Kembalinya pejuang sakti (Pak Said Zahari dalam kenangan)

0
126
Image: malaysiakini.com

Sebuah sajak untuk seorang wira kebebasan media, karya Nasir Hashim.

Saudara Pak Said yang
ku sanjungi
Pahlawan Nusantara yang
ku kagumi
Aku mengenali diri mu ….
dalam nukilan mu
ketika merantau
ke Negara asing
mengutip ilmu
menara gading

Saban hari kami tuntut
kebebasan mu
canangkan keperwiraan
mu
mendendangkan sajak
-sajak keazaman mu

Agar nama mu
berkumandang di bibir
sejagat
semerbak wangi … bak
adunan bunga-bunga
syurgawi yang menghiasi
perjuangan suci

Kerana enggan
mengorbankan harga diri
Kau disumbat dalam
kotak konkrit
yang berbalut duri ..
bergigi besi

Tahun demi tahun …
di kurung
meniti garis yang sepi
dalam pulau bergari
benci

Tidak mahu mengaku kalah
Tidak pula berpatah arah
walaupun dunia mu
kian berkecai
dalam jutaan serpihan …
berbalut rintihan
Jiwa mantap ..cekal
memperkasakan diri

Maka semangat mu
merangsang keazaman
peribadi
Makin menghargai nilai
hubungan dialektika
Ideologi berkesinambungan
dalam arus perjuangan
dan gantian kepimpinan

Said Zahari

Kami turut bergembira
Pabila kau dibebaskan dari
cengkaman kuku besi
Namun keparat bangsat
tetap menghina
mendustakan kebenaran
dan membenamkan
harapan

Kami menemui mu dalam
debaran hormat
Senyuman indah
menjemput ke kamar
Buku-buku pula
dipelawa sebagai saksi
Maka dialog rancak
mengupas kebenaran
meleraikan hipokrasi
bergelumang dalam
kepalsuan

Ingin membina jambatan
baharu
Merapatkan lagi ….
lompang generasi
Menyusun cebisan-cebisan
realiti di persada sejarah
songsang … tak terperi

Yang satu ingin mencedok
pengalaman
dan keazaman
Yang satu lagi kepingin
berita dan cerita
kerana sudah lama
dimamah penahanan

Dalam ketenangan malam
Kau menghunus pena
sakti mu
lantas melafazkan bahasa
keramat
Tabah selongkar sejarah mu
meluahkan tinta
-tinta ilham
memadamkan kepahitan
pulau sangkar maut

Maka kau perbetulkan
sejarah dusta
mendedahkan wasiat
penjajah dan kerabat
tempatan
yang meracuni minda
dan mengagungkan
keangkuhan

Kami berbicara tentang
liku-liku perjuangan
Tentang pengorbanan
memperkasakan rakyat
Menyalakan kembali
maruah dan keyakinan diri

Kami tenang bersama mu
Senyuman mu menggamit
semangat anak-anak
muda yang dahagakan
ilham dan pedoman
Suara lembut mu
mengatur bahasa
Kejernihan air mata
meluahkan hikmah
kasih sayang
Cuba selindung …
meremehkan kekuatan
batin diri
namun terserlah jua …
ketegasan jiwa
Begitulah pertemuan
-pertemuan abadi

Kau lah Sosialis sejati
mengiringi simfoni lagu
dialektika dalam getaran
kuasa rakyat

Said Zahari

Saudara ku ….
Pemergian mu disulam
kesedihan bertindih
kepiluan
Terkelu sejuta kata dan rasa

Memuncak rintih kerinduan
dan harapan
Pemergian mu itu tidak
kami restui
Namun takdir sudah
berbisik manja

Bergembiralah ..saudara ku
Kerana kau bertemu
kekasih mu lagi
Senyum menanti
kepulangan mu itu
berseri menuju
ke pangkuan Illahi

Saudara ku … komrad ku
Bila berpeluang … tolehlah …
tegurlah kami
Agar kami tidak tersasar
jauh dalam pancaroba
kehidupan ini

Pergilah dulu komrad ku …
Kami restu dalam titisan
Kan ketemui lagi … nanti
menceritakan betapa
murni perjuangan mu itu
Betapa mulianya
pengorbanan
membatalkan sistem
kapitalisme
yang berkiblat pada
penindasan dan
mempertuhankan
keuntungan
Berganding padu …
memperkasakan rakyat

Salam perjuangan …
saudara kami
Salut hormat …
komrad sejati

NasirHashimDr Nasir Hashim, pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Negara (ISA).

(Visited 148 times, 1 visits today)
Thanks for dropping by! You are one of an increasing number of readers looking up Aliran for independent analyses and views. We work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to continue the struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. So would you consider making a donation to keep us going - or why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here