Kambing hitam (sebelum dan sesudah 13 Mei)

0
1215

Sajak yang ditulis sejurus selepas berlakunya peristiwa titik hitam 13 Mei 1969, karya sasterawan negara Usman Awang.

Usman Awang - Photograph: snusmanawang.com
Usman Awang – Photograph: snusmanawang.com

sebelum

sepinggan nasi di stadium negara
lima belas ringgit cuma
sengih para menteri goncang-goncang tangan
– ada komentar dalam hati
para tauke gendut bibir berlemak
bersama menyanyikan lagu Berjaya
untuk mereka yang BERJAYA!

13 Mei

secupak beras di ibu kota
semangkuk darah harganya
nilai pasaran jalan raja muda
– tidak ada tukaran wang hari ini
harga besi mengejut tinggi
pembeli-penjual saling berebutan
rumah jadi hitam langit hitam
merah senja ibu kota
merah warna jalan raya
merah baju si anak malang
menteri demi menteri di tv
– demokrasi telah mangkat
permakamannya di mana saja, di mana saja pemabuk politik ganja
– taridra 13 mei
mahkamah sepi para hakim kehilangan palu
kini dibentuk mahkamah di jalan-jalan raya
masing-masing pendakwaraya menghujah tanpa bahasa
para hakim menjelma dengan wig merah
saling menjatuhkan hukuman
– sorak-sorai para juri tanpa kerusi.

berkurung

para penggubah dendang Berjaya ke mana hilangnya
para tauke bibir-berlemak nyaman bermahjung
poker jadi perlu mempertajam mata dan otak
ada rindu pada kuda entah makan gerangan tidak
orang kayangan makan angin keluar negeri
– negara kita makmur!
rakyat si buruh si miskin menggadai nyawa percuma
biskut sekeping rebutan anak-anak lapar
beras segenggam seperiuk kanjinya makan sekeluarga.

sesudah

kekuasaan negara berteriak mencari
“di mana dia kambing hitam
kambing hitam”
pemabuk politik-ganja beramai menjawab,
“kambing hitam di sini
kambing hitam”
namanya perkauman
namanya komunis
namanya ultra
namanya gangster
ahli fikir negara merumuskan penyelesaian
jamuan teh makan durian
makanlah buah tempatan
di meja muhibah di kerusi muhibah
sesama mereka bertanya besai di akhbar mereka.

READ MORE:  Sahabatku - My friend

kini

betapa larisnya buku 13 mei
ilham dan mimpi seorang wali
terkutuklah barang siapa mengutukinya
si perkauman si komunis si ultra si gangster
rakyat si buruh si miskin gali kubur sendiri
di gua bimbang di penjara takut
saling mencurigai
kesan politik-ganja
sebelum dan sesudah 13 mei.

Ibu kota, Mei 1969

SUPPORT JUSTICE - SIGN ALIRAN'S ONLINE PETITION
Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments