Helen Mary Johnson: Komrad yang bersemangat kental dan komited

Usahanya telah menghasilkan keadaan yang lebih baik untuk pekerja-pekerja di seluruh Malaysia

Pada 4 Mei, kita kehilangan seorang lagi aktivis yang berani berjuang.

Saudari Helen dimasukkan ke Hospital Besar Johor Bahru kerana kesakitan belakang atas dan kesukaran bernafas. Doktor mendiagnosis bahawa beliau kena serangan jantung kerana jantungnya sudah berada dalam keadaan bergelut pada ketika kemasukan ke hospital – tekanan darahnya adalah rendah dan terdapat air terkumpul dalam paru-paru. Mereka cuba menguraikan gumpalan darah dalam saluran arteri koronarinya dengan menggunakan ubat intravena supaya menstabilkannya, tetapi tidak berjaya. Helen meninggal dunia dalam masa 12 jam selepas dimasukkan ke hospital. Beliau berusia 55.

Helen menjadi sebahagian daripada gerakan kami pada awal tahun 1990-an. Suaminya, Muthumani, merupakan salah seorang pekerja yang diberhentikan kerja apabila Ladang Klebang di Perak dijual kepada pemaju swasta. Helen dan suaminya merupakan salah satu daripada 17 buah keluarga yang berjuang untuk perumahan alternatif di situ – satu perjuangan yang berlarutan selama satu dekad.

Pada satu ketika berlakunya penangkapan 20 orang penduduk Ladang Klebang kerana “kesalahan jenayah” berpiket secara aman di hadapan ladang yang dihuni mereka. Secara kebetulan, peristiwa itu ialah penangkapan pertama yang terjadi pada kumpulan kami, Alaigal (Parti Sosialis Malaysia atau PSM belum lagi wujud pada masa itu). Ia merupakan satu proses pembelajaran yang penting untuk mengatasi ketakutan kami terhadap polis dan kena tangkap.

Polis telah mengenal pasti anggota-anggota Alaigal yang hadir dalam piket itu. Pihak polis menangkap kami semua dan memuatkan kami naik ke dalam Black Maria (sejenis trak pengangkut polis).

Pekerja-pekerja Ladang Klebang secara spontannya meluru ke depan dan memanjat ke dalam Black Maria itu, menyatakan bahawa jika anggota Alaigal ditangkap, maka mereka harus ditangkap juga.

Tindakan yang berani ini tidak pernah dilatih ataupun dibincangkan sebelum itu. Solidariti secara spontan dan keberanian pekerja-pekerja ladang yang biasa ini telah memberi inspirasi kepada kami dan memberi kekuatan kepada kami. Ketakutan kami terhadap penangkapan polis telah berkurangan dengan ketaranya tidak lama kemudian.

Akhirnya, selepas perjuangan bertahun-tahun lamanya, 17 buah keluarga bekas pekerja Ladang Klebang menerima lot tanah perumahan setiap keluarga, secara percuma.

READ MORE:  Tiga reformasi terpenting untuk Malaysia

Ramai daripada mereka yang pernah kami bantu kekal berterima kasih pada kami selepas berjaya memenangi beberapa konsesi daripada pemaju swasta atau kerajaan. Tetapi terperangkap dengan kehidupan mereka sendiri, mereka biasanya tidak dapat memberikan masa kepada aktiviti Alaigal atau PSM. Kehidupan untuk golongan terendah 40% adalah susah dan ia merupakan pergelutan yang berterusan untuk memenuhi keperluan hidup. Oleh sebab itu, ramai orang mendapati bahawa adalah sukar untuk mengambil bahagian kempen-kempen yang bertujuan untuk memperbaiki keadaan mereka.

Walau bagaimanapun, ini tidak berlaku pada Helen dan Muthumani. Mereka telah menjadi penyokong kuat kepada Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) yang kami tubuhkan supaya berkempen untuk gaji bulanan yang lebih baik, skim perumahan dan kemudahan lain bagi pekerja-pekerja ladang.

Kempen ini membuatkan kami melakukan pelbagai perkara – melawat banyak ladang, mengedar risalah semasa perayaan Thaipusam dan kesempatan-kesempatan lain, mengadakan kempen tandatangan, dan menganjurkan rombongan bas ke Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum dengan poskad yang telah ditandatangani kepada Parlimen serta pejabat perdana menteri.

Helen dan Muthumani ialah peserta barisan hadapan yang aktif. Kedua-dua mereka berpegang pada kepercayaan bahawa pekerja-pekerja di Malaysia tidak diberikan bahagian kekayaan yang adil walaupun mereka memainkan peranan utama dalam mencipta kekayaan itu. Mereka menemui jalan untuk melakukan sesuatu terhadap ketidakadilan ini melalui Alaigal dan kemudiannya PSM.

Pada awal tahun 2000-an, Helen telah memainkan peranan penting dalam membina Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan (GPKK) yang ditubuhkan di bawah Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit). Jaringan pekerja ini mengetengahkan banyak isu, termasuklah cuti bersalin berbayar selama tiga bulan, perundangan gaji minimum dan tabung pemberhentian kerja. Helen pernah menjadi pengerusi nasional kepada GPKK.

Helen juga ialah setiausaha kepada kesatuan sekerja di sebuah kilang pengeluar cip elektronik di Tasek, Ipoh yang mengupah seramai lebih 1,000 orang pekerja.

Pihak pengurusan kilang ini tidak senang hati dengan Helen dan menggunakan alasan bahawa Helen telah menggunakan mesin fotostat pejabat untuk membuat beberapa salinan bahan GPKK untuk memecatnya.

Helen mengambil kes di Mahkamah Perusahaan dan berjaya menang pampasan sebanyak RM30,000. Namun begitu, itu ialah kemenangan kosong – kerana beliau telah dipecat daripada tenaga kerja kilang tersebut.

READ MORE:  Anti-worker minister should be removed from 'keluarga Malaysia' cabinet

Selepas itu, perkara yang paling terus adalah tiada satu pun daripada beberapa kilang di mana Helen meminta kerja itu bersedia untuk mengupahnya. Nampaknya pengurus personel kilang-kilang itu telah dimaklumkan bahawa Helen ialah seorang “pembuat kacau”. Ini merupakan kesan yang biasanya harus ditanggung oleh pemimpin-pemimpin pekerja!

Helen akhirnya mendapat pekerjaan sebagai pekerja pembersihan di dalam sebuah bank – tetapi dengan penurunan gaji yang ketara berbanding dengan gajinya sebagai penolong penyelia di kilang sebelum ini.

Namun demikian, halangan ini tidak mematahkan semangat Helen dan beliau terus aktif dalam GPKK serta aktiviti-aktiviti PSM yang lain.

Beliau merupakan antara ratusan ahli dan penyokong PSM yang berhimpun bersama apabila enam orang ahli PSM ditahan di bawah Ordinan Darurat pada tahun 2011. Helen dan Muthumani merupakan antara mereka yang memberi sokongan di Pulau Pinang di mana kami ditangkap dan kemudiannya di hadapan ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur. Keberanian aktivis-aktivis inilah yang menyelematkan “EO6” daripada penahanan yang berpanjangan di dalam kem tahanan Kamunting!

Akan tetapi, nampaknya Helen tidak memberi perhatian yang mencukupi terhadap kesihatan dirinya sendiri. Beliau didiagnosis menghidapi penyakit kencing manis beberapa tahun dahulu dan mengambil ubat daripada klinik kesihatan kerajaan.

Malangnya, pengurusan penyakit tidak berjangkit (seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung iskemia) di negara kita tidak mencapai standard yang sepatutnya. Negara kita tidak mengamalkan sistem jagaan kesihatan primer yang menetapkan doktor tertentu kepada setiap orang pesakit dengan penyakit tidak berjangkit supaya doktor itu akan mengetahui sejarah kesihatan yang penuh bagi pesakit yang datang untuk rawatan susulan.

Sistem yang wujud sekarang di mana seorang doktor harus “menghabiskan” pemeriksaan ke atas sekumpulan 50 orang pesakit pada waktu pagi meninggalkan sedikit masa untuk membaca nota mengenai setiap orang pesakit ataupun menawarkan mereka rawatan mengikut keadaan individu masing-masing ataupun memberi kaunseling yang sesuai.

READ MORE:  Mempelajari pengalaman Borneo Komrad

Akibatnya, pesakit-pesakit kencing manis di Malaysia mengalami insiden komplikasi serius yang tinggi, seperti amputasi kaki, kerosakan buah pinggang dan serangan jantung. Malangnya, Helen kebetulan merupakan salah seorang daripada mereka.

Adalah sangat ironis dan memberangkan, walaupun penyertaannya dalam beberapa protes yang diadakan oleh PSM untuk menentang penswastaan perkhidmatan kesihatan di Malaysia, sistem kesihatan awam kita masih mengecewakannya – sebuah sistem yang beliau cuba pertahankan dan perbaiki tanpa berhenti.

Kami berhimpun pada tahun 2004 untuk membantah rancangan membuka farmasi swasta di dalam hospital kerajaan. Kami menganjurkan piket beberapa kali untuk membantah “skim pesakit bayaran penuh” kerana terdapat kebimbangan yang wajar bahawa ia akan mengalihkan perhatian daripada pesakit-pesakit bukan bayaran penuh. Kami mengedar risalah di hospital-hospital kerajaan beberapa kali mengani rancangan kerajaan untuk memperkenalkan cukai kesihatan dan isu-isu yang serupa.

Daripada apa yang dinyatakan di atas, mungkin nampaknya Helen membayar harga peribadi yang besar kerana aktivismenya – tetapi ia tidak sia-sia.

Perundangan gaji minimum telah digubal pada tahun 2012, dan kadarnya telah ditingkatkan daripada RM900 pada tahun 2013 ke RM1,500 pada tahun 2022. Ratusan ribu pekerja telah mendapat manfaat daripadanya.

Skim insurans pekerjaan telah dilaksanakan pada tahun 2018, dan ia telah memberikan sokongan yang amat diperlukan untuk melegakan pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja semasa pandemik Covid.

Skim-skim yang disebutkan ini merupakan antara tuntutan-tuntutan utama yang dibawa oleh GPKK di mana Helen memainkan peranan yang penting dalamnya.

Cuti bersalin berbayar selama 98 hari, yang merupakan satu lagi tuntutan utama GPKK, telah digubal ke dalam undang-undang di Parlimen pada tahun 2021.

Saya percaya bahawa Helen Mary Johnson akan berbangga untuk menyatakan bahawa beliau tidak kesal pada satu pun pengorbanan yang dialaminya. Usahanya telah menghasilkan keadaan yang lebih baik untuk pekerja-pekerja di seluruh Malaysia. Negara kita memerlukan lebih ramai pemimpin pekerja seperti Helen!

Selamat jalan, saudari! Obor perjuanganmu akan terus dibawa oleh mereka yang mendapat inspirasi daripada usaha berterusan untuk menjadikan negara kita lebih baik dan lebih inklusif.



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments