Menyemarakkan ketakutan dalam masyarakat Melayu

0

Rakyat harus sedar tiada agama di dunia merestui keganasan atau bertujuan memecahbelahkan ummah/perpaduan rakyat jelata, ujar Syerleena Abdul Rashid.

Sejarah Malaysia sarat dengan insiden keganasan dan ketidaktoleransian terhadap bangkangan.

Peristiwa-peristiwa seumpama ini terserlah sejak zaman sebelum penjajahan sehinggalah ke era kemerdekaan (dan selanjutnya kepada penubuhan Malaysia yang termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura pada 1963).

Rakyat Malaysia sering diingatkan tentang bahana Peristiwa 13 Mei sehingga membuatkan kita mangli dan dapat menduga taktik pihak berkuasa yang bertujuan menakut-nakutkan rakyat dengan menimbulkan rasa gelisah serta curiga terhadap satu sama lain.

Perkara ini berlaku kerana mereka berjaya melaga-lagakan antara kelompok masyarakat dengan memainkan isu agama.

Rasa takut adalah emosi yang lumrah dimainkan sebagai kaedah di pelbagai negara di dunia dengan tujuan mengawal dan mempengaruhi rakyat.

Di Malaysia, pihak berkuasa nampaknya tidak ketinggalan dalam hal ini di mana strategi berkenaan digemburkan melalui kumpulan ekstremis. Lantaran itu tidak hairanlah tindakan liar dan kenyataan yang secara terang berbaur hasutan daripada kumpulan ekstremis tidak dihiraukan pihak berkuasa – paling tidak, tindakannya hanya dengan memberi amaran dan ia menunjukkan betapa tidak bersungguhnya pihak berkuasa menangani isu-isu ekstremisme.

Dalam menangani gejala ekstremisme dan keganasan ini, rakyat perlu didedahkan dengan maklumat dan penerangan tentang tindakan liar dan ganas mereka adalah sebahagian daripada strategi atau perancangan politik untuk mengawal serta mempengaruhi sebahagian rakyat.

Gejala yang menggugat keharmonian rakyat dapat dilihat dengan kemunculan banyak kumpulan NGO yang bergiat dan bergerak atas landasan kefahaman doktrin yang sempit.

Slogan-slogan seperti “ancaman Kristian” dan rasis yang sering dilaungkan pihak ekstremis sudah menjadi lumrah. Ia tidak lain, ibarat tin kosong yang bertujuan hanya menakutkan rakyat yang lemah dan jahil tentang kewujudan perlindungan di bawah sistem monarki beraja dan perlindungan di bawah undang-undang serta Perlembagaan Malaysia.

Masyarakat Malaysia kini berhadapan banyak cabaran dan masalah dan ia fenomena biasa apabila kita, sebagai rakyat, mempersoalkan kualiti kepimpinan diperlihatkan mereka yang dilantik menerajui kepimpinan negara.

Sewajarnya pemimpin waras dan berwibawa tidak akan membiarkan gejala-gejala memudaratkan keharmonian rakyat bebas berleluasa. Malangnya apa yang kita, rakyat Malaysia, harapkan itu tidak menjelma, paling tidak itulah yang kita lihat kini.

Mungkin pihak berkuasa mempunyai agenda tersendiri. Rakyat kini ibarat manusia tawanan sementara mereka yang berkuasa mencatur kedudukan demi mencapai impian politik untuk kepentingan masing-masing.

Persoalannya ialah, bagaimana kita menangani kezaliman politik yang disusuri gejala fanatisme, bigoteri, sikap kesat dan kebiadaban yang ditonjolkan sekelompok kecil penduduk kita?

Kita boleh mulakan dengan menghebahkan mesej kedamaian dan toleransi. Kita perlu, terutamanya, mengelak daripada bertindak balas mengikut nafsu dan beremosi tanpa kawalan apabila berdepan kumpulan individu yang liar, ganas dan tidak bermaruah. Jangan sesekali alpa mereka ini sentiasa menunggu detik siapa akan nyalakan api yang akan mencetuskan ketegangan.

Rakyat harus sedar tiada agama di dunia merestui keganasan atau bertujuan memecahbelahkan ummah/perpaduan rakyat jelata baik dari segi kaum, keturunan mahupun agama. Berlandaskan rasa hormat dan perikemanusiaan antara satu sama lain, ia membolehkan kita bersama-sama membangunkan negara ke arah mercu kejayaan.

Source: The Malaysian Insider

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments