Pembaharuan di dalam sistem parlimen

0
Photograph: Wikimedia Commons

Sistem parlimen yang ada sekarang masih berjalan seperti satu cap-getah (rubber-stamp), ujar W H Cheng.

Pada 27 Mei yang lalu, Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia ada menyebut cadangan beliau untuk melaksanakan sesuatu pembaharuan di dalam parlimen selepas beliau mengambil keputusan untuk menarik balik surat perletakan jawatannya.

Di antara pembaharuan yang beliau telah sebut adalah menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, penambahan waktu persoalan terhadap menteri, penambahan bilangan jawatankuasa pilihan parlimen dan cadangan untuk memberikan kuasa kepada Dewan Negara untuk membincang dan meluluskan usul tanpa perlu melalui Dewan Rakyat.

Namun demikian, siri pembaharuan yang dikemukakan oleh Pandikar itu tidak meliputi keseluruhan sistem parlimen. Ini adalah kerana sistem parlimen yang ada sekarang, dan jika sekiranya beberapa penambahbaikan seperti yang disebut tadi dilaksanakan terhadapnya, masih berjalan seperti satu cap-getah (rubber-stamp).

Ini adalah kerana kuasa yang sepenuhnya di dalam perjalanan dan pengurusan sistem parlimen masih terletak di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri di mana seorang menteri dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya.

Pembaharuan keseluruhan sistem parlimen adalah termasuk pengiktirafan terhadap institusi kabinet bayangan, perlantikan dan peranan menteri-menteri bayangan, peruntukan elaun dan pelbagai bentuk bantuan kepada institusi kabinet bayangan; pembentukan jawatankuasa-jawatankuasa parlimen bagi memantau kementerian-kementerian kerajaan dan seterusnya pengiktirafan terhadap semua ahli-ahli parlimen parti-parti pembangkang yang dipilih oleh rakyat dengan menyalurkan semua peruntukan tahunan kawasan parlimen terus kepada ahli-ahli parlimen yang berkenaan.

Kabinet Bayangan (Shadow Cabinet)

Adalah amat pasti bahawa kita semua telahpun mengetahui bahawa institusi kabinet bayangan ini tidak pernah wujud ataupun diiktiraf oleh pihak kerajaan sejak daripada tahun 1957 lagi.

Buat masa ini hanya jawatan ketua pembangkang parlimen sahaja yang diiktiraf dan diberikan elaun oleh kerajaan; namum demikian, peranan beliau itu tidak mendapat penghormatan yang sewajarnya oleh ahli-ahli parlimen daripada parti yang memerintah.

READ MORE:  Apa yang boleh dikerjakan untuk hentikan rasuah yang menjadi-jadi dalam kerajaan?

Jadi, adakah ini benar-benar sistem ‘Westminster’ yang dimaksudkan?

Pembentukan kabinet bayangan tersebut adalah wajar untuk memantau dan membayangi setiap kementerian kerajaan yang diperhatikan itu untuk sebarang kesilapan, pembetulan, penambahbaikan dan pembaharuan di dalam kerajaan serta dasar-dasar yang dilaksanakannya.

Dalam pada itu, peruntukan juga perlu diberikan kepada kabinet bayangan dan para menteri bayangannya bagi tujuan untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka yang meliputi kajian dan penyelidikan, kuasa untuk mendapatkan maklumat daripada kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan serta perhubungan secara langsung dengan para pegawai kerajaan di dalam urusan dan perlaksanaan dasar.

Jawatankuasa Parlimen Memantau Kementerian (Parliamentary Oversight Committees on Ministries)

Selain daripada kabinet bayangan, pendemokrasian parlimen juga perlu meliputi pembentukan jawatankuasa parlimen memantau kementerian-kementerian untuk memastikan perjalanan dan perlaksanaan dasar di dalam setiap kementerian adalah selaras dengan kehendakan, keperluan dan kebajikan rakyat jelata serta berpandukan kepada pembangunan negara yang sewajarnya.

Jawatankuasa parlimen memantau kementerian-kementerian ini hendaklah mempunyai ahli-ahli parlimen daripada parti-parti kerajaan dan juga pembangkang dan semua jawatankuasa ini hendaklah dipengerusikan secara bergilir oleh ahli-ahli parlimen yang menduduki jawatankuasa tersebut.

Peranan jawatankuasa parlimen memantau kementerian-kementerian ini akan meliputi kajian menyeluruh dan melakukan perubahan terhadap dasar-dasar yang dikelolakan oleh kementerian-kementerian kerajaan, belanjawan kementerian tersebut, perlaksanaan dasar, menjalankan siri penyiasatan terhadap mana-mana aspek dan perilaku kementerian dan para pegawainya serta kuasa untuk memanggil mana-mana pegawai ataupun menteri untuk memberikan keterangan dan melakukan pendakwaan terhadap mana-mana di antara mereka atas sebarang salahlaku dan kecuaian yang dikesan ataupun dilaporkan.

Pemansuhan kuasa Jabatan Perdana Menteri terhadap Parlimen

Parlimen kini mempunyai kuasa terhad, bagaikan sebuah cap-getah (rubber-stamp) dan segala pengurusan dan perlaksanaannya diputus serta dikelolakan oleh Jabatan Perdana Menteri.

READ MORE:  Sokong Parlimen uji PM baru

Jadi, kuasa Jabatan Perdana Menteri terhadap Parlimen perlu dimansuhkan sekaligus dan digantikan dengan Akta Perkhidmatan Parlimen di mana semua perjalanan dan pengurusan institusi tersebut hendaklah ditentu dan diputuskan oleh pihak pengurusan Parlimen itu sendiri.

Para pegawai dan pengurus institusi tersebut hendaklah dilantik oleh sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen. Ahli-ahli suruhanjaya pada masa yang sama hendaklah di syorkan oleh satu jawatankuasa pilihan parlimen dan diperkenankan perlantikannya oleh Yang Dipertuan Agong bagi memastikan kedudukan berkecualinya terpelihara dengan sewajarnya.

Pengiktirafan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang dipilih rakyat

Kita telahpun melihat hakikat demokrasi di mana rakyat selaku pengundilah yang memilih ahli-ahli parlimen pilihan mereka daripada mana-mana parti politik. Hasil daripada itu, ahli-ahli dari parti memerintah dan parti-parti pembangkang dipilih untuk mewakili rakyat di parlimen.

Justeru daripada itu, kerajaan dan parti memerintah haruslah mengiktiraf dan menghormati sepenuhnya kesemua ahli-ahli parlimen parti-parti pembangkang yang dipilih oleh rakyat dengan mengembalikan peruntukan tahunan kepada ahli-ahli parlimen tersebut dan memansuhkan semua perlantikan penyelaras-penyelaras kawasan daripada parti memerintah yang ditempatkan di kawasan-kawasan yang wakil-wakil rakyatnya daripada parti-parti pembangkang.

Buat masa ini, penyelaras-penyelaras kawasan yang dilantik oleh parti memerintah ini dibayar gajinya oleh sebuah Unit Perlaksanaan dan Penyelarasan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan kesemua peruntukan tahunan kawasan adalah disalurkan dan dikuasai oleh para penyelaras tersebut.

Oleh yang demikian, inilah pembaharuan sistem parlimen yang rakyat jelata idamkan selama ini. Jika sekiranya masih ada di kalangan pemimpin-pemimpin parti memerintah yang mengatakan bahawa parlimen Malaysia adalah berdasarkan sistem ‘Westminster’, ianya adalah tidak tepat dan salah kerana kedudukan yang ada sekarang masih gagal mencapai suatu tahap sistem ‘Westminster’ yang sepenuhnya.

READ MORE:  Parlimen tempat untuk Muhyiddin, Anwar atau sesiapa sahaja mesti kemukakan bukti kalau ada majoriti

Ini bermakna demokrasi di negara kita ini masih belum matang dengan sepenuhnya.

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments