Kenapa faktor Dr Mahathir menjadi penyumbang kepada pakatan pembangkang?

0
1138
Is the new retirement age 95? - Photograph: zaid.my

Bagi golongan konservatif Melayu, Mahathir adalah tokoh alternatif yang dapat menggantikan keseluruhan Umno, ujar WH Cheng.

Dalam tahun 2008, parti-parti pembangkang utama yang selama ini tidak dapat mencapai kata sepakat akhirnya begabung di bawah payung Pakatan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim setelah kejayaan mereka di dalam menafikan sekaligus majoriti dua pertiga Barisan Nasional pada pilihan raya umum tahun tersebut.

Namun, apabila Anwar dipenjara semula politik di dalam PR sekali bergolak apabila Pas mengambil keputusan bersama Umno di dalam usaha mereka untuk menjayakan perlaksanaan hukum-hukum hudud melalui pemindaan undang-undang Syariah yang sedia ada.

Setelah perpecahan PR akibat daripada keputusan Pas untuk meninggalkan gabungan tersebut, dan pada masa yang sama Anwar masih berada di dalam penjara, kini giliran Dr Mahathir Mohamad pula mengambil-ahli peranan sebagai “peneraju” bagi membantu membina semula gabungan parti-parti pembangkang terkini, Pakatan Harapan, agar ia diperkukuhkan lagi menjadi satu gabungan yang kekal.

Di dalam kepimpinan PH yang baru, ianya telah menyenaraikan Anwar sebagai ketua umum, manakala Mahathir mengambil peranan sebagai pengerusi, dan Dr Wan Azizah Wan Ismail (presiden PKR) mengambil jawatan sebagai presiden PH. Barisan kepimpinan PH ini telah diperbaharui setelah rundingan di antara PKR, DAP, Amanah dan parti yang terbaru PPBM yang kini diterajui oleh Mahathir.

Keputusan yang paling mencabar di sini adalah keputusan meletakkan Mahathir sebagai pengerusi PH dan bagi mendapatkan persetujuan Anwar mengenai barisan kepimpinan yang baru tersebut. Ramai yang percaya dengan adanya ketokohan kedua-dua Anwar dan Mahathir, ia mampu menjana PH ke arah yang lebih dekat lagi dalam usaha mereka menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib Razak di dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Memang tidak dapat dinafikan, bahawa usaha untuk mendapatkan Anwar untuk sekali lagi bersama Mahathir di dalam pakatan yang terbaru ini memanglah sesuatu yang paling mencabar sekali, apatah lagi kedua-dua pemimpin ini pernah berganding rapat, bermusuhan dan kini berganding semula.

Di dalam tahun 1980an, Mahathir telah melantik Anwar sebagai salah satu penggantinya. Dengan sokongan Mahathir, Anwar dilantik menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan setelah hanya sedekad di dalam Umno.

Mahathir memecat Anwar pada tahun 1998 atas dakwaan ‘jenayah homoseksual’ setelah mendapati timbalannya menjadi semakin menonjol di dalam kepimpinannya dan seterusnya dipenjarakan setelah didapati bersalah atas dakwaan salahlaku dan jenayah seksual. Mahathir seterusnya menjadi perdana menteri yang paling lama berkhidmat, selama 22 tahun lamanya.

READ MORE:  Encouraging signs as PH government reaches 100-day mark

Kuasa Mahathir pada masa itu (selaku perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri kewangan pertama) bergitu berpengaruh sehinggakan Anwar tidak berpeluang untuk dilepaskan sehinggalah ke tahun 2004, iaitu setahun selepas Mahathir metelakkan jawatannya sebagai presiden Umno, pengerusi BN dan perdana menteri.

Di sebalik tampuk pemerintahan yang baru di dalam Umno dan kerajaan BN ketika itu, Mahathir masih mengekalkan kuasa dan pengaruh beliau di sebalik tadbir, melantik Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya dan seterusnya menyumbang kepada penyingkiran Abdullah pada tahun 2009 serta menggantinya dengan calon pilihan keduanya, Najib Razak.

Rancangan Mahathir nampaknya sungguh berjaya sehinggalah apabila Najib enggan tunduk kepada permintaan khusus Mahathir untuk membantu mengusahakan kenaikan anaknya Mukhriz Mahathir ke salah satu daripada lima jawatan tertinggi Umno. Setelah penolakan Najib tersebut, maka bermulalah satu lagi kempen Mahathir untuk menyingkirkan Najib.

Kedudukan Najib sebagai perdana menteri sekarang dilihat kukuh kerana jawatan tersebut memberikan kelebihan untuk beliau untuk terus kekal di dalam kepimpinan Umno di sebalik langkah drastik Mahathir untuk menyingkirkan beliau dari dalam parti.

Mengapa Najib kukuh di dalam BN? Sewaktu pemerintahan Mahathir yang lalu, beliau sendiri telah memusatkan segala kuasa ke Pejabat Perdana Menteri bagi memastikan kedudukan beliau sendiri kukuh dan mustahil untuk disingkirkan dengan mudah walaupun terdapat pergolakan demi pergolakan di dalam Umno pada masa itu. Nampaknya Mahathir kini sedang merasai dirinya menjadi mangsa kepada sistem hasil ciptaan beliau sendiri di masa lalu.

Memandangkan langkah untuk menggulingkan Najib dari dalam Umno semakin pudar, Mahathir tiada pilihan kecuali keluar daripada Umno dan membentuk sebuah lagi parti baru, Parti Pribumu Bersatu Malaysia, dan kemudian membawa PPBM menyertai PH kerana beliau sedar dengan hanya mengukuhkan pakatan pembangkang tersebut ianya akan dapat membantu mendekatkan lagi peluang untuk menyingkirkan Najib, Umno dan BN daripada Putrajaya.

Mahathir juga kini terperangkap dengan dasar pemerintahan autokratnya di masa lampau. Ramai di kalangan golongan kelas menengah masih tidak dapat memaafkan dasar pemerintahan kuku besi yang didalangi beliau pada masa lalu di mana ramai pemimpin parti-parti pembangkang ditahan di bawah ISA.

Keengganan Mahathir untuk memohon maaf di atas kesilapannya yang lepas telah mengakibatkan kemarahan ramai. Di dalam satu temu ramah yang lalu, beliau menegaskan penahanan beramai-ramai para pemimpin sivil dan parti-parti pembangkang pada tahun 1987 adalah atas permintaan dan nasihat pihak polis.

READ MORE:  Mahathir faces daunting challenges on all fronts

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pihak polis begitu taat setia kepada pemerintahan Mahathir pada masa itu dan ketaatan pihak polis kepada perdana menteri merangkap presiden Umno yang seterusnya, Najib Razak, bukanlah sesuatu yang baru pada hari ini. [Nampaknya, pihak tertentu] bersungguh-sungguh melindungi beliau daripada siasatan penglibatan beliau di dalam skandal 1MDB yang pernah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dipercayai juga peguam negara sebelum ini yang telah dipecat.

Perlunya Mahathir dalam PH?

Kenapa tajuk yang mustahil ini boleh menjadi satu kenyataan? Tanda tanya ini masih terpahat di dalam pemikiran ramai di antara kita, khususnya apabila Mahathir masih enggan memohon maaf di atas perbuatan silamnya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa Mahathir merupakan pemyumbang utama kepada kelemahan dan ketidakberkesanan beberapa institusi utama negara seperti kehakiman, parlimen, suruhanjaya pilihanraya serta beberapa badan penguatkuasa dan agensi keselamatan.

Walaubagaimanapun, setahu ramai, Mahathir adalah satu-satu pemimpin atau tokoh di luar Umno yang masih mampu merentasi sempadan kawasan-kawasan pendalaman yang selama ini dihalang kemasukannya oleh golongan tertenut Umno dan Pas, di mana daripada kawasan-kawasan inilah PH amat memerlukan kesedaran dan undi mereka untuk menjatuhkan Umno di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Ada satu lagi sebab yang jarang diketahui ramai mengapa Mahathir diberikan peranan yang penting di dalam PH hari ini – sebab yang belum pernah diperbincangkan di kalangan umum secara terbuka.

Pucuk pimpinan PH menyedari hakikat bahawa ada Najib, Umno dan BN mungkin tidak akan begitu mudah menyerahkan kerajaan pusat kepada parti lain sekiranya mereka benar-benar tewas di dalam pilihanraya umum yang akan datang. Najib, Umno dan BN mungkin akan cuba kekal di dalam kerajaan melalui undang-undang darurat dengan memerintah negara ini melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN)(sepertimana yang pernah dilakukan oleh mendiang ayahnya Tun Abdul Razak ketika itu, memerintah melalui Majlis Gerakan Negara).

Namun sebelum MKN dan darurat dikuatkuasakan, Najib perlu mendapatkan perkenan daripada Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja. Kedudukan Majis Raja-raja ini dilihat sebagai institusi yang amat berpengaruh. Yang Dipertuan Agong perlu memberikan perkenan jika undang-undang darurat perlu dikuatkuasakan, dan baginda juga berperanan untuk memperkenankan perlantikan seseorang perdana menteri.

Walaupun negara kita mengamalkan sistem raja berpelembagaan dan Raja-raja Melayu sepatutnya berada di atas sebarang perlakuan politik, namun secara praktikal baginda raja-raja juga berhak untuk menentu dan menolak calon-calon menteri besar yang diketengahkan oleh parti memerintah (Umno).

READ MORE:  Wrong advice, Mahathir; tell your ministers to be more socialist

Beberapa tahun kebelakangan ini juga melihat campurtangan raja-raja apabila calon-calon yang dikemukakan oleh Umno ditolak baginda raja-raja; sebaliknya diletakkan calon pilihan atau kesukaan baginda sebagai pengganti. Hanya pemimpin yang tidak berakal sahaja akan mengingkari perintah raja-raja Melayu.

Dari sinilah Mahathir dilihat dapat memainkan peranan beliau bagi pihak PH dengan berkesan. Sekiranya PH memenangi pilihanraya umum yang akan datang beliau akan dapat bertindak sebagai penghubung di antara kepimpinan PH dengan Majlis Raja-raja. Mahathir masih dilihat sebagi tokoh yang masih berpegang teguh terhadap ketuanan di dalam institusi kemelayuan di negara ini bagi memastikan dominasi masyarakat tersebut akan berterusan di dalam sebuah kerajaan baru yang bukan Umno mahupun BN.

Memang tidak dapat dinafikan juga, masih ramai di kalangan golongan konservatif Melayu bimbang dengan DAP yang kian popular di kalangan anak-anak muda kerana mereka melihat DAP sebagai sebuah parti yang sekular, seakan-akan mengancam kewujudan ketuanan masyarakat Melayu. Dengan adanya Mahathir di sebelah PH, maka kebimbangan mereka dapat diketepikan.

Malah, ada juga yang berpendapat Anwar juga boleh memainkan peranan sepertimana  Mahathir, tetapi tanggapan mereka kurang tepat. Golongan konservatif Melayu masih melihat Anwar sebagai seorang pemimpin “liberal” yang rapat dengan DAP.

Ramai di kalangan golongan konservatif Melayu juga bimbang sekiranya Anwar menerajui kerajaan, banyak kontrak kerajaan yang diberikan atas nama “hak keistimewaan” akan berkurangan dan para peniaga serta kontraktor terpaksa bersaing di dalam pasaran terbuka.

Pendek kata, dengan adanya Mahathir, kebanyakan kebimbangan mereka akan dapat dipadamkan, kerana beliau pernah menegaskan hak keistimewaan untuk kontraktor dan usahawan Melayu adalah masih diperlukan bagi meningkatkan prestasi ekonomi mereka. Mahathir masih dilihat sebagai pendukung utama hak-hak orang Melayu dan pencapaian beliau dalam mempertahankan sistem tersebut ternyata masih tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pemimpin yang ada sekarang.

Sekiranya para penyokong golongan konservatif Melayu terpaksa menerima peralihan kuasa daripada BN kepada PH jika BN benar-benar kalah di dalam pilihanraya umum yang akan datang, pemimpin dan tokoh di luar Umno yang mereka paling yakini adalah Mahathir. Bagi mereka, Mahathir adalah tokoh ketuanan Melayu yang alternatif yang dapat menggantikan keseluruhan Umno.

Untuk tujuan tersebut, kedudukan Mahathir di tangga kepimpinan PH adalah suatu jaminan.

Sumber: g-socialaffairs.blogspot.my

Thanks for dropping by! Apart from the views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed, the opinions in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation of whatever amount you can afford to sustain Aliran. Please make payments to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.

And why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.

Join the conversation

avatar
750
  Subscribe  
Notify of