Mustafa K Anuar: Guru dan sahabat sepanjang hayat

0
414 views

Idealisme dan prinsip hidup adalah sangat penting – itu adalah antara nasihat yang Dr Mustafa K Anuar memberi kepada para pelajarnya. Lapuran oleh Muhammad Adam Abu Bakar.

Dr Mustafa Kamal Anuar (ketiga dari kiri) bersama rakan pensyarah dan juga bekas anak didiknya dahulu dari Pusat Pengajian Komunikasi, Dr Adrian Lee Yuen Beng (kiri), Puan Wang Lay Kim (kedua dari kiri) dan Dr Mahyuddin Ahmad@Abdul Rahman (kanan).
Dr Mustafa K Anuar (ketiga dari kiri) bersama rakan pensyarah dan juga bekas anak didiknya dahulu dari Pusat Pengajian Komunikasi, Dr Adrian Lee Yuen Beng (kiri), Puan Wang Lay Kim (kedua dari kiri) dan Dr Mahyuddin Ahmad@Abdul Rahman (kanan).

Pemuzik yang handal akan menulis bait-bait not dan nada yang indah untuk didengar dan dihayati liriknya, dan pelukis yang hebat akan melukis ceritera hidupnya menggunakan berus dan warna di atas kain kanvas putih untuk dijadikan sebuah karya agung agar dapat dihayati generasi akan datang.

Manakala pendidik yang dikagumi akan sentiasa memberikan cahaya ilmu tanpa mengira penat dan lelah kepada pelajarnya agar terus bersinar supaya menjadi insan yang dapat berbakti kepada masyarakat. Beliau yang dimaksudkan adalah Dr Mustafa Kamal Anuar yang telah berkhidmat dan menabur benih ilmunya selama 31 tahun di Universiti Sains Malaysia (USM).

Anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan ini menceritakan kisah sewaktu kecilnya beliau tidak pernah disentuh oleh media-media sosial seperti Facebook, mahupun gajet-gajet permainan seperti Playstation. Baginya, beliau lebih suka bermain dan bersosial bersama rakan-rakanya di luar. Baginya, ia dapat memberi peluang kepadanya untuk bergaul tanpa perlu memikirkan batas etnik dan agama.

Setelah menamatkan ijazah sarjana muda, beliau memulakan kariernya sebagai wartawan di News Straits Times selama tiga tahun bermula pada 1977 sehingga 1979. Namun minat dan cintanya terhadap ilmu terus menebal dalam dirinya menyebabkan beliau terus mengorak langkah untuk menyambung pengajiannya ke peringkat tertinggi. Berbekalkan pengalaman pahit dan manis sebagai seorang wartawan, beliau meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana di Boston University, dan City University, London.

Detik demi detik berlalu, musim demi musim berganti. Beliau kini menjadi salah seorang pensyarah yang disegani dan di antara pensyarah perintis Pusat Pengajian Komunikasi. Pelbagai rintangan dan cabaran telah dihadapinya namun beliau akur iaitu setiap manusia yang diuji itu harus bangkit dan belajar di atas kegagalan.

READ MORE:  Why UUCA must go: Academic freedom is key to quality education

Menurutnya, antara cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi sepanjang berkhidmat sebagai pensyarah di USM adalah apabila beliau terpaksa menghadapi rintangan yang didirikan oleh segolongan manusia yang tidak mahu pelajarnya berjinak-jinak dengan kebenaran dan keadilan, selain cabaran daripada manusia yang taksub dengan kuasa yang diperolehi hingga terkikis unsur-unsur kemanusiaan dan seolah-olah hilang pedoman hidup.

Namun demikian, awan mendung tidak selalunya mendung dan sinar cahaya suria pasti akan menyinar. Pada masa yang sama, beliau turut berbangga dan gembira kerana dapat berkongsi ilmu dengan pelajarnya yang mempunyai idealisme dan mempunyai fikiran yang kritis terhadap persoalan dan keadilan serta masalah sosial.

“Lebih menggembirakan apabila mereka mengaplikasikan sedikit sebanyak ilmu pengetahuan yang dipelajari ke alam pekerjaan mereka, melihat para pelajar tahu untuk menilai peri mustahaknya politik dalam erti kata luasnya dan peranannya dalam kehidupan mereka dan juga media tanah air,” katanya.

Tambahnya, idola baginya adalah seseorang yang prihatin terhadap persoalan keadilan sosial, pembelaan terhadap golongan terpinggir dan terbiar. Bukan itu sahaja, beliau juga menganggap mereka yang sanggup berkorban demi menegakkan kebenaran serta keadilan tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan juga sebagai idolanya.

Apabila ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan apa yang beliau kecapi sekarang, beliau menjawab bahawa beliau belum puas lagi kerana usahanya untuk mengeluarkan pelajar yang boleh berfikiran kritis dan mempunyai sifat ingin tahu menjadi rumit.

“Hal ini berlaku disebabkan sistem pendidikan yang pada keseluruhannya memberi lebih penekanan kepada penghafalan fakta,” ujarnya.

Seorang yang suka membaca, menulis, mendengar muzik, dan menonton wayang ini turut berasa bersyukur dan berbangga kerana ada di antara benih-benih yang dididik telah pun mengikuti jejak langkahnya dengan turut menjadi pensyarah.

READ MORE:  Why UUCA must go: Academic freedom is key to quality education

Setelah 31 tahun sebagai pendidik, tidak dapat dinafikan beliau berasa sedih untuk meninggalkan rakan-rakan seperjuangan yang berkongsi idealisme dan terlepas peluang untuk bertemu serta berkongsi idea khususnya pelajar-pelajar yang hauskan ilmu dan bukan belajar semata-mata kerana untuk mendapatkan gred yang cemerlang sahaja.

Idealisme dan prinsip hidup adalah sangat penting. Itu adalah antara nasihat yang diberikan kepada para pelajarnya. Beliau turut menasihatkan supaya sentiasa berpegang teguh dengan pendirian ini apabila berhadapan dengan kuasa dan kekayaan yang disogokkan kepada mereka selepas keluar dari universiti.

“Kepada rakan-rakan, lakukanlah yang terbaik dan sentiasa berikan sesuatu yang bermakna dalam bidang akademik mereka agar ia boleh mendatangkan manfaat kepada masyarakat umum dan juga sentiasa cabar conventional wisdom” katanya kepada Berita Kampus.

Bercerita tentang perancangan beliau selepas bersara nanti, beliau akan terus menulis untuk berkongsi idea dan idealismenya kepada masyarakat, serta akan terus bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.

Berita Kampus turut menemubual beberapa orang anak didiknya yang kini turut bersama-sama berkhidmat di bawah satu bumbung yang sama. Mereka adalah Dr Adrian Lee Yuen Beng dan Dr Mahyuddin Ahmad @ Abdul Rahman.

PENYABAR DAN SENTIASA MEMBANTU

Dr Adrian Lee Yuen Beng, yang pernah menjadi pelajarnya dan kini menjadi rakan sekerja menyifatkan Dr Mustafa sebagai seorang yang penyabar dan dengan sifatnya itu menjadikan beliau seorang yang disenangi pelajar dan juga rakan sekerja yang baik.

Bukan itu sahaja, sifatnya yang suka membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan menjadikan beliau rujukan pensyarah-pensyarah lain dalam mendapatkan maklumat.

“Semasa saya menjadi pelajarnya dulu, beliau akan memotivasikan setiap pelajarnya agar sentiasa berfikir lebih mendalam, kerana beliau tahu akan kemampuan sebenar pelajar tersebut,” katanya.

READ MORE:  Why UUCA must go: Academic freedom is key to quality education

Dr Adrian tidak menolak bahawa Dr Mustafa adalah living legend yang akan terus diingati dan disanjungi. Hal ini kerana beliau merupakan antara pengasas Pusat Pengajian Komunikasi.

“Sewaktu kami mengadakan persidangan di Jogjakarta, Indonesia, kami pernah dicabar oleh profesor lain, tidak dinafikan kami berasa tercabar dan tergugat. Namun demikian, Dr Mustafa sentiasa menenangkan kami, “Malahan kami berasa selamat apabila bersama Dr Mustafa, ia seperti perasaan seorang bapa yang melindungi anaknya,” katanya.

Dr Adrian juga tidak menolak bahawa ia merupakan suatu kehilangan yang besar dan secara jujurnya berbangga beliau telah melahirkan generasi yang hebat.

SEORANG PENGHIBUR

Bagi Dr Mahyuddin Ahmad @ Abdul Rahman, banyak yang dipelajari daripadanya. Walaupun Dr Mustafa Kamal Anuar seorang yang sangat serius dan jarang ketawa, tetapi beliau seorang yang baik hati.

Mengimbas kembali semasa beliau bergelar seorang pelajar, sewaktu kuliahnya sekiranya tidak diamati dengan betul pengajarannya, kita akan tertidur. Tetapi jika dengar dengan teliti apa yang beliau katakan, ia menarik dan idea yang digunakan untuk sesuatu perkara itu sangat bagus.

“Kalau kita baca hasil penulisan beliau, kita tidak akan percaya itu adalah hasil tangan beliau sendiri,” katanya.

Menurutnya lagi, Dr Mustafa mampu menghiburkan orang lain dalam keadaan yang tidak terjangka.

“Dr Mustafa boleh buat orang lain ketawa walaupun dalam keadaan yang sangat tegang. Tidak ramai orang sepertinya,” ujarnya.

Sumber: Berita Kampus, USM (16 October 2013)

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments