Apabila wartawan ditutup mulut

0

Tak kira apa sudut yang diambil, apa yang jelas ialah media dan wartawannya telah ‘dikurung’, ujar Mustafa K Anuar. Turut merasakan impak ‘kurungan’ ini ialah rakyat jelata yang dahagakan berita dan maklumat yang berguna.

National Union of Journalists president Hata Wahari - Image courtesy of nuj-nysp.blogspot.com

Presiden Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJ), Hata Wahari, dilaporkan digantung dari kerjanya oleh majikannya, Utusan Malaysia, pada 17 Januari – iaitu ketika siasatan dalaman (domestic inquiry) akan dilaksanakan. Ini ekoran dari kritikan yang dilemparkan oleh Hata terhadap akhbar yang kontroversial itu sebaik saja menyandang jawatan pemimpin di NUJ itu.

Jika berita ini menyedihkan bagi rakan sekerja dan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kebebasan bersuara dan media, hal yang mengatakan beliau telah dikenakan perintah “kurung rumah” adalah lebih membimbangkan. Ini kerana tindakan yang diambil oleh majikannya itu mirip perilaku pemerintah yang menghukum seseorang itu – yang mungkin dianggap penjenayah atau yang dicop sebagai ancaman negara – tidak boleh keluar dari persekitaran rumah selama waktu yang ditentukan.

Dengan kata lain, wartawan yang kritis dan berpaut kepada kod etika profesion kewartawanan telah dihukum seolah-olah dia telah melakukan suatu jenayah.

Jika kita mengimbas kembali apa yang Hata telah lakukan, beliau membuat teguran terhadap Utusan Malaysia bahawa akhbar itu telah hilang haluan sebagai sebuah akhbar arus perdana kerana telah bersikap “ekstremis” dari segi pendekatan yang diambil oleh editornya dan pemberitaan yang dilakukan, dan beliau bimbang ini boleh mencetuskan “keluh kesah” dalam kalangan rakyat yang berbilang etnik dan agama. Dan seterusnya beliau khuatir pendekatan ekstremis ini boleh mengakibatkan jualan dan pembacaan akhbar tersebut yang kian meleset.

Sebagai pemimpin sebuah kesatuan wartawan yang inginkan NUJ dan profesion wartawan disegani di Malaysia, Hata berhak untuk menyatakan pendirian beliau seikhlas mungkin walaupun ini boleh “menusuk kalbu” majikannya sendiri. Sudah tentunya ini satu perbuatan yang bukan mudah, tetapi perlu dilakukan demi maruah profesion wartawan dan prinsip kebebasan media dan demokrasi.

Kalau kita perlu peringatan di sini, kerjaya wartawan mempunyai tanggungjawab yang berat bukan sahaja terhadap dirinya sebagai seorang professional tetapi juga terhadap masyarakat umum. Wartawan, sekurang-kurangnya pada prinsipnya, harus komited terhadap kebenaran, keadilan dan kedamaian.

Kewartawanan bukanlah satu kerjaya yang menjanjikan gaji bulanan semata-mata sepertimana yang ada pada kerjaya lain. Ianya memerlukan komitmen mendalam yang kadang-kala mendedahkan diri wartawan berkenaan kepada bahaya (politik, ekonomi dan keganasan fizikal) dan dilema moral.

Dengan kata lain, tindakan yang diambil oleh Hata dan rakan-rakannya di NUJ perlu dihargai oleh warganegara Malaysia pada umumnya kerana ianya bersangkut-paut dengan persoalan etika profesion, keadilan, kebenaran dan hak kebebasan bersuara. Ini lebih-lebih lagi apabila masyarakat masakini menghadapi keadaan di mana kebenaran dan keadilan menjadi “binatang buruan” yang sukar dicari dan dicapai.

Itulah sebabnya, sepertimana yang telah diperhatikan oleh Hata, ramai rakyat di negara ini yang telah “berhijrah” dari media arus perdana ke media alternatif di Internet dalam usaha mereka mendapatkan berita dan maklumat yang kelihatan terdekat dengan kebenaran dan keadilan. Sesungguhnya, citarasa rakyat masakini rata-rata lebih canggih.

Dan perbuatan Hata (dan rakan seperjuangannya) untuk memperjuangkan profesionalisme kerjayanya dan juga kebebasan media menjadi lebih relevan lagi apabila ada usaha yang membayangkan keinginan pihak pemerintah yang cenderung untuk membendung kebebasan yang ditawarkan oleh Internet itu. Khususnya, Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini telah meluahkan “kebimbangan” tentang apa yang dianggap sebagai unsur-unsur tidak sihat dalam Internet yang kononnya boleh membawa rebah lebih-lebih lagi kepada anak-anak muda dalam masyarakat kita.

Sesungguhnya, tindakan Hata ini mempunyai signifikannya yang ketara. Dalam keadaan dunia kewartawanan tanah air di mana wujudnya ‘wartawan wahyu’, sikap dan tindakan yang diambil oleh wartawan seperti Hata mudah memisahkan dirinya dari kelompok wartawan ini. Malah, beliau dan rakan seperjuangan mudah dilihat seolah-olah mencapai status hero dalam dunia persuratkhabaran di Malaysia.

Sebilangan pemerhati media merasakan kemunculan pemimpin NUJ seperti Hata ini persis udara nyaman bertiup yang enak dihidu di tengah-tengah masyarakat yang dibelenggukan dengan kongkongan media dan wartawan hasil daripada undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Rahsia Rasmi yang mencengkam kebebasan media dan bersuara.

Jika dipandang dari satu sudut, tindakan yang diambil oleh Utusan Malaysia terhadap Hata mempunyai ironinya kerana ini melibatkan sebuah organisasi media yang sepatutnya melindungi dan memperjuangkan kebebasan media dan anak buahnya. Tetapi bila dilihat dari sudut yang lain, tindakan akhbar ini harus dijangkakan kerana akhbar tersebut sudah lama berperanan sebagai sebuah lidah parti politik konservatif yang sudah tentunya mempunyai matlamat yang berlainan daripada akhbar arus perdana yang normal lagi bebas.

Tak kira apa sudut yang diambil, apa yang jelas ialah media dan wartawannya telah ‘dikurung’. Turut merasakan impak ‘kurungan’ ini ialah rakyat jelata yang dahagakan berita dan maklumat yang berguna kepada kehidupan seharian mereka dalam sebuah masyarakat yang dikatakan mengamal sistem demokrasi.

Mustafa K Anuar ialah penolong setiausha kehormat Aliran

Sumber: merdekareview.com

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.