Dasar sumber manusia, dasar perburuhan harus dikaji semula

0
655

Kerajaan harus fokus kepada anak muda dan pekerja pasca persaraan, ujar Steven Sim.

University of Malaya students protest Oct 2014

Anak muda dan pekerjaan

Anak muda merupakan 62.8 peratus daripada tenaga kerja negara kita.

Namun hari ini, dari segi pekerjaan, anak muda menghadapi dua masalah besar.

1.1 Penggangguran anak muda tinggi

Pertama, penggangguran ataupun unemployment. Walaupun Menteri Ekonomi pernah berkata bahawa kadar penggangguran negara kita rendah, dalam 3-4 peratus, namun penggangguran anak muda tinggi, 10.4 peratus.

Dalam jawapan Menteri Sumber Manusia kepada saya, pada 12 November 2014, beliau berkata bahawa penggangguran anak muda di Malaysia sebanyak 10.4 peratus dan adalah dianggap “normal”; namun beliau juga memberikan perbandingan dengan negara Asean lain seperti Singapura (7 peratus) dan Thailand (3.4 peratus). Persoalannya mengapa kadar penggangguran anak muda di dua buah negara jiran yang bersempadan dengan kita jauh lebih rendah berbanding Malaysia?

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk bertanya, apakah kadar penggangguran mengikut kurungan umur, jantina, kaum dan negeri bagi tenaga kerja di Malaysia.

1.2 Guna tenaga tidak penuh – 99 peratus pekerja belia bergaji di bawah RM3,000 sebulan

Keduanya, masalah besar yang melanda anak muda Malaysia pada hari ini ialah “guna tenaga tidak penuh” ataupun underemployment.

Di sini, saya ingin mengetengahkan bahawa, masalah underemployment ini bukan sahaja terhad kepada definisi formal bagi mereka yang bekerja “kurang dari 30 jam seminggu”, tetapi juga keadaan di mana kualiti penggajian yang rendah, contohnya, bergaji rendah, bekerja di jawatan yang tidak sepadan dengan kelayakan, keadaan kerja yang tidak kondusif, dan lain-lain lagi. Contohnya, jawapan kerajaan kepada saya dalam Dewan ini menyatakan bahawa bahawa 21 peratus graduan kita bekerja di jawatan yang tidak memerlukan sebarang ijazah pendidikan tinggi.

Dari segi gaji, mengikut Laporan Penyiasatan Gaji dan Upah Malaysia 2013 keluaran Ogos tahun ini, purata gaji bulanan pekerja di Malaysia adalah RM2,052 dan penengah (median) gaji ialah RM1,500.

READ MORE:  Ageing with dignity – a challenge for New Malaysia

Walau bagaimanapun, majoriti besar, iaitu 67 peratus daripada tenaga kerja belia di Malaysia mempunyai gaji RM1,000 dan ke bawah, manakala 21 peratus daripada tenaga kerja belia di Malaysia bergaji antara RM1,000 sehingga RM1,500 sahaja.

Kelas gaji (RM)
Bil penerima (‘000)
Peratus penerima (%)
1,000 dan ke bawah
1,144.5
66.8
1001 – 1500
350.8
20.5
1501 – 3000
199.8
11.7
3001 dan ke atas
18.1
1.0
JUMLAH
1,713.2
100
Jadual 1: Bilangan penerima (15-24 tahun) dan peratus penerima mengikut kumpulan gaji (Jawapan Parlimen Menteri Sumber Manusia kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam pada 12 November 2014)

Ini bermakna, 99 peratus tenaga kerja belia bergaji kurang daripada RM3,000 sebulan, dan jika mengikut Paras Garis Kemiskinan yang ditetapkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor iaitu RM1,500 sebulan, maka 88 peratus pekerja belia kita boleh ditakrifkan sebagai “miskin”.

1.3 Sistem pendidikan termasuk sistem latihan semula gagal

Semua ini jelas membuktikan bahawa bukan sahaja sistem pendidikan kita gagal – pandangan ini turut dipersetujui oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir – malah sistem latihan semula, dan latihan kemahiran gagal sama sekali. Ramai anak muda yang mengganggur dan mereka yang ada kerja pun, keadaan kerja tidak baik, gajinya rendah.

1.4 Ambil tindakan sekarang untuk elak “scarring” ekonomi anak muda

Kerajaan perlu sedar kedua-dua penggangguran dan guna tenaga tidak penuh anak muda ini bukan sahaja masalah masa sekarang semata-mata.

Mengikut satu artikel dari The Economist pada September 2011, bertajuk “The Jobless Young: Left Behind”, kajian dari Amerika Syarikat dan UK mendapati pengangguran anak muda semasa mereka berumur awal 20-an akan meninggalkan “parut gaji” ataupun “wage scar” yang akan memberikan kesan kepada kualiti penggajian mereka sehingga umur 30-an.

Ini bermakna kualiti pendidikan, latihan dan pekerjaan anak muda pada hari ini amat penting sebab kesannya akan terasa sehingga 10 tahun kemudiannya. Jika kerajaan masih tidak melaksanakan rombakan secara radikal, maka anak muda kita dan secara tidak langsungnya ekonomi negara akan menghadapi kesan yang buruk dalam dekad yang akan datang.

READ MORE:  Don’t underestimate rising tide of youth power

1.5 Kerajaan harus terbitkan laporan anak muda dan ekonomi dan statistik Neet

Justeru, saya mohon Kementerian menyediakan satu laporan terperinci tentang masalah anak muda dan ekonomi, termasuk isu unemployment dan underemployment bagi memahami isu ini supaya dasar yang lebih jitu boleh dirangka.

Saya juga menggesa agar Kementerian bersama kementerian berkaitan termasuk Jabatan Statistik Negara menerbitkan statistik Neet bagi anak muda. Neet bermaksud, “Not In Education, Employment or Training”. Ini agar keadaan sebenar-benarnya anak muda dalam ekonomi boleh ditinjau dan langkah-langkah pengupayaan anak muda boleh diambil.

Saya mohon laporan tersebut diterbitkan kepada umum dan dibentangkan di dalam Dewan ini.

Kelestarian hidup warga emas – wujudkan akta baru melindungi pekerja pasca persaraan

Isu kedua yang saya ingin bangkitkan ialah isu kelestarian hidup warga emas. Pada minggu lepas, Timbalan Menteri Kewangan dalam jawapan kepada pertanyaan jawab lisan saya mengakui bahawa simpanan KWSP majoriti besar pencarum adalah amat rendah sekali.

Mengikut laporan terkini, 69 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000. Manakala, lebih 80 peratus mempunyai simpanan kurang daripada RM100,000.

Timbalan Menteri Kewangan juga memberikan saranan kepada para pekerja terutamanya ahli-ahli KWSP untuk mencontohi amalan pekerja di negara maju iaitu terus bekerja untuk meningkatkan ekonomi keluarga dan negara selepas mencapai umur persaraan minimum.

Di sini, saya ingin juga ingin memberikan saranan kepada kerajaan agar mencontohi amalan kerajaan di negara maju dan mewujudkan satu perlindungan kepada pesara yang ingin memasuki semula ke pasaran kerja. Tanpa perlindungan formal, warga mas yang memasuki pasaran kerja akan menghadapi pelbagai cabaran seperti diskriminasi atas faktor umur walaupun mereka masih boleh lagi berkhidmat, penindasan dari segi gaji dan lain-lain faedah pekerjaan.

READ MORE:  Plight of compassionate caregiver nuns deserves immediate attention

Sebagai salah satu langkah menangani isu kelestarian hidup warga emas serta masalah penuaan populasi (aging population), saya menyaran agar kementerian membentangkan satu Akta baru melindungi dan mempermudahkan penggajian semula ataupun re-employment pesara. Perkara yang patut dipertimbangkan dalam perundangan baru termasuklah pemudahcaraan pengambilan semula para pesara, latihan bagi kemasukan semula para pesara ke pasaran kerja, syarat-syarat pengambilan semula, hak-hak pekerja pasca persaraan yang diselaraskan sesuai dengan umur mereka sebagai warga emas dan lain-lain lagi. Satu model yang boleh diambil sebagai panduan ialah Retirement and Reemployment Act Singapore.

Laksanakan “roadmap” nyah-taggihkan kebergantungan kepada pekerja asing

Akhir sekali, saya berasa bagi kedua-dua isu ini, satu perkara asas ialah penyah-taggihan negara kita daripada kebergantungan kepada tenaga kerja asing. Sektor-sektor perkhidmatan dan pembuatan terutamanya yang mampu menyerap anak muda dan pekerja pasca persaraan kini bergantung kepada tenaga kerja asing. Ini bukan sahaja mengurangkan peluang pekerjaan kepada anak muda dan pekerja pasca persaraan, malah menjurus ke arah pertandingan ke bawah (competition to the bottom), di mana ekonomi kita tiada insentif untuk meningkatkan rantaian nilai, tiada insentif untuk mempertingkatkan kebajikan pekerja serta kualiti kemahiran pekerja memandangkan sumber tenaga kerja murah dari luar negara mudah diperoleh.

Saya menggesa agar Kementerian boleh merangka satu roadmap untuk membantu industri mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja kurang mahir asing; ini termasuk menyediakan dana terutamanya bagi industri kecil dan sederhana bagi meningkatkan rantaian nilai mereka, melaksanakan innovasi, mengembangkan teknologi dan meningkatkan kemahiran pekerja serta memberikan faedah-faedah pekerjaan yang lebih baik kepada pekerja mereka.

Steven Sim Chee Keong ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam. Ucapan in dibuat semasa debat peringkat jawatankuasa Bajet 2015 Kementerian Sumber Manusia.

(Visited 498 times, 1 visits today)
Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.

Join the conversation

avatar
750
  Subscribe  
Notify of