Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

0
Photograph: themalaysianinsider.com

Rakyatlah harus menjadi penentu parti mana yang perlu berganding dengan parti mana untuk membentuk kerajaan-kerajaan bagi menyempurnakan faedah kepada rakyat jelata, ujar WH Cheng.

Daripada keadaan politik dalam negara ini, kita telahpun dan sedang memerhati beberapa buah gabungan parti-parti politik yang terkini, iaitu Barisan Nasional (BN) yang kekal begitu lama dengan parti komponen utama Umno memonopoli semua aspek keputusan di dalam gabungan dan kerajaan yang diterajui oleh mereka.

Di pihak Pakatan Rakyat (PR) pula ianya merupakan sebuah gabungan parti-parti pembangkang utama, PKR, DAP dan Pas yang bekerjasama secara longgar dan masing-masing mempunyai kedudukan yang setaraf di antara satu sama lain.

Di tengah-tengah kancah cabar mencabar di antara BN dan PR, terdapat satu lagi alternatif yang kini sedang menonjol, Gabungan Kiri Malaysia (GKM) yang merangkumi gabungan parti politik bercampur dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kini dianggotai oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM), sebagai peneraju utama GKM, diikuti dengan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Pusat Sejarah Rakyat dan Collective Intelligence serta beberapa individu yang terkemuka yang menyokong gerakan kiri.

Gabungan pembangkang utama, PR telahpun terkubur baru-baru ini apabila parti komponen ketiga PR, Pas telah mengambil keputusan sendiri untuk melaksanakan cadangan undang-undang hududnya tanpa mendapatkan persetujuan daripada rakan komponennya, PKR dan DAP.

Ekoran daripada keputusan Pas itu juga, ramai ahli-ahli Pas yang tidak menyetujui langkah pemimpin mereka untuk memencilkan diri daripada aliran politik nasional telah keluar parti beramai-ramai untuk membentuk sebuah parti progresif Islam yang baru, Parti Amanah Negara (Amanah). Amanah kini bekerjasama dengan PKR dan DAP membentuk sebuah gabungan pembangkang yang terbaru, Pakatan Harapan (PH) bagi menggantikan PR yang telah terbubar akibat kesesatan Pas.

Persoalan yang utama di sini adalah, perlukah sesebuah gabungan parti-parti politik kekal secara wajib dan untuk selama-lamanya? Apakah kebaikan dan keburukkannya? Apakah implikasi seterusnya kepada rakyat dan negara kita?

Jika kita lihat daripada sudut parti-parti yang bergabung di dalam BN, kita dapati parti komponen terbesar, Umno adalah peneraju utama yang memonopoli segala aspek, keputusan dan pembuatan dasar BN dan pentadbiran kerajaan, manakala parti-parti komponen BN yang lain, MCA, MIC, Gerakan, PPP, SUPP, LDP, PBB, PBS, SPDP, PRS, PBRS dan Kimma terpaksa akur dengan apajua ketetapan dan keputusan yang telah dicapai oleh Umno dan para pemimpinnya.

Dan jika sekiranya terdapat parti-parti komponen BN yang tidak puashati dan mengkritik mana-mana dasar ataupun tindakan yang dilaksanakan oleh Umno, maka parti komponen BN tersebut akan dikecam dengan begitu hebat sekali oleh Umno dan ada kalanya, parti komponen tersebut didesak “meninggalkan” BN jika terus mengkritik Umno dan “menderhakai” BN.

Daripada apa yang kita telah perhatikan, yang sering menjadi mangsa Umno adalah Gerakan, MIC dan PPP. Mangsa yang terbaru adalah MCA apabila Pemuda Bahagian Pasir Gudang telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan presiden Umno ekoran daripada cetusan perkauman yang diakibatkan oleh beberapa pemimpin kanan Umno.

READ MORE:  Rampasan kuasa oleh Perikatan Nasional, itulah hakikatnya

Yang menghairankan adalah, kenapa MCA, MIC, Gerakan atau PPP sanggup dikecam dan diperhambakan dengan begitu tidak adil sekali? Kenapa MCA, MIC, Gerakan atau PPP masih enggan berganjak untuk terus keluar daripada BN setelah dianaktirikan selama ini?

Tidak sedarkah bahawa MCA, MIC, Gerakan atau PPP telahpun menjadi tidak relevan lagi di mata rakyat akibat daripada tindakan perkauman, agama dan ekstremis yang sering dipelopori oleh Umno dan para pemimpinnya selama ini?

Sanggupkah MCA, MIC, Gerakan atau PPP terus diperlakukan seperti hamba di dalam BN dan adakah ini dikatakan “perbincangan dan persefahaman secara tertutup” selama ini? Yang jelas sekali adalah MCA, MIC, Gerakan ataupun PPP tidak sanggup meninggalkan BN walau apajua pun kerana tindakan tersebut akan menyebabkan kesemua faedah yang sedang mereka nikmati selama ini akan hilang terus jika sekiranya mereka berbuat demikian.

Kebaikan pada gabungan BN adalah kerana ianya merupakan suatu organisasi yang stabil dan kekal, manakala keburukannya adalah gabungan kekal seperti BN ini mengakibatkan ketidakseimbangan di dalam strukturnya, di mana sebuah parti komponen yang kuat akan mengambil kesempatan untuk memonopoli dan menguasai segala keputusan pembuatan dasar di dalam BN dan pentadbiran kerajaan dan parti-parti komponen BN yang lain terpaksa akur kepada kekuasaan tersebut. Akibatnya juga, berlaku pelbagai skandal penyalahgunaan kuasa, rasuah dan macam-macam penyelewengan di dalam pentadbiran.

Jika kita perhatikan gabungan Pakatan Harapan (PH, dahulunya Pakatan Rakyat), kita dapati struktur gabungannya yang merangkumi PKR, DAP dan Amanah adalah longgar kerana gabungan pembangkang tersebut tidak dimonopoli oleh parti-parti yang tertentu, walaupun jelas sekali DAP mempunyai jumlah wakil rakyat yang paling ramai, diikuti dengan PKR dan Amanah yang paling kecil jumlah wakil rakyatnya.

Begitu juga dengan Gabungan Kiri Malaysia (GKM) yang dianggotai oleh PSM dan beberapa NGO seperti SAMM, Pusat Sejarah Rakyat, Collective Intelligence serta beberapa individu-individu terkemuka yang berfahaman kiri.

Jika kita melihat daripada sudut “kestabilan”, kedua-dua PH dan GKM adalah tidak stabil kerana struktur dan identitinya adalah tidak kekal dan kewujudan mereka adalah untuk bergerakan secara bersama untuk mencapai sesuatu objektif semata-mata.

Pendek kata, para pemimpin dalam kedua-dua buah gabungan PH dan GKM lebih mengutamakan fleksibiliti dan kesamarataan di dalam “organisasi” gabungan mereka dan masing-masing tidak ingin dikongkong atau dikuasai oleh parti-parti ataupun pihak-pihak yang tertentu di dalam pergabungan mereka. Masing-masing ingin memastikan hak bersuara mereka diberi perhatian secara menyeluruh dan di samping itu, menyemak imbang (checks and balances) di antara satu sama lain.

Untuk membandingkan gabungan-gabungan tersebut mempunyai lebih kebaikan daripada satu sama lain, ataupun mempunyai keburukan daripada satu sama lain, ianya memang tidak akan habis-habis jika sekiranya kita terus memperdebatkan kebaikan dan keburukan gabungan-gabungan BN, PH dan GKM di mata umum.

Yang jelasnya adalah tidak ada sebarang organisasi ataupun gabungan organisasi-organisasi yang boleh mendakwa diri mereka bersih dan bebas daripada segala-gala masalah dan sebarang kesilapan.

Untuk menenangkan keadaan tersebut, semua pihak perlu menerima dan mengamalkan fleksibiliti di dalam mencapai objektif dan dasar-dasar yang diperjuang masing-masing.

READ MORE:  People end up as pawns in power politics

Ini bermakna, sesebuah parti politik tidak perlu berada di dalam sesebuah gabungan secara wajib atau kekal selama-lamanya. Keadaan tersebut juga dapat memastikan sesebuah parti kekal relevan, tidak dikongkong dan mempunyai kesamarataan untuk bersuara dan berperanan aktif di dalam pembuatan dasar.

Contohnya, jika kita melihat daripada hakikat politik, Gerakan dan PPP, yang berideologikan perjuangan tidak mengira kaum untuk menegakkan fahaman Bangsa Malaysia, tidak sepatutnya berada di dalam BN sekarang kerana, parti komponen utama yang menerajui BN, Umno sering mengketengahkan ideologi rasisme dan fahaman keagamaan yang ekstremis serta menggongkongi gabungan BN dengan begitu ketat dan tidak membenarkan pihak lain untuk bersuara dan mengkritik.

Dan pada dasarnya, Pas juga tidak sepatutnya berada di dalam PR (bersama dengan PKR dan DAP) dari mula lagi oleh kerana ideologi keagamaannya yang terlalu melampau dan tidak dapat diterima oleh sejumlah besar rakyat. Ini adalah kerana kedua-dua PKR dan DAP jelas mempamerkan komposisi keahliannya yang berbilang kaum dan memperjuangkan isu-isu sosial, ekonomi, keadilan dan nasional sedangkan Pas hanya mementingkan pengamalan undang-undang Syariah rekaannya, hudud tanpa mempedulikan kedudukan dan sensitiviti pihak lain.

Jika kita melihat dari segi fahaman, parti-parti seperti DAP, PSM, Gerakan, SUPP dan PRM (Parti Rakyat Malaysia) sepatutnya bersama-sama di dalam sebuah gabungan yang beroreantasikan fahaman kiri kerana kesemua parti-parti tersebut pada dasarnya adalah parti-parti yang berhaluan kiri.

Oleh itu, fleksibiliti parti-parti politik untuk menentukan halatuju bagi memastikan ianya seiring dengan dasar-dasar dan objektif yang diperjuangkan mereka perlu digalakan dan dapat memberikan lebih banyak alternatif kepada rakyat jelata untuk meneliti, mengkaji dan menyokong. Dan pada masa yang sama kematangan politik di kalangan rakyat juga perlu di dalam diri mereka dan tidak menghadkan pilihan mereka kepada hanya BN ataupun PR semata-mata.

Fleksibiliti parti-parti politik untuk bergabung haruslah bergantung kepada keadaan di sesebuah negeri ataupun wilayah yang mereka bertumpu, keadaan politik di sekitar kawasan, budaya, komposisi sosio-ekonomi, masyarakat dan sebagainya.

Keadaan tersebut juga telah dilaksanakan dengan jayanya di beberapa buah negara yang berlandaskan demokrasi pelbagai parti. Contoh yang pertama adalah di Australia di mana Liberal Party dan National Party bergabung untuk menubuhkan kerajaan pusat dan Labor Party berserta Green Party berperanan sebagai pembangkang di peringkat pusat.

Di wilayah Tasmania, Liberal Party dapat bekerjasama dengan Green Party untuk membentuk kerajaan negeri, manakala di wilayah Canberra (Australian Capital Territory), Labor Party bergabung dengan Green Party untuk memerintah negeri tersebut.

Di negara Belgium pula, perbezaannya adalah cukup ketara. Di peringkat pusat, kerajaan campuran merangkumi Reformist Party, Liberal-Democrats dan Christian Democrats, manakala di peringkat negeri, Socialist Party bersama Humanist Democratic Party membentuk kerajaan negeri di wilayah Walloon. Di wilayah Brussels, Socialist Party bergabung dengan Green Party, Liberal-Democrats dan Christian Democrats untuk memerintah negeri tersebut, sementara di wilayah Flemish, New Flemish Alliance bersama dengan Christian Democrats dan Liberal-Democrats membentuk kerajaan campuran di negeri tersebut.

READ MORE:  When will Anwar let go?

Keadaan yang sama juga dapat dilihat di negara maju seperti Jerman, di mana Christian Democrat dan Social Democrat membentuk kerajaan campuran manakala Greens dan Democratic-Left menjadi pembangkang di peringkat pusat.

Sementara di wilayah Brandenburg pula, Social Democrat bergabung dengan Democratic-Left untuk membentuk kerajaan negeri, dan keadaan yang berbeza juga berlaku di wilayah North Rhine-Westphalia di mana Social Democrat bergabung dengan Greens memerintah negeri tersebut.

Ini menunjukkan fleksibiliti di dalam menentukan komposisi kerajaan campuran dan gabungan-gabungan parti-parti politik mengikut aliran dan objektif bersesuaian dengan keadaan politik di sesebuh kawasan, masyarakat, negeri ataupun wilayah.

Di Malaysia, janganlah kita melihat dari sudut Pakatan Harapan, Barisan Nasional ataupun Gabungan Kiri Malaysia. Berikan fleksibiliti kepada diri kita untuk menentukan apa yang baik untuk diri kita semua, kemajuan sosial-ekonomi, pembangunan dan sebagainya.

Kita lihat dari sudut parti-parti politik yang memerintah dan pencapaian. Contohnya, di Pulau Pinang, DAP-PKR membentuk kerajaan campuran, manakala di negeri Selangor kerajaan campuran di sana merangkumi PKR-DAP-PasS-Amanah, manakala di Kelantan, kerajaan negeri diterajui sepenuhnya oleh Pas. Daripada komposisi gabungan tersebut dapatkah kita lihat kewujudan sesebuah “kerajaan Pakatan” yang sepenuhnya? Tidak!

Begitu juga dengan BN dan apa yang didakwa mereka “kerajaan BN”, akan tetapi komposisi parti-parti yang memerintah negeri adalah berbeza kerana ada parti-parti komponen BN yang langsung tidak diwakili dalam kerajaan negeri tersebut.

Contohnya, di negeri Terengganu, Umno dan Pas mempunyai jumlah wakil rakyat yang hampir seimbang. Dan untuk membentuk kerajaan negeri Umno perlu bergabung dengan MCA yang mempunyai seorang wakil rakyat, oleh itu, ianya ditafsirkan sebagai kerajaan campuran Umno-MCA Terengganu kerana MIC, Gerakan atau PPP tidak mempunyai sebarange perwakilan di dalam negeri tersebut.

Keadaan yang sama juga berlaku di negeri Kedah, Umno-MCA membentuk kerajaan campuran kerana MCA, Gerakan dan PPP tidak mempunyai sebarang perwakilan di dalam dewan negeri. Di Negeri Sembilan, kerajaan negeri dibentuk oleh Umno-MIC kerana MCA, Gerakan dan PPP tidak mempunyai wakil rakyat terpilih dalam dewan negeri tersebut. Di negeri Sarawak, gabungan PBB-SPDP-PRS membentuk kerajaan memerintah negeri tersebut tanpa Umno, MCA, MIC, Gerakan ataupun PPP.

Pendek kata, jika disebut BN, ianya bukan BN sepenuhnya kerana komposisi parti-parti yang bergabung dan membentuk kerajaan campuran di negeri Terengganu, Kedah ataupun Negeri Sembilan serta Sarawak adalah berbeza dan terhad serta tidak merangkumi sepenuhnya kesemua parti-parti komponen BN.

Rakyat jelata haruslah memberikan ruang dan fleksibiliti kepada diri mereka untuk menentukan parti-parti mana yang menjadi pilihan mereka tanpa perlu terlalu memikirkan soal gabungan-gabungan parti-parti yang perlu mereka pilih kerana ianya akan menyebabkan pilihan menjadi terhad dan terikat.

Rakyatlah harus menjadi penentu parti mana yang perlu berganding dengan parti mana untuk membentuk kerajaan-kerajaan bagi menyempurnakan faedah kepada rakyat jelata dan bukannya menyempurnakan faedah-faedah kepada parti-parti yang memerintah.

Source: inter-researchstudies.blogspot.my

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments