Kerugian forex Bank Negara: Mengapa saya tidak dibenarkan hadir siasatan, tanya Anwar

0
Photograph: The Malaysian Insider

Anwar Ibrahim berasa amatlah tidak adil jika saksi-saksi lain dibenarkan membuat dakwaan yang memudaratkan terhadap beliau di hadapan suruhanjaya walhal beliaua tidak dibenarkan memberi respon.

Saya berasa bimbang bahawa saya terus tidak akan dibenarkan hadir pendengaran Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) terhadap kerugian mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) walaupun permintaan saya ini berkali-kali dibuat peguam-peguam berdasarkan fakta bahawa nama saya telah disebut beberapa kali oleh sesetengah saksi.

Sudah pasti saya seorang yang ada “kena mengena dalam perkara yang sedang disiasat” seperti terkandung di dalam seksyen 18, Akta Suruhanjaya Siasatan 1950. Walaupun begitu saya hanya dapat mengikuti perkembangan pendengaran melalui pertemuan dengan peguam-peguam saya di Penjara Sungai Buloh.

Saya telah membaca kenyataan saksi oleh Dato Murad bin Abdul Khalid di mana pada perenggan 37, beliau mendakwa bahawa di dalam satu penerbangan ke Hawaii pada awal 1994, beliau telah memberi satu taklimat kepada saya berkenaan kerugian mata wang asing BNM dan saya berkata kononnya bahawa jika kerugian tersebut diketahui umum, maka saya terpaksa meletakkan jawatan menteri kewangan. Sindiran berniat jahat beliau cukup jelas – bahawa makna tersirat kata-kata saya itu ialah isu tersebut perlu ditutup.

Tuduhan ini adalah palsu belaka. Saya tidak pernah berkata sedemikian kepada beliau. Saya menegaskan bahawa saya tidak perlu berkata sedemikian kepada seorang petugas seperti Murad yang diarah Gabenor BNM Tan Sri Jaffar Hussein untuk memberi taklimat kepada saya berkenaan aspek teknikal perakaunan dan isi kandungan laporan tahunan BNM. Saya ingin menegaskan bahawa selain satu taklimat ini, saya telah berurusan secara terus dengan Tan Sri Jaffar.

Saya telahpun mengendalikan isu kerugian mata wang asing BNM ini sejak April 1993 sewaktu saya menjawab di Parlimen berdasarkan angka dan maklumat yang terkandung di dalam laporan BNM yang diterbitkan pada 1992 serta taklimat-taklimat BNM kepada saya. Saya sekali lagi menjawab di Parlimen pada April 1994 berdasarkan laporan BNM pada 1993 serta taklimat BNM.

READ MORE:  Can Anwar prove his 'formidable' majority?

Murad mulai memusuhi saya secara peribadi sejak 1999 apabila beliau membuat akuan berkanun (statutory declaration) yang palsu terhadap saya. Akua ini telah disiasat Badan Pencegahan Rasuah pada ketika itu dan didapati tidak berasas. Seorang hakim Mahkamah Tinggi mengesahkan hal ini dan berkata “akuan tersebut meragukan (discredited)” apabila hakim memutuskan New Straits Times bersalah di dalam kes saman saya berkenaan satu laporan akhbar tersebut yang merujuk akuan berkenaan.

Saya akan mengulangi kenyataan saya ini kepada pihak suruhanjaya apabila saya dipanggil untuk membantu siasatan ini. Saya berkata “apabila saya dipanggil” kerana saya berasa amatlah tidak adil jika saksi-saksi lain dibenarkan membuat kenyataan dan dakwaan yang memudaratkan terhadap saya di hadapan duruhanjaya walhal saya tidak dibenarkan memberi respon kepada mereka dengan cara yang sama.

Anwar Ibrahim berada di Penjara Sungai Buloh.

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments