Fenomena ‘underemployment’ pada tahap yang membimbang

0

Kita hanya diberitahu bahawa sektor pekerjaan kita mencapai tahap guna tenaga penuh, tetapi kerajaan tidak menerbitkan data dan laporan fenomena “underemployment”, kata Steven Sim.

workers

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada warga Bukit Mertajam kerana telah memberi peluang kepada saya menjadi Ahli Parlimen mereka.

Undi majoriti Bukit Mertajam ialah kedua paling tinggi di Malaysia, ini menunjukkan bahawa Rakyat Bukit Mertajam dengan lantang dan jelas inginkan satu perubahan. Mereka inginkan kerajaan yang adil, dan kerajaan bersih dan kerajaan yang cekap. Justeru berdirinya saya di sini ialah untuk mewakili aspirasi tersebut.

Bukit Mertajam menjunjung kasih titah Yang Dipertuan Agong. Terima kasih Tuanku atas kepedulian baginda terhadap anak muda dan wanita apabila baginda telah menyentuh tentang hal ehwal kedua-dua golongan ini dalam titah diraja.

Saya mohon izin untuk berbahas dengan lebih lanjut tentang hal ehwal anak muda dan wanita, terutama dalam isu pendidikan, pekerjaan, kebajikan dan secara amnya sosial ekonomi kaum muda dan kaum wanita.

Pengangguran rendah tapi wujud fenomena “underemployment”

Terlebih dahulu, saya ingin meluahkan kesedihan anak muda kerana malangnya, keprihatian baginda terhadap anak muda tidak dikongsi oleh kerajaan. Kebelakangan ini, kita sering dengar Perdana Menteri dan Menteri Kabinet mewar-warkan betapa kadar penggangguran negara kita amat rendah, di antara 3-4 peratus. Dua hari yang lepas (1 Julai) Senator Menteri memetik ahli ekonomi Keynes menyatakan bahawa apabila kadar penggangguran berada di bawah 4 peratus, maka negara boleh dianggap mempunyai guna tenaga penuh – “full employment”.

Perlu diingat bahawa walaupun pada masa kini kadar pengangguran secara amnya rendah, namun kualiti penggajian menjadi persoalanan. Statistik kerajaan menunjukkan bahawa 40 peratus isi rumah mempunyai pendapatan kurang dari RM1500 sebulan manakala lebih 60 peratus isi rumah mempunyai pendapatan purata kurang dari RM3000 sebulan. Dan kita belum bicara lagi tentang keadaan kerja dan suasana tempat pekerjaan. Dalam kata lain, fenomena “underemployment”.

Mengikut takrifan International Labour Organisation (ILO), “underemployment” bermaksud seseorang itu mempunyai pekerjaan tetapi tidak mencapai tahap pekerjaan penuh mereka. Contohnya, seseorang yang mempunyai ijazah sarjana muda tetapi hanya mendapat kerja untuk lulusan STPM. Ataupun, seorang jurutera terpaksa menjadi jurujual kerana tidak mendapat kerja dalam bidang pengajiannya.

Setakat ini, kita hanya diberitahu bahawa sektor pekerjaan amat memuaskan, sehinggakan Menteri pun kata kita mencapai tahap guna tenaga penuh, tetapi kerajaan tidak menerbitkan data dan laporan fenomena “underemployment” bagi memahami dan menanangi isu ini.

READ MORE:  Women's group reacts to Budget 2021

Justeru, kita tidak perlu terlalu gembira dahulu dengan keadaan ada kerja tapi gajinya rendah, pekerjaan yang tidak berpadan dengan kelulusan akademik ataupun kemahiran seseorang, keadaan bekerja yang teruk dan sebagainya. Di sini, saya nak minta Menteri memberikan satu laporan penuh termasuklah data-data yang berkaitan gejala “underemployment” di Malaysia, secara amnya dan bagi anak muda dan wanita khususnya.

Masalah pengangguran anak muda serius

Apabila kerajaan mula mengucapkan tahniah sesama sendiri tentang kadar pengangguran yang rendah, ini seakan-akan memperlekehkan masalah besar yang dihadapi oleh anak muda yang terkapai-kapai di luar pasaran kerja. Mengikut satu laporan bersama oleh UN dan EPU, “Malaysia: The Millennium Development Goals at 2010”, kadar pengangguran anak muda berumur dari 15-24 ialah 12 peratus, manakala kadar penggangguran anak muda berumur 20-24 tahun ialah 10 peratus.

Dalam kata lain, anak muda lepasan sekolah tak kira sekolah menengah mahupun IPT tidak mendapat kerja. Pada tahun 2011, suatu laporan dari Kementerian Pengajian Tinggi bertajuk “Graduate Tracer Study Executive Report” menunjukkan bahawa dari 174,464 orang siswazah yang dikajiselidik, 24.6 peratus tidak mendapat kerja selepas enam bulan tamat pengajian.

Jawapan dari Senator Menteri kepada Bukit Gantang pada 26 Jun 2013 di dewan yang mulia ini menunjukkan bahawa seramai 75,800 orang siswazah menganggur.

Ini bermakna, sistem pendidikan negara kita tidak mampu mempersiapkan anak muda kita untuk memasuki pasaran kerja.

Kerajaan kemudiannya terpaksa memperuntukkan beratus-ratus juta untuk melatih semula para siswazah ini. Contohnya pada tahun lepas Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukkan sebanyak RM200 juta untuk Pasukan Kerja Kebolehpasaran Graduan (“Graduate Employability Taskforce”) untuk membolehkan siswazah mendapat kerja. Saya ingin bertanya apakah status dan keberkesanan program tersebut setakat ini?

Apa yang pelik ialah tiada usaha untuk reformasi sistem pendidikan sendiri, melainkan kerajaan terus membelanjakan lebih banyak wang untuk latihan semula selepas anak muda tamat pengajian.

Mengapa tidak meningkatkan kebolehpasaran anak muda melalui pembaharuan dalam sukatan pelajaran? Sebagai contohnya, laporan “Programme of International Students Assessment” menunjukkan bahawa kemahiran membaca, sains dan matematik kanak-kanak Malaysia yang berumur 15 tahun hanya setara dengan kanak-kanak berumur 12 tahun di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong. Apakah kurangnya anak-anak kita? Sebenarnya saya percaya dan yakin, anak-anak kita mampu bersaing. Masalahnya ialah sistem pendidikan yang tidak bermaya, sekaligus menyebabkan anak-anak kita ketinggalan.

READ MORE:  Urgent need to increase number, standards of domestic violence shelters in Selangor

Saya nak bagi satu cadangan. Walaupun saya bukan dari SRJKC, tapi kita sedia maklum pelajar-pelajar SRJKC selalunya mempunyai pencapaian matematik yang lebih baik secara umumnya. Saya rasa daripada sering bertelengkah dengan badan-badan pendidikan sekolah vernakular, sudah tiba masanya kerajaan bekerjasama termasuk mendapatkan nasihat daripada mereka memperbaiki sistem pendidikan kebangsaan secara menyeluruh.

Kerajaan perlu ubah halatuju sistem pendidikan kita, Sistem pendidikan di bawah Barisan Nasional bersifat:

1) komersial – iaitu pendidikan dianggap sebagai bahan komoditi yang diperdagangkan dan bukan untuk membina modal insan. Kini selain 20 IPTA, terdapat 365 IPTS yang melahirkan hampir 200,000 siswazah setiap tahun. Bidang pendidikan menjadi satu pertandingan pasaran untuk mendapatkan pelanggan, iaitu pelajar, dan ini sudah tentu akan menjejaskan mutu sistem pendidikan kita.

2) “paper-chase” – fokus harus dialihkan daripada mendapatkan segulung ijazah semata-mata dan institusi pendidikan kita patut diperkukuhkan dengan pembelajaran “soft skills” seperti kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kemahiran bahasa seperti bahasa English.

3) hegemoni – di mana campurtangan terus dan kawalan politik di pihak kerajaan yang menyekat kebebasan akademik menyebabkan mahasiswa dan pensyarah terkongkong menyebabkan apa yang dikatakan fenomena profesor kangkong. Suatu proses pendemokrasian patut berlaku bagi memerdekakan institusi pendidikan kita dari cengkaman politik partisan.

Kerajaan perlu ubah konsep pendidikan sedia ada. Tak kiralah ayatnya meritokrasi-kah, tindakan afirmatif-kah, masalahnya jika kerajaan berjaya sumbatkan semua anak muda kita masuk universiti sekalipun, tetapi nilai ijazahnya sifar, tak dapat bersaing, tak dapat kerja, apa gunanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu segera laksana 10 perkara yang tertunda

Seterusnya izinkan saya bincang sedikit bab hal ehwal dan hak wanita.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ahli Batang Lupar yang diangkat menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Tetapi saya juga nak ambil peluang untuk mengingatkan beliau bahawa di depan beliau, ada banyak kerja yang perlu dilaksanakan. Beliau terpaksa mengejar masa yang terbuang semasa pentadbiran tiga mantan Menteri yang lepas. Saya di sini mengariskan SEPULUH perkara yang saya kira genting ataupun “urgent” untuk beliau jawab atau laksanakan segera:

  1. Malaysia masih belum berupaya memenuhi saranan Cedaw iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan. Parlimen ke-13 yang akan bersidang kini tidak menampakkan sebarang peningkatan dalam keahlian wanita. Perwakilan wanita di DUN pula hanya meningkat dari 8 peratus ke 11 peratus;
  2. Proses penyiasatan dan pendakwaan kes rogol yang menyulitkan. Kadar pendakwaan kes rogol di mahkamah amat rendah iaitu hanya 1 dalam 10 kes yang dilaporkan (AWAM, The Rape Report 2002) dan kadar perogol disabitkan kesalahan hanya antara 4-6 peratus (WCC, 2008); baru-baru ini keputusan mahkamah dalam kes rogol dan bunuh mendiang Chee Ghaik Yap amat mengecewa dan menimbulkan rasa marah orang ramai. Pembaharuan perlu dilaksanakan untuk menambahbaik proses mengendalikan kes-kes sebegini;
  3. Daftar nama pesalah jenayah seksual yang dijanjikan pada 2010 masih menjadi tanda tanya tentang perlaksanaannya;
  4. Apakah status perlaksanaan laporan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan tentang penderaan seksual wanita Penan di Sarawak. Masyarakat Penan secara amnya dan wanita Penan secara khasnya masih menghadapi pelbagai cabaran akibat terpinggir daripada manfaat pembangunan kerajaan. Saya kira inilah masanya untuk kerajaan mengambil tindakan lebih drastik terhadap isu ini, lebih-lebih lagi apabila YB Menteri berasal dari Sarawak;
  5. Pindaan ke atas Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 terutamanya mempermudahkan proses permohonan dan seterusnya penguatkuasaan Interim Protection Order (IPO) – Arahan Perlindungan Interim;
  6. Akta Gangguan Seksual yang telah diperjuangkan sejak 2001 masih belum dibentangkan;
  7. Larangan perkahwinan kanak-kanak belum terlaksana dan statistik kes rogol bawah umur (statutory rape) yang membimbangkan serta ketiadaan penyelesaian yang baik daripada pihak kerajaan;
  8. Penyertaan wanita dalam pasaran kerja tidak meningkat, dengan kadar penyertaan tenaga buruh wanita (female labour participation rate) terbantut pada kadar 46-47 peratus sejak 20 tahun yang lalu, dan tiada satu strategi yang menyakinkan bagi mencapai sasaran 55 peratus menjelang 2015, iaitu hanya satu setengah tahun lagi;
  9. Tiada perlaksanaan bajet responsif gender (gender responsive budget) secara menyeluruh di peringkat Persekutuan walaupun projek perintis (pilot project) selesai dilaksanakan pada 2003;
  10. Oleh kerana 51 peratus daripada pengundi Malaysia memilih Pakatan Rakyat, ini bermakna mereka bersetuju dengan dasar dan manifesto kami termasuklah caruman wanita RM600 setahun. Saya memohon kerajaan melaksanakan dasar ini, memandangkan rakyat Malaysia secara amnya inginkan program ini dan Perdana Menteri sendiri telah menyeru kepada pendamaian nasional (national reconciliation).
READ MORE:  Tragic murder of lecturer highlights domestic violence-alleged murder link

Sebagai penggulungan saya menggesa kerajaan mengambil serius isu anak muda dan wanita yang sering dipinggirkan untuk isu-isu besar yang lain seperti pertahanan, makroekonomi dan sebagainya.

Steven Sim ialah Ahli Parlimen untuk Bukit Mertajam.

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments