Kumar menang pusingan 1 kes peruntukan ahli parlimen

0

Kes ini telah difailkan ekoran kerajaan pusat menolak peruntukan tahunan RM1 juta ke kawasan pilihan raya yang diwakili pembangkang. Lapuran oleh Ravin.

Setelah beberapa kali menangguhkan kes, akhirnya pada 25 Februari 2011, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada permohonan ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar untuk mendapatkan semakan kehakiman.

Ini boleh dikatakan satu kemenangan awal kepada seluruh rakan seperjuangan Parti Sosialis Malaysia.

Permohonan ini boleh dikatakan kes pertama dalam sejarah Malaysia dimana seorang Ahli Parlimen pembangkang berani tampil ke hadapan dan mencabar serta mengheret kerajaan ke mahkamah. Yang lebih memeranjatkan semua pemerhati, adalah PSM berjaya mendapatkan ‘leave’ kebenaran. Walaupun ini hanya kemenangan pusingan pertama tetapi ia signifikan kerana ia membolehkan PSM membongkarkan isu peruntukan ahli parlimen pembangkang yang dinafikan hak selama ini.

Kes ini telah difailkan ekoran kerajaan pusat menolak peruntukan tahunan RM1 juta ke kawasan pilihan raya yang diwakili pembangkang. Tetapi, yang anehnya, peruntukkan hanya diberikan kepada wakil rakyat BN/Umno. Jadi, kenapa pula kerajaan mengatakan ini adalah negara demokrasi sedangkan mereka tidak berkelakuan sedemikian.

Menurut Dr.Jeyakumar, beliau sebenarnya terkejut dengan keputusan tersebut kerana ia bukannya seperti yang dijangka. Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat turut hadir dan melibatkan diri mereka, ini termasuklah Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai MP Nurul Izzah Anwar dan Yusmadi, yang juga menjadi pemerhati, kerana kes tersebut turut mempunyai implikasi di kawasan yang mereka wakili.

Dalam perbicangan tersebut, Hakim Datuk Aziah Ali berpendapat Dr Jeyakumar telah membuktikan ada kes untuk diberi pertimbangan yang sewajarnya dan oleh itu hakim tersebut telah membenarkan permohonan kebenaran mendapatkan semakan kehakiman.

Peguam Datuk S Ambiga, yang mewakili Dr Jeyakumar, memberitahu pemberita bahawa mahkamah telah menetapkan 18 Mac yang akan datang untuk pengurusan kes bagi mendengar penuh permohonan semakan kehakiman itu.

Dalam mengambil tindakan ini, Dr. Jeyakumar telah berkata permintaan untuk dana harus diberikan kepada beliau kerana semua projek yang dipohon merupakan peruntukan khas untuk kawasan pilihan raya.

Beliau mendakwa pihak responden menggunakan kuasa atau budi bicara untuk memberikan peruntukan secara tidak adil dengan memihak kepada Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dan prejudis terhadap ahli parlimen dari parti pembangkang.

Tambahan pula, Dr Jeyakumar juga menuntut perisytiharan bahawa peruntukan tersebut mesti disediakan secara saksama selaras dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, beliau juga menuntut perintah ‘mandamus’ bagi memaksa responden menperjelaskan kuasa mereka dalam meluluskan dana dari Peruntukan Khas Kawasan Parlimen mengikut budi bicara serta menyatakan prosedur peruntukan dana sejak 2008.

Beliau menuntut writ ‘quo warranto’ (permohonan yang mencabar kesahihan pelantikan perjawatan) dikeluarkan yang memerintahkan pihak responden untuk tunjuk sebab dan memberi maklumat mengenai kuasa mereka dalam mengguna, melulus dan mengeluarkan dana daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

Secara konklusinya, kerajaan harus sedar bahawa duit yang akan diperuntukkan bukannya untuk kegunaan wakil rakyat itu sendiri, tetapi itu merupakan duit rakyat dan mereka harus dan mereka mempunyai hak untuk menikmati kemudahan di negara ini. Langkah yang diambil oleh ahli parlimen PSM dalam menyaman kerajaan telah menggegarkan mereka dan langkah ini harus dipraktikkan oleh semua wakil rakyat terutamaya wakil rakyat pembangkang supaya rakyat akan mendapat kebaikan.

Turut bersama menyambut kemenangan ini adalah Pengerusi Nasiaonal PSM Dr Nasir Hashim, Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan dan bendahari Kehormat Sdr A Sivarajan.

Kornologi Ringkas

29 Oktober 2010 – Dr Jeyakumar telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi memperoleh perisytiharan bahawa peruntukan khas kawasan Parlimen mesti dibekalkan dan disediakan kepada semua ahli parlimen secara saksama tidak mengira daripada parti pemerintah ataupun parti pembangkang. Inilah yang harus dipraktikkan oleh kerajaan pemerintah pada masa ini.

10 Januari 2011 – PSM yang diketuai oleh Dr Jeyakumar telah membuat laporan polis berkenaan dengan penyelewengan dalam isu peruntukkan. Dalam surat bertarikh 21 Oktober 2010, Pegawai Pembangunan Negeri Perak telah memaklumkan bahawa sebanyak RM1.72 juta telah disalurkan untuk kegunaan 56 projek di Sungai Siput. Tiga daripada projeknya diutarakan oleh Dr Kumar untuk Anak Yatim Nurul Ihsan dan dua buah sekolah. Malangnya, apabila diperiksa, jumlah yang disalurkan kepada dua buah sekolah adalah sangat sedikit. Ini lebih teruk apabila tiada bantuan diberikan kepada Anak Yatim Nurul Ihsan. Namun, Pegawai tersebut membidas dan mengatakan bahawa RM1.72 juta dibelanjakan untuk beberapa program seperti RM 1.1 juta untuk masjid dan sebagainya. Tetapi, tiada penjelasan kenapa tiada bantuan disalurkan kepada Anak Yatim Nurul Ihsan. Dimanakah silapnya?

Dr Jeyakumar yang merupakan seorang pakar jantung, menamakan Ketua Pengarah bagi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengarah Pejabat Pembangunan Perak dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Ravin ialah pemberita PSM

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments