Apakah kerugian kerajaan dalam penswastaan aset kerajaan? Kes Tenaga Nasional Bhd

0

Rani Rasiah mengulas mengenai kesan penswastaan industri tenaga elektrik terhadap para stakeholder.

Pengkorporatan LLN 1990

Pada satu ketika dahulu industri menjana elektrik adalah monopoli awam sebelum 1992. Menurut TNB History, Lembaga Lektrik Negara (LLN):

merupakan satu entiti yang berjaya dan beruntung dengan pengurusan berkaliber. Mereka mampu menurunkan tariff kepada pengguna. Bank Dunia pernah memujinya dengan mengiktirafkannya sebagai sebuah entiti yang ditadbir dengan baik, sihat dari segi kewangan dengan dasar menentukan harga yang sesuai, dan autonomi yang mencukupi.

Pada 1 September 1990, LLN dikorporatkan menjadi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan dimilik penuh oleh Kementerian Kewangan.

Penswastaan TNB 1992

Oleh kerana perkembangan ekonomi pesat pada hujung 1980an, TNB telah merancang untuk meningkatkan kapasiti penjanaannya tetapi tidak dibenarkan oleh kerajaan. Akhirnya keadaan ini – permintaan tinggi untuk tenaga elektrik tanpa kapasiti menjana yang sepadan – mengakibatkan satu power blackout 48 jam di seluruh Semenanjung Malaysia pada 29 September 1992.

Penswastaan industri menjana kuasa elektrik bermula selepas insiden ini. Pada tahun 1992, kerajaan memulakan penswastaan TNB dengan menjual 22% saham TNB di KLSE. Soalan yang timbul adalah, adakah keadaan blackout diwujudkan untuk menjustifikasikan penswastaan?

Tujuan dasar penswastaan

Dasar penswastaan diumumkan oleh kerajaan pada tahun 1983 dengan tujuan:
– mengurangkan beban kerajaan daripada aspek kewangan dan pentadbiran
– membaiki kecekapan dan produktiviti
– membantu dalam pertumbuhan ekonomi

Kajian menunjukkan bahawa 20 tahun selepas penswastaan TNB, kerajaan gagal mencapai ketiga-tiga tujuan ini. Pihak kerajaan sendiri mengaku bahawa penswastaan penjanaan tenaga tidak begitu berjaya:

our past experience in privatizing power generation has not resulted in optimal results. – CEO, 1Malaysia Development Berhad (syarikat milik kerajaan yang membeli aset tenaga Ananda Krishnan pada Mac 2012).

Rasionale untuk penswastaan TNB tidak masuk akal memandangkan ia adalah satu perusahaan milik kerajaan yang cukup beruntung dan berjaya. Di samping itu, gambaran yang diberi kepada rakyat adalah bahawa hanya perusahaan yang mengalami kerugian (unprofitable) akan diswastakan.

Pemberian lesen menjana kuasa kepada syarikat-syarikat kroni

Penswastaan telah berlaku di TNB dan juga di industri menjana elektrik.

Daripada permulaan sehingga kini, kerajaan menjadi pemilik saham majoriti di TNB. Pada tahun 2011, 25% syer TNB dipegang oleh syarikat swasta manakala 75% dipegang oleh GLC dan agensi-agensi kerajaan lain seperti Khazanah, EPF, KWSP dll.

Walau bagaimanapun, aspek penswastaan yang amat signifikan adalah penawaran lesen menjana kuasa lektrik kepada syarikat-syarikat swasta (independent power producers atau IPP – penjana tenaga bebas) yang diberi kontrak untuk menjana kuasa dan menjual kepada TNB untuk dibekalkan kepada pelanggan.

Lesen IPP diberi dalam tiga fasa, dari 1993 ke 1995 (IPP Generasi Pertama), 1998 ke 2001 (IPP Generasi Kedua) dan dari 2002 – 2006 (IPP Generasi Ketiga).

READ MORE:  Patriot wants answers to Ministry of Defence's land swap case

Pada tahun 1995, lima IPP generasi pertama membekalkan 30.99% keperluan tenaga negara. Kini, IPP membekalkan 60% berbanding dengan 40% oleh TNB.

Lima IPP pertama yang sangat istimewa

Lima IPP yang pertama khususnya mendapat deal yang paling hebat yang berpotensi untuk memusnahkan TNB dan merugikan rakyat.

Pemiliknya adalah:

  • YTL Power Generation Sdn. Bhd. milik Tan Sri Dato’ Seri Dr. Yeoh Tiong Lay
  • Segari Energy Ventures Sdn. Bhd milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
  • Port Dickson Power Bhd milik Tan Sri T. Ananda Krishnan*
  • Powertek Bhd milik Tan Sri T. Ananda Krishnan
  • Genting Sanyen Power Sdn. Bhd. milik Tan Sri Lim Goh Tong

*kini dibeli oleh 1MDB

Kesemua pemilik ini adalah taikun dan nama mereka tersenarai dalam 10 individu terkaya di Malaysia dalam Forbes Rich List, dan melalui pelaburan dalam IPP mereka telah melipat gandakan kekayaan mereka.

Pemilihan IPP dilaksanakan oleh EPU (Economic Planning Unit, Jabatan Perdana Menteri) tanpa telus. Tidak ada tender terbuka dan mereka dipilih bukan berasaskan kebolehan, pengalaman atau kepakaran mereka kerana kesemua pun tidak ada pengalaman dalam bidang ini.

Apa yang menarik ialah penawaran lesen kepada lima IPP pertama juga tidak dipengaruhi oleh Dasar Ekonomi Baru (NEP) – tidak ada kuota khas kepada kaum Bumiputera atau usaha untuk menghasilkan kelas korporat Melayu, dan terdapat hanya seorang Bumiputera dalam senarai lima itu.

Hanya satu kelayakan yang dapat dilihat dengan ketara iaitu hubungan bakal pemilik IPP dengan Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri pada masa itu. Kesemua mereka adalah kroni Dr Mahathir.

PPA – kontrak merompak wang TNB

PPA adalah kontrak antara TNB dan IPP dan berjangka masa 21 tahun. Kontrak ini dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi (OSA) sehingga hari ini. PPA amat berat sebelah kepada IPP, dan amat merugikan TNB dan rakyat.

Di bawah PPA, ada dua jenis bayaran yang perlu dibuat oleh TNB kepada IPP:

a) Bayaran ‘Take or Pay’

TNB mesti membeli sejumlah kuantiti elektrik daripada IPP seperti yang ditetapkan dalam PPA pada harga yunit yang dipersetujui dalam PPA, atau tetap membayar untuk kuantiti tersebut walaupun TNB tidak memerlukannya.

Isu-isu berkaitan adalah:

  • harga elektrik yang dibeli daripada IPP lebih tinggi daripada yang dijana sendiri oleh TNB, dan mengakibatkan kos yang lebih tinggi kepada pengguna. Contohnya menurut Tan Sri Ani Arope, pada tahun 2006, TNB menjana kuasa pada kos 8 sen seunit (kWh) dan mampu menjualnya kepada pelanggan pada harga 17 sen seunit, manakala kos menjana elektrik oleh IPP ialah 16 sen seunit (kWh) yang dijual kepada TNB pada harga 23 sen dan dijual kepada pelanggan pada harga 30 sen.
  • risiko penurunan dalam permintaan seperti berlaku semasa krisis ekonomi ditanggung oleh TNB. Semasa Krisis Ekonomi Asia tahun 1997, TNB terpaksa hentikan pengeluarannya sendiri untuk menunaikan kontrak PPA
READ MORE:  Patriot wants answers to Ministry of Defence's land swap case

b) Bayaran untuk kapasiti dan tenaga

i) Bayaran kapasiti
Ini adalah bayaran tetap yang dibuat kepada IPP (untuk mendapat kembali kos pembangunan kemudahan menjana kuasa dan ‘overhead’ tetap) untuk mengendalikan sejumlah kapasiti menjana berlebihan – ‘reserve capacity’. Ini adalah amalan biasa dalam sektor tenaga dan peratus kapasiti berlebihan adalah antara 15% dan 20%. pada peringkat antarabangsa.

Masalah di Malaysia adalah kapasiti berlebihan yang ditetapkan adalah 40% – dua kali lebih daripada kapasiti berlebihan yang diperlukan! Oleh itu TNB terpaksa membayar dua kali ganda daripada apa yang perlu dibayar kepada IPP. Di Thailand yang menarik lebih banyak FDI daripada Malaysia, kapasiti berlebihan adalah 22% sahaja.

Kapasiti berlebihan dua kali ganda ini amat menguntungkan IPP tetapi amat membazirkan dan merugikan TNB. Lebih daripada 50% bayaran TNB kepada IPP adalah bayaran untuk kapasiti berlebihan. Sekiranya penaksiran kapasiti berlebihan dibuat dengan lebih kompeten, TNB dapat menjimatkan berbilion-bilion ringgit.

ii) bayaran untuk tenaga

Merupakan bayaran untuk turun naik kos operasi (supaya beban inflasi tidak ditanggung oleh IPP) dan kos bahan bakar yang digunakan dalam penjanaan.

Kos bahan api adalah kos ‘pass-through’ iaitu apa sahaja kos bahan api yang diperlukan bagi menjana elektrik akan dicaj kepada pengguna. Disamping itu, TNB akan tanggung sekiranya ada kenaikan harga bahan api.

IPP adalah penerima subsidi gas paling banyak daripada Petronas. Pada Mei 2011, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui mempertahankan IPP dengan mengatakan bahawa IPP tidak mendapat sebarang keuntungan daripada subsidi gas yang merupakan kos ‘pass-through’.

Tetapi walaupun IPP mendapat gas dengan harga yang rendah, ia membekalkan elektrik kepada TNB dengan harga yang lebih tinggi daripada harga TNB. Ini bermakna IPP mendapat keuntungan besar daripada subsidi gas.

Untung terjamin untuk IPP – risiko perniagaan ditanggung oleh TNB

IPP bebas daripada risiko penurunan dalam permintaan (jualan terjamin) dan kenaikan harga bahan bakar serta dijamin keuntungan sebanyak sekurang-kurangnya 20% setiap tahun untuk 21 tahun. Mana ada peranan ‘entrepreneurship’ yang diambilkira sebagai salah satu faktor pengeluaran oleh pakar ekonomi ‘mainstream” dan manakah sumbangannya terhadap berbillion-billion ringgit untung yang diperolehi daripada TNB?

Bayaran TNB kepada IPP

Tahun

Bayaran kpd IPP: RM

Bayaran untuk tenaga

Bayaran kapasiti

2007

7.7bn

4.2bn

3.5bn

2008

8.7bn

3.9bn

4.8bn

2009

11.9bn

5bn (projected)

2010

12.5bn

2011

14.2bn

Hampir setengah kos operasi TNB terdiri dari bayaran kepada IPP, dan separuh dari bayaran ini adalah untuk bayaran kapasiti, dimana separuh wang atau RM2.4bn untuk 2008 dapat dijimatkan sekiranya reserve kapasiti yang munasabah ditetapkan. Jumlah bayaran kepada IPP meningkat tahun demi tahun sedangkan pendapatan bersih TNB turun.

Perjanjian ini sangat memihak kepada IPP sehingga Tan Sri Ani Arope Pengerusi Eksekutif TNB pada masa itu enggan menandatangani kontrak dan meletak jawatan. Perjanjian ini tidak disenangi dan dikritik oleh ketua-ketua TNB sejak masa itu, malah, pakar economi haluan kanan juga mengkritiknya.

Kesan penswastaan industri tenaga – TNB, rakyat dan negara

a) Meningkatkan beban hutang kerajaan melalui subsidi gas yang diberi kepada IPP dan TNB sehingga hari ini

b) Menghakis prestasi kewangan TNB dengan bayaran berbillion-billion ringgit kepada IPP. Dua puluh tahun sejak IPP diberikan lesen, status kewangan, prestasi dan imej TNB turun. Pada tahun 2011, keuntungan bersih turun TNB dari RM3.2bn pada tahun 2010 ke RM499.5 juta (salah satu sebab kerana terpaksa bayar harga pasaran untuk gas dan membeli bahan bakar ganti yang lebih mahal), dan dividen akhir tahun untuk tahun kewangan 2010/2011 tidak dapat dibayar. Tetapi pada masa yang sama, IPP mendapat keuntungan yang lumayan melalui satu kontrak yang dikatakan baik sekali di dunia.

c) Mengakibatkan kenaikan tarif kepada pengguna.

d) Tidak meningkatkan kecekapan penjana kuasa. Menurut institut bebas Refsa (Research for Social Advancement), kos menjana elektrik oleh IPP di Malaysia 80% lebih tinggi daripada penjana di Singapura

e) Selepas 20 tahun IPP dan TNB masih bergantung kepada subsidi gas dan tidak ada usaha untuk membangunkan teknologi tenaga alternatif yang murah dan hijau dengan menggunakan wang keuntungan IPP.

Syor

Peranan TNB seolah-olah mengorbankan diri sendiri supaya IPP boleh terus mendapat untung lumayan. Keputusan kerajaan untuk membeli aset menjana tenaga yang dijual oleh Ananda Krishnan adalah pengakuan bahawa model penswastaannya telah gagal.

Tetapi ini tidak cukup, dan tindakan-tindakan berikut disyorkan:

  • Hentikan kontrak PPA dengan serta merta dan kenakan bayaran ganti rugi
  • Tamatkan kontrak dengan semua IPP, dan miliknegarakan industri penjanaan elektrik. Berbillion-billion ringgit bayaran kepada IPP boleh dijimatkan.
  • Gunakan wang yang dijimatkan untuk membangunkan sumber tenaga alternatif hijau
  • Ambil tindakan undang-undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan EPU kerana memecah amanah dengan tindakan jenayah mereka mewujudkan PPA yang merugikan kerajaan dan rakyat.

Rujukan:
1. Annual Report TNB 2011
2. The High Cost of Private Monopolies, CAP
3. The IPP Investment Experience in Malaysia, Jeff Rector
4. Dec 2010, Malaysiakini article by SM Idris
5. TNB History
6. REFSA (Research for Social Advancement) , June 2011
7. Lim Guan Eng’s letter June 2006 to TNB CEO
8. Viewpoints, pg 3, StarBizWeek, 4/2/12
9. Finance Twitter
10. Artikel-artikel dr Malaysian Insider, Malaysiakini
11. Temuduga Starbiz, The Star, 6 June 2006

Mac 2012

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.