dianggap sebagai tidak berpelembagaan atau bercanggah dengan demokrasi; sebaliknya ianya adalah merupakan salah satu daripada lunas demokrasi yang perlu diperkembangkan kerana rakyat jelatalah yang punyai hak untuk menentukan siapa yang layak memerintah negara ini atau sebaliknya.

READ MORE:  Are we ready for a hung parliament?
Kurangnya penelitian dan pemantauan

Sistem parlimen di dalam negara kita pada hari ini masih terhad dari segi kegiatan penelitian dan pemantauan terhadap perilakuan perdana menteri dan para menteri kabinetnya.

Kurangnya mekanisme pemantauan yang wajib tersebut telah memberikan kesempatan kepada perdana menteri atau menteri kabinetnya untuk tidak hadir sepenuhnya pada seesi soal jawab dan pemantauan di dalam Parlimen bagi menjawab segala persoalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen.

Perdana menteri dan menteri kabinetnya seringkali tidak hadir pada sessi penuh Parlimen; kononnya yang sering diketengahkan adalah kesibukan mereka di dalam urusan kementerian, bermesyuarat, berurusan dan upacara rasmi yang kebanyakannya tidak munasabah mahupun kukuh.

Kekurangan kuasa di dalam sistem parlimen negara kita telah sering diambil kesempatan oleh para pemimpin parti memerintah untuk terus menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka dengan sewenang-wenangnya tanpa perlu bimbang akan dikesan.

Dan jika sekiranya ianya terdedah kepada umum, ianya akan segera ditahan dan dihapuskan manakala mereka yang mendedahkannya akan ditangkap, didakwa dan dipenjarakan mengikut beberapa undang-undang yang sedia ada.

Yang lebih memburukkan keadaan adalah kesemua agensi penyiasatan dan pendakwaan yang kononnya “bebas” adalah di bawah kelolaan secara langsung oleh JPM, sekaligus membuktikan yang “kebebasan” sebenarnya agensi-agensi tersebut tidak pernah wujud selama ini.

Parlimen dan rakyat perlu aktif memainkan peranan

Walaubagaimanapun, satu-satunya jalan penyelesaian untuk negara kita pada hari ini masih terletak di tangan institusi Parlimen dan rakyat jelata.

Walaupun kegiatan semak imbang adalah masih terhad, namun ianya boleh bertindak sebagai satu kuasa penekan terhadap perdana menteri, JPM dan para menteri kabinetnya di dalam usaha membuktikan para pemimpin kerajaan ini mempunyai tingkahlaku dan moral yang baik serta bebas daripada amalan rasuah.

Ahli-ahli Parlimen daripada kalangan parti-parti pembangkang dan juga ahli-ahli Parlimen parti memerintah seharusnya lebih berfikiran terbuka dan bertindak lebih matang dengan lebih mengutamakan kepentingan negara daripada parti masing-masing dengan menjalankan tanggungjawab mereka berdasarkan sanubari (conscience).

Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini banyak menjanjikan beberapa siri pembaharuan untuk memantapkan lagi sistem parlimen negara ini, dan beliau juga pernah mengancam untuk meletakkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Dewan jika sekiranya cadangan pembaharuan parlimen beliau ditolak oleh jemaah menteri.

READ MORE:  Confirm key government appointments in Parliament

Ke mana perginya kesemua yang pernah disebut dan dijanjikan beliau sebelum ini? Apa lagi alasan yang beliau dapat berikan pada hari ini kerana siri pembaharuan parlimen yang pernah dijanjikan masih tidak kelihatan. Bilakah Yang Dipertua Dewan Rakyat itu akan meletakkan jawatannya?

Jadi, apakah yang harus kita lakukan sebagai rakyat Malaysia dan pengundi? Sebagai permulaan, keutamaan kita haruslah bertumpu kepada kepentingan negara dan bukannya parti-parti politik, kaum dan agama.

Janganlah memberikan alasan bahawa mengundi parti memerintah secara berterusan adalah suatu budaya, hubungan kekeluargaan, kaum, agama dan sebagainya. Kesemua ini tiada kaitan dengan politik.

Kita sebagai rakyat Malaysia dan pengundi perlulah praktikal dan melihat dari segi seni pemerintahan negara. Jikalau seni pemerintahan yang parti ini adalah salah atau gagal, maka kita perlu memilih parti yang satu lagi di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Mencampuradukkan budaya, hubungan kekeluargaan, kaum dan agama dengan seni politik akan merosakkan sistem politik dan seni pemerintahan negara sekaligus. Campuran tersebut juga akan menjerumuskan kerajaan di dalam kancah rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan, ketidaksaksamaan, ketidaksamarataan; seterusnya rakyat dan negara akan pecah belah.

Rakyat perlu menyeimbangkan parlimen

Mengundi di dalam pilihanraya umum dengan memberikan majoriti ataupun kemenangan mutlak kepada parti memerintah (BN – Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP, SUPP, PBB, PBRS, PBS, dsb) tidak semestinya akan mengerakkan sesuatu dasar atau perubahan yang rakyat inginkan.

Majoriti atau kemenangan mutlak kepada parti memerintah tidak akan dapat memastikan apajua gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan skandal-skandal dapat dihapuskan dengan segera.

Sebaliknya, parti memerintah akan menjadi lebih berkuasa, para pemimpin akan menjadi sombong, ketamakan kuasa dan kekayaan akan giat berlaku. Pendek kata, rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan lebih berleluasa.

Negara kita memerlukan kehadiran satu barisan pembangkang yang kuat dan kukuh di parlimen (Pakatan Harapan – PKR, DAP, Amanah bersama PRM, PSM, PPBM, Warisan, Star, PBDS Baru, Usno Baru, PHBS, dsb) bagi memastikan pembaharuan di dalam sistem parlimen dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

Ia akan juga membebaskan beberapa institusi-institusi awam daripada cengkaman kuasa eksekutif serta mengerakkan jawatankuasa-jawatankuasa pemantauan di dalam parlimen bagi menyemak imbang segala kegiatan perdana menteri dan menteri-menteri kabinetnya dengan lebih berkesan agar kerajaan menjadi lebih telus, akauntabel dan berkesan.

Source: socialaffairs.blogspot.my

(Visited 142 times, 1 visits today)
Thanks for dropping by! You are one of an increasing number of readers looking up Aliran for independent analyses and views. We work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to continue the struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. So would you consider making a donation to keep us going - or why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here