Patriotisme pada Bersih 4

0
no views
File photograph: The Malaysian Insider

Rakyat Malaysia yang keluar beramai-ramai ke perhimpunan Bersih 4 telah menunjukkan kematangan mereka mengenai keadaan sosial, politik dan ekonomi negara kita, ujar W H Cheng.

Pada perhimpunan Bersih 4, kita semua telahpun menyaksikan puluhan ribu rakyat Malaysia dari seluruh pelusuk negara tidak mengira kaum, agama, warna kulit atau taraf turun ke Kuala Lumpur secara beramai-ramai untuk melahirkan ketidakpuasan mereka terhadap kemelut yang sedang melanda negara kita.

Apa yang perlu kita katakan terhadap tindakan sebilangan besar rakyat Malaysia yang telah berkumpul secara beramai-ramai di ibu negara pada dua hari ini (29-30 Ogos) untuk menyertai perhimpunan Bersih 4? Begitu juga dengan rakyat Malaysia yang berada di luar negara?

Ya, mereka sepatutnya dicapkan sebagai patriot dan rakyat Malaysia yang sejati kerana mereka sungguh prihatin dan sayangkan negara mereka. Mereka keluar beramai-ramai dengan berbaju kuning kerana ingin melahirkan kebimbangan mereka terhadap keadaan dan kemelut yang sedang memusnahkan negara tanah tumpah darahnya mereka.

Skandal yang berlaku di dalam kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak habis-habis dan asyik berulang dan timbul pula yang baru satu demi satu. Bukan sahaja skandal rasuah, malah penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan juga berleluasa di dalam kerajaan, dan ini telah menyebabkan negara kita kerugian berbilion-bilion ringgit pada setiap tahun.

Selain daripada itu, kerajaan BN yang ada sekarang juga berusaha untuk mengekang dan menyekat kebebasan bersuara rakyat jelata, merangka dan menguatkuasakan pelbagai undang-undang yang membatasi hak asasi kemanusiaan sehinggakan menimbulkan ketidakpuashati dan kemarahan rakyat di seluruh pelusuk negara.

Yang lebih memburukkan lagi keadaan, kerajaan BN enggan mengakui kesilapan dan kelemahannya, malah mempergunakan isu-isu agama dan perkauman serta menyemarakkan kebencian untuk menutup segala-gala dosanya dengan sering mendakwa segala kritikan dan pembongkaran skandal tersebut adalah bertujuan untuk memusnahkan “Islam” dan “kaum Melayu”. Dakwa mereka lagi, kalau Umno dimusnahkan, maka kaum bumiputra negara ini akan juga “dibangsatkan”, kononnya.

Persoalannya sekarang, Umno sudah memerintah negara ini lebih daripada 50 tahun lamanya, dan siapakah yang sedang memperbangsatkan bukan sahaja kaum bumiputra, bahkan seluruh negara? Kita semua telahpun tahu dalang sebenarnya. Usah menyorok kepala sendiri di dalam timbunan pasir lagi, Umno!

BN kini tenat; Umno juga tenat; dan kedua-duanya pula telah menyebabkan negara kita kian tenat. Nilai matawang negara kita sedang jatuh mendadak; kadar inflasi dalam negara kita juga telah meningkat; taraf hidup rakyat menurun; kadar kemiskinan semakin meningkat; begitu juga dengan kadar pengangguran.

Tidak ada langkah yang berkesan untuk menangani segala masalah tersebut. BN dan Umno terus berusaha berpolitik – yakni, berpolitik untuk memastikan kuasa dan kedudukan mereka kekal, agar rakyat patuh dengan arahan mereka tanpa sebarang soalan.

Rakyat Malaysia bukannya bodoh sehinggakan patuh dan taat secara membabi-buta. Kemelut dan masalah yang melanda negara kita ini telah menyebabkan rakyat turut dibebani masalah kewangan dan sosial. Ianya dapat dirasai sehinggakan ke peringkat akar umbi.

Sebab itulah negara kita perlu diBersihkan dengan sekadar segera sebelum ianya menjadi semakin tidak terkawal, sebelum negara kita menjadi muflis.

Namun demikian, kita semua tidak akan menggunakan kekerasan, manakala kerajaan BN seringkali menakut-nakut dan mengancam rakyat jelata. Rakyat jelata dari seluruh pelusuk tanah air telah keluar beramai-ramai ke perhimpunan Bersih 4 berarak untuk menunjukkan patriotisme mereka.

Rakyat Malaysia yang keluar beramai-ramai ke perhimpunan Bersih 4 telah menunjukkan kematangan mereka mengenai keadaan sosial, politik dan ekonomi negara kita. Mereka sedar bahawa kerajaan BN dan perdana menteri sekarang telah dan sedang menipu dan memperbodohkan rakyat jelata dengan sewenang-wenangnya dengan berbagai tindak tanduk dan perbuatan.

Pemimpin yang sanggup memperdagangkan negara kita kepada pihak luar dengan “derma” RM2.6bn telah membuktikan bahawa beliau itu bukan sahaja tidak patriotik, malah telah melakukan suatu perbuatan serius terhadap negara.

Oleh yang demikian, rakyat Malaysia yang patriotik perlu menunjukkan kesungguhan mereka untuk membersihkan negara kita ini daripada belenggu rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan, perkauman dan politik yang tidak bertanggungjawab yang dipelopori oleh BN.

Sumber: socialaffairs.blogspot.com

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments