Kehadiran 5.5 juta pekerja asing menekan golongan miskin B40

0
Image: freemalaysiatoday.com

Adalah amat mengecewakan isu pasaran buruh yang merugikan B40 kita langsung tidak ditangani oleh Belanjawan 2016, ujar Jeyakumar Devaraj.

Saya ingin mengulas Belanjawan 2016 dari perspektif pengalaman orang awam di kawasan saya Sungai Siput.

Saya telah menjalankan suatu kajian kecil terhadap situasi eknomi penduduk kampung-kampung di kawasan desa Sungai Siput selepas sesi Parlimen yang lepas.

Saya dapat kumpulkan butir-butir pendapatan bagi 135 keluarga Melayu di kawasan desa dan mendapati bahawa 45% daripada mereka memperolehi pendapatan isi rumah di bawah RM1,200 sebulan dan 40% lagi ada pendapatan di antara RM1,200 dan 2000 sebulan. Hanya 15% keluarga yang memperolehi pendapatan yang melebehi RM2,000 sebulan.

Tuan Speaker, RM1,200 tidak mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan sebuah keluarga dengan dua atau tiga orang anak walaupun di kawasan luar bandar. Sudah tentu tidak boleh hantar anak untuk tuisyen. Bayaran yuran bas sekolah dan bil elektrik pun susah. Pada saya, kadar kemiskinan di masyarakat kampung di kawasan Sungai Siput adalah lebih daripada 45%.

Itulah sebabnya saya hairan dengar YAB Pekan memujikan diri dalam pembentangan belanjawan dengan mengatakan kita sudah berjaya membasmikan masalah kemiskinan di Malaysia. Pekan kata kadar kemiskinan hanya 0.6% sahaja pada tahun 2014. Ini jauh dari reality, Tuan Speaker.

Nampaknya, Pekan juga sudah menjadi mangsa pada propaganda kerajaan sendiri. Kerana kerajaan telah menetapkan satu paras yang terlalu rendah sebagai paras kemiskinan – hanya RM830 sebulan untuk Semenanjung Malaysia. Bererti sebuah keluarga dengan RM900 ditafsir sebagai bukan miskin.

Ini bukan reality. Saya fikir pada takat ini, garis kemiskinan harus ditetapkan pada RM1,500 sebulan sekeluarga untuk kawasan luar bandar dan di paras RM2,500 untuk masyarakat bandar. Jika kita pakai definasi realistic ini, paras kemiskinan akan meningkat ke 25%. Ini satu angka yang jauh lebih realistic.

Saya dapati dalam kajian kecil saya bahawa 20% daripada lelaki berkerja untuk gaji bawah RM900 se bulan.

Mengapa ini berlaku?

Jawapannya adalah kehadiran 3.5 juta pekerja asing tanpa asing ataupun perkerja asing tanpa izin (Pati). Mereka ada di merata tempat di negara kita dan mereka rela kerja dengan gaji di bawah paras minima. Di Sungai Siput juga ada beribu-ribu Pati yang sedia kerja di ladang, di kebun dan di Felda dengan gaji di bawah RM900 sebulan. Mereka tidak ada pilihan lain – nak adu kepada pihak mana? Mereka adalah illegal.

Isu Pati ini satu masalah besar di negara kita kerana kehadiran mereka menyekat peluang berkerja rakyat kita dari keluarga B40. Saya ingin cerita sedikit berkaitan isu Pati.

Minggu lalu 33 orang pekerja asing daripada Sri Lanka datang berjumpa saya. Mereka telah datang untuk kerja di kilang Hume Cemboard empat bulan yang lalu. Beberapa hari sebelum datang jumpa saya, mereka telah mengadu kepada majikan kerana mereka tidak dibayar elauns shift seperti dikandungi dalam kontrak perjanjian mereka.

Pihak majikan telah ambil keputusan hentikan semua 33 pekerja ini . Mereka dibuang kerja. Majikan potong permit kerja mereka dan mendapatkan COM ataupun check out memo. Tiket penerbangan balik ke Sri Lanka juga sudah ditempah.

Mereka beritahu saya bahawa mereka telah meminjam RM6,000 seorang untuk bayar fi agen di Sri Lanka, dan mereka belum bayar balik hutang ini. Mereka tidak sedia balik ke negara mereka sehingga dapat membayar balik hutang-hutang ini.

READ MORE:  Rights group says Malaysia risks health of detained migrants

Saya cadangkan pada mereka untuk melaporkan aduan di Jabatan Perhubungan Perindustrian dan selepas itu dapatkan pas khas daripada pihak immigresen untuk terus berada di Malaysia. Saya janji membantu tetapi juga mengingatkan mereka bahawa tak begitu senang. Kerana pas khas boleh diperolehi tetapi untuk dapat permit kerja sementara bukan secara otomatik dan kita perlu berjuang untuk itu. Saya berjanji membantu mereka.

Pekerja ini balik ke hostel mereka. Selepas satu hari, mereka call saya dan beritahu bahawa 24 orang ambil keputusan balik kerana tak berani lawan. Dan bakinya sembilan orang telah melarikan diri untuk terus berkeja di Malaysia sebagai Pati.

Inilah puncanya sebahagian besar daripada Pati di negara kita. Mereka datang sebagai pekerja asing dengan pas kerja – secara yang sah. Tetapi oleh kerana mereka dibuli dan tidak dibayar seperti dijanji dan oleh kerana mereka tidak ada ruang untuk menuntut secara yang baik, mereka terpaksa menjadi Pati. Kerana tidak berani balik ke negara asal tanpa membayar balik hutang yang mereka ada.

Ini bukan sahja isu kebajikan pekerja asing, Tuan Speaker. Saya dan parti saya PSM sering dikritik oleh komentor dalam internet. Mereka anggap kami sebagai bleeding heart liberal yang terlalu soft terhadap pekerja asing.

Hakikatnya adalah kehadiran 3.5 juta Pati sedang menekan ekonomi B40 rakyat kita. Walaupun ada polisi gaji minima, ramai di kalangan B40 tidak dapat faedah daripada polisi ini. Kerana kehadiran sekumpulan pekerja asing yang desperate yang rela berkeja dengan gaji lebih rendah. Situasi ini memiskinkan rakyat kita. Jadi ada kaitan yang rapi antara pembulian kaum pekerja asing dan nasib rakyat kita di golongan B40 di negara kita.

Tetapi malangnya Belanjawan ini langsung tidak gariskan strategi untuk kendalikan masalah ini yang menjejaskan situasi ekonomi B40 kita.

Apakah yang boleh dilaksanakan untuk membendung masalah Pati?

Ada dua perkara yang boleh dilakukan:

1. Buka ruang untuk pekerja asing membawa aduan mereka terhadap majikan ke Mahkamah Buruh.

Sekarang ikut undang-undang boleh, tetapi pas khas pun bukan mudah didapati. Pihak imigresen biasanya meminta lihat tarikh kes di Mahkamah Buruh ataupun Perindustrian sebelum mengeluarkan pas khas.

Masalahnya adalah tarikh di Mahkamah Perindustrian hanya ditetap selepas proses conciliation dan selepas kes dirujuk ke menteri untuk dilulus untuk tindakan Mahkamah Perindustrian. Ini akan ambil masa dua bulan ataupun lebih. Dalam jangka masa itu, pekerja asing itu adalah berstatus “haram”. Kerana majikan telah potong permit kerjanya.

Proses mendapatkan pas khas itu mesti dipermudahkan. Jika dapat pengesahan daripada IR ataupun daripada Pejabat Buruh bahawa pekerja asing itu telah menfailkan aduan terhadap majikan, imigresen harus mengeluarkan pas khas.

Satu lagi isu berkaitan, pada takat ini kas khas tidak memberi ruang untuk berkerja. Kebanyakan pekerja asing yang menfailkan kes terhadap majikannya akan dibuang kerja dan kena diusir keluar daripada hostelnya. Dia akan duduk di mana dan makan bagaimana?

Oleh itu pekerja asing yang dibuang kerja, harus diberi permit kerja sementara dengan majikan lain secara yang sah sehingga kesnya terhadap majikan dapat diselesaikan.

READ MORE:  Principles do not change in a pandemic

Ini akan kurangkan kecenderungan mereka untuk jadi Pati.

2. Kenakan hukuman yang lebih berat terhadap majikan yang mengambil Pati sebagai pekerja.

Tuan Speaker, pada takat ini lebih kurang 3.5 juta Pati berada di Malaysia. Sudah tentu mereka tidak duduk goyang kaki. Ataupun mereka makan atas bantuan kebajikan yang dihulur oleh rakyat Malaysia. Mereka tetap di negara ini kerana ada beribu-ribu majikan dan syarikat yang berminat mengambil mereka sebagai pekerja kerana mereka merupakan buruh yang murah.

Inilah salah satu daripada punca masalah kehadiran begini ramai Pati.

Kita ada undang-undang, Tuan Speaker. Seksyen 55(B) Akta Immigresen di bawah subseksyen (3) mengatakan sesiapa majikan yang bergaji lebih daripada lima orang Pati harus dipenjarakan selama enam bulan. Tetapi kita jarang dengar kes di mana manager syarikat atau agen di penjarakan atas kesalahan ini.

3.5 juta Pati. Tiada seorang majikan pun yang dipenjarakan!

Sekarang kita beri hukuman yang berat pada Pati sendiri. Di penjarakan. Disebat, dan lepas itu dihantar balik ke negara asal. Tetapi boss dilayan secara ringan.

Jika kita mahu control isu kehadiran Pati kita harus tindak lebih serius terhadap boss yang mengambil pekerja asing.

Benarkan saya balik ke kajian saya di kawasan desa Sungai Siput. Hampir satu suku daripada lelaki yang disurvey adalah pekebun kecil. Pendapatan mereka rendah kerana dua perkara:

  • Harga getah rendah
  • Saiz kebun yang ditoreh adalah kecil: 89% daripada mereka yang dikaji menoreh kebun yang tiga ekar atau ke bawah. Ramai antara mereka hanya menoreh selang hari kerana hasil susu getah rendah jika ditoreh setiap hari.

Ertinya wujudnya pengangguran tersembunyi ataupun under employment di kalangan masyarakat luar bandar. Jika 50% daripada penoreh getah dapat cari kerja lain umpamanya di kilang, yang tertinggal boleh menoreh tanah yang lebih luas, dan pendapatan mereka akan naik.

Bukan sahja penoreh getah yang memerlukan kerja sampingan yang lain. Mereka yang buat kerja kampong pun tidak dapat kerja setiap hari. 15% daripada lelaki yang dikaji buat kerja kampong. Hanya dapat kerja dua hingga empat hari setiap minggu.

Jadi 40% daripada lelaki di kawasan desa Sungai Siput tidak dapat kerja penuh masa. Mereka perlukan kerja tambahan.

Tiada kekurangan kerja di kawasan Sungai Siput, Tuan Speaker. Pada takat ini beratus-ratus pekerja asing sedang berkerja di ladang-ladang di Sungai Siput. Di kawasan Kanthan, yang terletak 1km dari sempadan Sungai Siput, ada beribu-ribu pekerja asing yang berkerja di kilang-kilang di situ.

Kenapa orang kampung Sungai Siput tidak boleh cari kerja di kawasan perkilangan di Kanthan. Ini bukan kerana orang kampong malas.

Hakikatnya adalah para majikan lebih suka mengambil pekerja asing daripada ambil pekerja tempatan. Walaupun mereka berpura-pura menawar kerja pada rakyat tempatan, majikan lebih berminat dengan pekerja asing. Benarkan saya menjelaskan mengapa.

Dalam kajian saya, saya telah temuduga seorang lelaki berumur 30 tahun yang baru telah berhenti kerja di kilang. Inilah ceritanya:

Dia dulu kerja di kilang Isolite di Ipoh. Di kilang ini, majikan mendapatkan pekerja melalui kontraktor buruh. Kontraktor ini membayar gaji minima sebanyak RM900 sebulan. Tetapi dia bayar OT dengan kadar 1.0 sahaja.
Kadar gaji adalah RM4.33 sejam untuk kerja biasa. Angka ini adalah daripada gaji bulanan sebanyak RM900 dibahagi 26 hari dan oleh lapan jam untuk memberi kadar gaji sejam.

READ MORE:  Budget 2021: Missing the forest for the trees?

Ikut undang-undang buruh, kadar OT adalah 1.5 kali gaji sejam biasa ia-itu RM6.49. Tetapi subkontraktor ini hanya bayar dengan kadar 1.0 ataupun 4.33.

Apabila pekerja ini menghadapi boss dan meminta kadar OT yang sepatutnya, dia dimarah.

Boss cakap, “You mahu kerja kerja, tetapi jika tak happy, boleh pergi. Saya tidak paksa you. Saya ada pekerja asing yang sedia kerja.”

Dan lepas itu, pekerja ni tidak ditawar kerja overtime. Pekerja ini terasa malu dan dia berhenti.

Inilah realiti yang dihadapi oleh pekerja kita. Banyak majikan di Malaysia lebih suka dapat pekerja asing – kerana penjimatan wang. Pekerja asing takut mengadu bila gaji OT dibayar dengan kadar gaji biasa.

Lagi, tak perlu membayar KWSP untuk pekerja asing. Untuk pekerja tempatan dengan gaji sebanyak RM900 sebulan, syer caruman KWSP yang ditanggung oleh majikan adalah RM117 tiap bulan.

Untuk pekerja asing, memang ada bayaran levy. Tetapi ramai majikan memotong RM100 sebulan daripada gaji pekerja asing untuk bayaran levy ini.

Jadi penjimatan besar jika nisbah pekerja asing besar lagi. Inilah realitinya. Oleh itu, majikan tercenderung untuk menghalau pekerja tempatan dan ambil pekerja asing.

Mereka terpaksa berpura-pura menawar kerja pada rakyat kita daripada golongan B40. Tetapi dia cuba daya upaya untuk menghalau mereka dengan memeras mereka, tidak memberi OT pada mereka, dan dengan sikap angkuh dan kurang sopan terhadap mereka.

Inilah sebab-sebab utama kadar pengangguran tersembunyi yang tinggi di kalangan orang kampong di Sungai Siput dan juga di kawasan-kawasan luar bandar lain di Malaysia.

Inilah satu perkara yang tidak ditangani dalam belanjawan terkini. Kewujudan pengangguran tersembunyi di kalangan B40 masyarakat kita. Bukan sahaja tidak ditangani, Tuan Speaker, masalah ini tidak diakui oleh kerajaan kita.

Dalam pembentangan belanjawan pada 23 Oktober 2015, Pekan telah dengan bangganya mengatakan bahawa kadar pengangguran adalah hanya 2.9% sahaja.

Marilah kita kaji siapa yang untung daripada kehadiran 5.5 juta pekerja asing di Malaysia. Sudah jelas, peluang dapat kerja dan juga gaji B40 masyarakat kita tertekan oleh kehadiran pekerja asing. Yang untung adalah majikan yang dapat menjimatkan kos, agen-agen yang membawa masuk pekerja asing, kontraktor-kontraktor buruh yang menggaji pekerja asing dan mungkin pegawai-pegawai tinggi di imigresen dan polis.

Mereka semua dalam T10 iaitu golongan keluarga 10% terkaya di Malaysia.

  • Inilah masalah dengan Belanjawan ini, Tuan Speaker. Memang ada beberapa perkara yang berpihak pada golongan B40.
  • Gaji minima telah dinaikkan RM100.
  • Bantuan pada pekerbun getah kecil dimulakan pada perengkat harga getah yang lebih tinggi.
  • Jumlah Brim dipertingkatkan.
  • GST terhadap beberap jenis ubat dimansuh.

Ini semua baik. Tetapi kesan positif langkah-langkah ini tidak dapat mengawal kesan-kesan buruk yang disebabkan situasi pasaran buruh negara kita di mana kehadiran 5.5 juta menekankan B40 masyarakat kita.

Adalah amat mengecewakan isu pasaran buruh yang merugikan B40 kita langsung tidak ditangani oleh Belanjawan ini. Oleh itu saya tidak dapat menyokong Belajawan 2016.

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments