Virus korona: Adakah Malaysia gagal dalam ‘kelaziman baharu’?

0
40 views
Photograph: Geralt/Pixabay

Kita perlukan pasukan krisis kebangsaan bebas yang terdiri daripada pakar dan pemimpin yang murni dengan diberi daya untuk membuat keputusan, tulis JD Lovrenciear.

Amukan rewakan meranah virus korona masih di sini – lebih lama daripada yang kita jangkakan.

Jika diambil makluman yang dikemaskinikan oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat sebagai tanda aras, nampaknya Malaysia sedang gagal untuk mengikuti tatakelakuan ‘kelaziman baharu’.

Ayuh kita tanpa takut melihat kesilapan Malaysia dalam perlawanan menentang rewakan meranah, meski pun kita tak tahu apa ada di masa mendatang.

Pemimpin telah gagal untuk menjadi contoh dan telah silap dalam memberi dorongan kepada rakyat.

Komuniti niaga telah meletakkan keuntungan dan laba wang melebihi kesihatan masyarakat.

Kerajaan, di bawah perdana menteri lantikan langkah politik pintu belakang, sedang gugup, jelasnya lebih ambil berat tentang natijah politik dan ekonomi berbanding memastikan keutamaan kesihatan tidak dikompromi.

Tumpuan negara bukanlah pada virus korona, tapi politik.

Pembuatan keputusan nampak berpecah selerak dalam institusi-institusi barisan hadapan, ketika penyulapan politik diberi keutamaan.

Pemahaman dan penghayatan khalayak umum terhadap garis panduan dan piawai yang perlu diikuti dalam persekitaran kelaziman baharu ini sungguh tidak memuaskan. 

Walhal keperluan asas dan cara betul untuk memakai pelitup muka atau menjaga jarak lingkungan masih tidak menjadi tabiat di semua peringkat masyarakat.

Pendeknya, disiplin bukanlah cara hidup di sini – tidak seperti Jepun, sebagai misalan.

Pendedahan terkini bagaimana orang yang ditahan, di bawa pergi ke lokap atau pusat tahanan, direman dan dihukum kerana ingkar peraturan kelaziman baharu seperti suatu sindiran kesungguhan negara untuk memerangi virus korona. 

Laporan akhbar yang menekankan berapa ramainya pekerja migran di Sabah, rata-rata antara mereka tiada dokumen, telah dinafikan hak asasi sebagai manusia dan sedang dalam risiko kepada virus korona telah memaklumkan kita banyak lagi perihal Malaysia sedang gagal dalam perlawanan menentang rewakan meranah ini.

Ia tidak pula menginsafkan kerajaan pemerintah untuk menuding jari punca letusan Covid-19 terkini di Sabah yang telah tersebar ke semenanjung – ke atas migran.

Persoalan yang kerajaan terlalu segan nak jawab ialah, mengapa memang asalnya ada ramai migran tidak berdokumen?

Penjara kita sekarang ini dilihat sebagai lubuk Covid-19, meski netizen lebih awal mengisyaratkan amaran, ketika gelombang pertama rewakan meranah.

Tambah pula pergolakan politik nusa ini yang belum sudah, dan kita ada keadaan yang mana rewakan meranah, sekali dengan musibah ekonomi, mengancam untuk menenggelamkan negara ini.

Apa yang akan kita lakukan ketika negara ini terperosok ke dalam gelombang ketiga?

Sebuah negara yang sering kali dinyahstabil dek permainan politik, demi hanya untuk merebut dan mengaut daripada kekuasaan dan kawalan tak kira apa pun, tidak boleh mensiap siagakan rakyatnya untuk menentang rewakan meranah ini.

Kita tidak boleh membina dan memperkuatkan suatu budaya kelaziman baharu dalam nusa yang nyaris digawatkan oleh berdekad rasuah yang disorok, mengheret kita hampir dengan keruntuhan mendepani darurat kesihatan seantero dunia. 

Jadinya adakah kita telah tergelincir dalam memerangi virus korona? Atau adakah kita suatu contoh kejayaan untuk dicedok oleh warga dunia? 

Melainkan kita bersiaga untuk menghadapi kenyataan – walau perit mana ia sekali pun – dan pasrah akan harganya yang harus dibayar dan bertindak segera, kita berdepan kebarangkalian cedera parah dalam pertempuran ini yang boleh jadi lebih lanjut daripada jangkaan sesiapa pun.

Kita perlukan pasukan krisis kebangsaan bebas yang terdiri daripada pakar dan pemimpin yang murni dengan diberi daya untuk membuat keputusan. Sama ada sekarang juga atau tak payah langsung.

JD Lovrenciear ialah ahli Aliran, seorang penulis yang menetap di KL, jurulatih dan penasihat yang juga memberi sokongan dari segi masanya kepada usaha untuk membina masyarakat yang progresif

Diterjemahkan oleh Shazni Bhai

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments