Masa untuk mencantas sikap benci wanita dalam dunia internet

0
File photo: Kempen menentang keganasan terhadap wanita

Wanita yang menulis di dunia internet atau agak menonjol dalam media sosial sering dijadikan sasaran fitnah atas talian, kata Syerleena Abdul Rashid.

Sesuatu yang mungkin naif jika kita menganggap kebencian terhadap kaum wanita tidak wujud di alam siber dan tidak pula memudaratkan berbanding di dunia realiti. Hakikatnya, ia wujud di alam siber dan ia berbahaya. Sikap benci wanita lebih memudaratkan dalam dunia internet kerana identiti pelakunya tidak dikenali.

Setiap kali wanita bersuara menentang sikap benci terhadap mereka serta mengutuk keganasan terhadap wanita, masyarakat yang didominasi kaum lelaki akan segera menafikannya. Mereka malah akan cuba memesongkan fakta dan mengalihkan kesalahan ke bahu wanita. Apabila ada perkara buruk berlaku, wanita dipersalahkan. Dengan pemikiran inilah kita dididik sejak hari kita dilahirkan.

Pembulian dan kebencian dalam dunia maya banyak terjadi. Telah banyak wanita menjadi mangsa dalam berbagai cara – antaranya ancaman terhadap diri seseorang wanita atau keluarganya, fantasi rogol dan pembunuhan, email lucah, atau gambar wajah wanita yang ditindan ke atas gambar yang lucah, dan sudah tentu juga serangan peribadi yang bertujuan mencemarkan nama baik dan kredibiliti seseorang wanita.

Mary Beard, pensyarah di universiti Cambridge dan seorang sarjana Inggeris yang disanjung di negaranya, pernah menjadi sasaran serangan internet. Katanya kepada para wanita lain yang juga menjadi perlecehan dunia siber: “Kebencian dalam dunia maya amat mengejutkan dan menghampiri sadisme… Ia mampu membuatkan banyak wanita enggan muncul di ruang awam atau menyumbang kepada perbahasan politik, khususnya apabila serangan terhadap mereka muncul dalam Google.”

Serangan terhadap wanita di dunia maya menghalang sebahagian besar wanita daripada menceburi politik atau memegang jawatan dalam lembaga penggubal dasar kerana masyarakat kita yang didominasi oleh lelaki mempermudah kecaman dan ancaman terhadap wanita. Di atas talian, sikap benci wanita dan sadisme hanya dipisahkan oleh satu garis yang cukup halus.

READ MORE:  Fighting for women’s rights need not be with a karate ‘chop’

Saya perlu sebutkan bahawa terlalu banyak laman web dan komen dalam dunia maya yang sarat dengan kebencian dan ancaman terhadap wanita. Tidak diragui lagi tujuannya ialah untuk menundukkan wanita dan memastikan mereka sentiasa bersikap pasif. Jika ada wanita yang berani memberi respons, banyak lelaki (dan juga wanita sendiri) yang bingkas untuk membuat penilaian buruk dan menganggapnya sebagai reaksi berlebihan.

Jangan salah sangka, saya bukan hendak mengatakan bahawa wanita satu-satunya kaum yang perlu berdepan dengan manusia-manusia tak guna dalam alam maya. Banyak juga lelaki yang menjadi sasaran; cuma wanita lebih kerap menjadi mangsa kerana masyarakat patriarki melihat wanita sebagai sasaran mudah.

Wanita yang menulis di dunia internet atau agak menonjol dalam media sosial sering dijadikan sasaran fitnah atas talian. Mereka yang pernah terbabit dalam perbahasan atas talian tentu pernah mendengar hujah bahawa rogol terjadi kerana wanita dan mangsa rogol sepatutnya pasrah dan membiarkan saja diri dirogol. Begitu juga dengan sekian banyak komen yang muncul di pelbagai media sosial yang penuh dengan caci-maki, serangan peribadi dan kata-kata yang kasar.

Malangnya, sistem yang sedang kita pakai sekarang tidak mempunyai mekanisme yang sedikit-sebanyak dapat menjamin keselamatan. Di dunia maya, hampir semuanya boleh dan bebas dilakukan.

Sempena Hari Wanita Sedunia tahun ini, mari kita nyatakan dengan jelas – kami tidak lagi mahu takut atau marah.

Malala Yousafzai, wanita muda yang tidak perlu diperkenalkan lagi, pernah berkata, “Saya angkat suara bukan untuk menjerit, tetapi agar orang yang tidak bersuara juga dapat didengar… Kita tidak akan mencapai kejayaan jika sebahagian daripada kita terkekang.”

Sejujurnya, saya amat setuju dengan Malala.

READ MORE:  Gerak stands in solidarity with Ain Husniza

Gelombang penindasan terhadap wanita dalam dunia siber sememangnya menimbulkan ketakutan. Namun, kita tidak harus membiarkan ketakutan menenggelamkan akal-budi. Wanita harus sedar bahawa mereka tidak bersendirian dan bersama-sama mereka boleh mengatasi rintangan yang ada.

8 Mac adalah hari yang dikhususkan untuk meningkatkan kesedaran dan menonjolkan pergelutan yang terpaksa dihadapi wanita setiap hari. Ia adalah hari di mana wanita seluruh dunia boleh menarik nafas lega seketika, meraikan semangat setiakawan mereka dan merayakan hakikat bahawa hak-hak wanita semakin banyak yang diakui. Peningkatan sokongan daripada masyarakat adalah petanda baik yang sepatutnya boleh membuatkan kita merasa bangga tanpa perlu membuang RM1200 untuk mendandan rambut.

Sumber: rocketkini.com

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.