Keselamatan politik BN nampaknya lebih penting dari kebajikan rakyat

0

Apajua tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan BN sekarang jelas menunjukkan bahawa mereka lebih menumpukan kepada langkah-langkah agar mereka dapat terus berkuasa, ujar W H Cheng.

Daripada apa yang kita semua telah dan sedang perhatikan pada hari ini, kita semua telahpun menyedari bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya lebih mementingkan keselamatan politiknya (political security) daripada menumpukan perhatian mereka terhadap kebajikan dan sosio-ekonomi rakyat jelata.

Penyalahgunaan kuasa, perlakuan rasuah dan macam-macam jenis penyelewengan serta skandal di dalam kerajaan BN telah menyebabkan negara kehilangan berbilion-bilion ringgit pada setiap tahun.

Walaupun laporan ketua audit negara telah dilaporkan pada setiap tahun, dibentang dan dibahaskan di dalam parlimen tahun demi tahun, janji-janji daripada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) untuk mengambil tindakan terhadap mereka-mereka yang bertanggungjawab, namun, sehingga kini, janji tinggal janji, kerana badan-badan tersebut sebenarnya tidak mempunyai kuasa yang mencukupi untuk bertindak terhadap unsur-unsur yang negatif tersebut.

Daripada mengambil langkah-langkah yang lebih berkesan untuk menangani gejala-gejala rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan yang menular semakin mendalam di dalam jentera pentadbiran, kerajaan BN lebih menumpukan perhatian terhadap keselamatan politik mereka.

Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara dan rakyat sering disalahgunakan oleh para pemimpin BN untuk memerangi parti-parti pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak seiring dan kerap mengkritik dasar-dasar kerajaan BN yang tidak adil terhadap rakyat.

Malah, kerajaan BN juga telah bertindak mengharam dan menggantung penerbitan beberapa akhbar baru-baru ini kerana media-media tersebut didakwa telah “melanggar” syarat-syarat penerbitan dan menerbitkan laporan-laporan yang “berat sebelah”.

Selain daripada itu, kerajaan BN juga sedang mengusahakan langkah-langkah yang tertentu agar media-media sesawang serta laman-laman sosial dapat dikawal dan didaftarkan melalui penguatkuasa sesuatu undang-undang, supaya media-media sesawang dan rakyat jelata akan lebih “berdisiplin” ketika berada di dalam sesawang.

READ MORE:  Kepala tak tenteram di Putrajaya

Kerajaan BN juga mendakwa dan mengakui bahawa kedudukannya kini tergugat akibat daripada perkembangan dan pengaruh kritikan-kritikan terhadapnya yang disebarkan melalui laman-laman sosial, media-media sesawang, blog dan sebagainya, sambil itu, turut mengatakan rakyat dan pihak-pihak berkenaan telah “menyalahgunakan” saluran sesawang untuk tujuan “menghuru-harakan” negara serta ada percubaan untuk “menggulingkan” kerajaan yang “demokratik”.

Keadaan ekonomi negara kita kini semakin parah, kejatuhan matawang negara ringgit semakin tidak dapat dikawal, kadar inflasi dijangka meningkat ekoran daripada kenaikan harga barangan, pendapatan rakyat jelata semakin berkurangan, kadar pengangguran juga turut meningkat dan seterusnya kebajikan dan sosio-ekonomi rakyat jelata akan juga terjejas dengan teruk.

Apakah langkah-langkah drastik yang kerajaan BN ini telah lakukan bagi menangani masalah ekonomi negara kita ini? Sehingga pada hari ini, kerajaan BN masih berdiam diri dan gagal mengambil langkah-langkah yang positif untuk menahan keparahan ekonomi negara.

Sebaliknya, kerajaan BN lebih menumpukan kepada pelbagai langkah untuk menangani parti-parti pembangkang dan NGO-NGO hak sivil dan kemanusiaan yang semakin mendapat sokongan umum, menangkap dan memenjarakan sesiapa yang mengkritik dan mendedahkan penyelewengan di dalam kerajaan BN, menggunakan Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Percetakan, serta Kanun Keseksaan dan bermacam-macam undang-undang yang lain untuk mengancam orang ramai agar kritikan dan pendedahan salahlaku di dalam kerajaan BN dapat dihentikan.

Malah kini juga didapati seorang individu menggunakan pelekat cermin kereta yang mempunyai perkataan-perkataan yang tidak seiring dengan kerajaan BN turut ditangkap dan bakal didakwa di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan kerana telah didapati “telah atau cuba untuk mengakibatkan kemarahan umum”.

Paling terbaru, apabila siasatan terhadap skandal berbilion ringgit dan penggelapan wang 1MDB semakin rancak, Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang menyebut “mana-mana pihak atau individu yang melakukan kegiatan yang memudaratkan demokrasi berparlimen” digunakan oleh kerajaan BN untuk menangguh atau menamatkan terus siasatan terhadap 1MDB.

READ MORE:  PBS, will you stand with the righteous or walk with 'traitors'?

Pendek kata, apajua tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan BN sekarang jelas menunjukkan bahawa mereka lebih menumpukan kepada langkah-langkah agar mereka dapat terus berkuasa dan memperkukuhkan kedudukan mereka serta mengekang pengaruh-pengaruh para pemimpin parti-parti pembangkang, NGO-NGO hak sivil dan kemanusiaan dan media-media yang kritikal terhadap penyelewengan di dalam kerajaan.

Oleh itu, perlukah kerajaan BN yang “basah” ini dikekalkan?

Sumber: g-socialaffairs.blogspot.com

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments