PSM perlu lebih menonjolkan diri dalam arena politik negara kini

0

Perjuangan membela rakyat tidaklah hanya kepada berkhidmat dan membantu sahaja tetapi sistem dan pentadbiran yang ada perlu diubah dan dirombak dengan sepenuhnya, ujar W H Cheng.

Kini genap tahun keempat, selepas berakhirnya pilihanraya umum ke-13 yang menyaksikan Parti Sosialis Malaysia (PSM) kehilangan satu kerusi yang pernah disandangnya akibat daripada tindakan beberapa parti pembangkang yang memungkiri janji untuk tidak memecahbelahkan undi di kawasan yang ditandingi PSM.

Kesudahannya adalah PSM kini tinggal hanya satu kerusi di peringkat parlimen di mana wakilnya Dr Michael Jeyakumar Devaraj berjaya mempertahankan kerusi di kawasan Sungai Siput, Perak dengan menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Masalahnya adalah, adakah PSM akan terus menggunakan tiket PKR untuk bertanding di dalam pilihanraya-pilihanraya umum yang seterusnya? Persoalan tersebut masih menjadi tanda tanya sama ada PKR akan sekali lagi masuk memecahkan undi jika sekiranya PSM mengambil keputusan untuk menggunakan tiketnya sendiri di dalam pilihanraya umum ke-14 nanti.

Apakah tindakan dan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan oleh PSM untuk mengketengahkan parti tersebut di mata umum agar PSM lebih menonjolkan diri mereka di arena politik negara terkini.

Di dalam arena politik negara sekarang, gabungan Barisan Nasional (BN) sudah puluhan dekad wujud dan rakyat telah mula muak dengan BN akibat daripada penyelewengan dan rasuah di dalam kerajaan yang diterajuinya.

Gabungan PKR-DAP-PAS (Pakatan Rakyat) yang diwujudkan pada 2008 telah berkubur dan bangkit semula sebagai gabungan PKR-DAP-Amanah (Pakatan Harapan).

Yang terbaru, gabungan Pas-Ikatan telahpun diumumkan baru-baru ini.

Masing-masing, yakni ketiga-tiga gabungan parti politik tersebut telahpun mengambil langkah-langkah untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Namun demikian, Gabungan Kiri (PSM-SAMM) pula tidak kelihatan walaupun ianya telah wujud lebih awal daripada gabungan Pas-Ikatan. Di manakah perginya Gabungan Kiri dan PSM di dalam arena politik negara kita sekarang?

READ MORE:  Pelan tindakan nasional untuk menangani kegawatan ekonomi yang dicetus oleh wabak Covid-19

Kita bukannya mempersoalkan siapakah yang terdahulu, lebih awal, mendahului, terlewat ataupun kemudian, tetapi apa yang kita cuba ketengahkan di sini adalah PSM nampaknya sudah ketinggalan di dalam arus perjalanan dan pembangunan politik negara.

Hal-ehwal negara (nation’s state of affairs)

Adalah difahamkan bahawa isu mengenai pembentukan kabinet bayangan (shadow cabinet) timbul sekali lagi apabila pembaharuan sistem parlimen mula menjadi tajuk perbincangan di kalangan parti-parti pembangkang ekoran daripada satu kenyataan yang dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat baru-baru ini.

Yang kita pasti adalah DAP sudahpun mempunyai kabinet bayangannya sendiri untuk memantau kegiatan kerajaan BN. Selain daripada itu, DAP juga mempunyai barisan exco bayangannya (shadow excos) sendiri di peringkat negeri bagi memantau kerajaan-kerajaan negeri BN.

PKR dan Amanah masih belum menampakkan kesediaan dan usaha mereka untuk membentuk barisan kabinet bayangan dalam parti masing-masing sehingga pada hari ini.

Pas pula nampaknya lebih berminat dengan isu-isu agama, tradisional dan usaha untuk membawa hukum hudud ke dalam sistem pemerintahan kerajaan walaupun ianya telah disahkan tidak sesuai untuk diamalkan di dalam negara ini.

Di dalam keadaan ini, di manakah PSM dan apakah kedudukan parti tersebut di dalam hal-elwal negara? Daripada mata pandangan rakyat jelata, ianya dapat dilihat seolah-olah hanya DAP yang mampu menandingi kerajaan BN apabila kita bercakap mengenai isu pentadbiran dan kerajaan, sementara PKR, Amanah dan Pas masih dilihat sibuk berpolitik dan bersengketa sesama puak di dalam parti masing-masing.

Keadaan ini jelas telah menimbulkan keresahan rakyat jelata kerana tidak ada satu parti pembangkang pun, selain daripada DAP yang dapat menandingi BN sebagai suatu parti politik yang alternatif dapat menuju ke arah berkerajaan.

READ MORE:  Pelan tindakan nasional untuk menangani kegawatan ekonomi yang dicetus oleh wabak Covid-19

Persoalannya, kenapa PSM tidak mengambil kesempatan daripada kelemahan di kalangan parti-parti pembangkang yang sedia ada? Dengan hanya mempunyai satu ahli parlimen tidak sepatutnya menjadi halangan untuk PSM untuk lebih menonjol dan melibatkan diri mereka dengan lebih aktif di dalam hal-ehwal negara.

Pembentukan kabinet bayangan ini adalah penting bagi membuktikan kepada rakyat jelata bahawa PSM berkemampuan untuk mentadbir. Satu-satunya cara untuk menyediakan PSM ke arah sedemikian adalah dengan penyediaan serta pembentangan dasar-dasar alternatif dan memantau kegiatan-kegiatan dan perlaksanaan kerajaan-kerajaan BN dan Pakatan serta mengemukakan cadangan-cadangan alternatif yang memberikan penekanan untuk perubahan sekarang ataupun di masa yang akan datang.

PSM juga perlu sedar bahawa kerajinan, keprihatinan dan kesungguhan perkhidmatannya di peringkat akar umbi dan urusan hal-elwal negara adalah dua isu yang berasingan di mana sesebuah parti politik perlu memberikan perhatian khusus. Fokus kepada hanya salah satu daripada tajuk tersebut adalah merupakan satu kelemahan sesebuah parti politik.

Ya, ramai yang sependapat dengan kami bahawa PSM adalah rajin dan bersungguh-sungguh di dalam perkhidmatannya kepada rakyat, prihatin terhadap masalah dan kebajikan serta keadaan sosial-ekonomi rakyat, golongan pekerja dan sebagainya.

Tetapi, persoalan yang sering dibangkitkan oleh rakyat telah mengetahui kewujudan PSM adalah, apakah yang PSM dapat tawarkan kepada rakyat jelata dan negara, selain daripada kerajinan, keprihatinan dan kesungguhan perkhidmatannya? Maksudnya di sini adalah, apakah alternatif PSM di dalam usahanya untuk merubah atau merombak sistem perkerajaan dan pentadbiran agar ianya dapat memberikan manfaat kepada rakyat jelata dan negara di masa yang akan datang?

Apakah dasar dan program alternatif yang dapat dikemukakan oleh PSM dalam bidang yang berkaitan dengan pertahanan dan keselamatan, hal-ehwal dalam negeri, pembangunan ekonomi dan perdagangan antarabangsa, perusahaan tempatan, kesihatan, sumber manusia, pengangkutan, perumahan, pertanian dan sumber asli, sains dan teknologi, kehakiman, hubungan antarabangsa dan sebagainya.

READ MORE:  Pelan tindakan nasional untuk menangani kegawatan ekonomi yang dicetus oleh wabak Covid-19

Pembentangan ini adalah penting bagi menandingi dasar-dasar kerajaan-kerajaan BN dan Pakatan yang sedia ada dan pada masa yang sama dapat memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dasar-dasar alternatif ini yang dilihat dapat mempertingkatkan kualiti hidup, taraf ekonomi rakyat dan mempertingkatkan pembangunan negara.

Oleh yang demikian, PSM perlu keluar daripada lingkungannya yang terhad dan lebih melibatkan diri mereka di dalam isu-isu yang merangkumi kepentingan negara.

Akhir kata, perjuangan membela rakyat tidaklah hanya kepada berkhidmat dan membantu sahaja, tetapi sistem dan pentadbiran yang ada perlu diubah dan dirombak dengan sepenuhnya bagi menjamin kesejahteraan rakyat di jangka masa yang panjang.

Source: g-socialaffairs.blogspot.my

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments