Oleh Ammar Syabil Mohammad Azam
Kegiatan ekonomi tradisional orang Melayu dieksploitasi oleh penjajah British untuk mengaut bahan mentah demi kekayaan dan pembangunan negara mereka.
Inilah kolonial kapitalisme, didorong oleh ideologi rasis dan supremasis British iaitu “gospel, gold and glory”.
Orang Melayu didakwa malas berdasarkan ketidakmajuan mereka pada zaman pemerintahan kolonial, sedangkan hakikatnya eksploitasi British yang menyebabkan kemiskinan mereka melalui peluang pekerjaan yang terhad dan gaji yang sangat rendah.
Maka, enggan menghina maruah mereka, orang Melayu tidak menyumbang sepenuh tenaga kerana sedar bahawa kemajuan itu hanya dinikmati oleh penjajah.
Malangnya, memori dan DNA mitos-mitos kolonial ini diteruskan legasinya oleh elit kapitalis Melayu yang tamak. Ia dijelmakan dalam bentuk yang sistemik di negara kita.
Mereka yang melaungkan kekayaan demi orang Melayu dengan bertopengkan “moral” ketuanan Melayu tetapi di sebalik topeng mereka, kekayaan dicuri di segenap masyarakat sama seperti pemerintah penjajah yang merosotkan perjuangan anak bangsa daripada mencapai kemerdekaan sejati.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
“Neofeudalism is a government of the rich, by the rich and for the corporations. – Whitehead
Menurut Syed Husin Ali, neofeudalisme merujuk kepada penghidupan semula amalan feudal dalam bentuk baru.
Ciri-ciri kolonial penjajah British diteruskan oleh parti pemerintah dominan iaitu Umno melalui politik naung-penaung yang memusatkan kekayaan kepada elit politik.
Dalam konteks ini, sistem neo-feudal menyerupai feudalisme Eropah Zaman Pertengahan, di mana vassal diberi ganjaran oleh lord untuk memastikan kesetiaan mereka.
Politik naung-penaung Umno sudah lama berakar daripada idea-idea belia Umno tentang orang Melayu sebagaimana terkandung dalam penulisan Revolusi Mental. Buku ini menyeru orang-orang Melayu untuk menyingkirkan sifat “malas” dan lebih bersikap kreatif, walhal konsep Melayu malas ini adalah mitos ciptaan penjajah Inggeris demi menjustifikasikan eksploitasi kapitalisme kolonial.
Syed Hussein Al Attas juga melalui analisisnya akan penulisan Revolusi Mental, mendapati Umno telah meletakkan akar idea kolonial kapitalisme sebagai lensa ukuran dalam memajukan orang Melayu. Pada mereka, orang Melayu harus dididik meneladani individu-individu seperti Rockefeller dan Rothschild iaitu sosok-sosok kapitalis.
Justeru itu, tidak hairan apabila kita melihat Umno sudah lama terpesong pasca kemerdekaan yang menekankan perkara-perkara yang bersifat kebendaan.
Ahli-ahli politik melihat parti Umno sebagai wadah bisnes untuk mereka mengumpul kekayaan demi kepentingan peribadi, bertentangan dengan asal-usul perjuangan Umno, iaitu untuk mengangkat kehidupan orang Melayu yang miskin. Mereka akui sebagai pelindung Melayu untuk dijadikan premis menjustifikasikan secara halus gaya pimpinan neo-feudal mereka yang berjalurkan kapitalisme yang buas.
Perkara ini sinonim dengan lanskap politik Umno pada masa kini yang melibatkan eksploitasi jentera kerajaan dan pelantikan politik ke agensi-agensi kerajaan.
Di peringkat akar umbi, ahli parti Umno yang berpengaruh akan diberikan jawatan yang penting di kawasan desa dan kampung agar dapat mengawal masyarakat setempat dek kerana psikologi feudal yang masih lagi hidup oleh masyarakat luar bandar yang sifatnya menghormati individu yang berkedudukan.
Misalnya, jawatan ketua kampung, pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung, dan pengerusi Felda dan Felcra.
Menurut Azizuddin (2015), elit politik biasanya akan menggunakan pengaruh kerajaan untuk membentuk “clientalist system of patronage and influence”. – Mazli Bidu dan Dr Jamaie Hamil, Neofeudal UMNO, Politik dan Pembangunan Luar Bandar
Tidak boleh kita lupakan juga jalur pemikiran ‘Che Det’ (Dr Mahathir Mohamad) yang cukup merendahkan martabat orang Melayu atas dasar dakwaan bahawa orang Melayu malas disebabkan lembah tropika yang subur, justeru orang Melayu tidak merasai erti perit kesusahan dalam mencari makanan.
Perkara ini sama sekali merendahkan kesengsaraan yang dihadapi oleh orang Melayu yang dijajah Inggeris, malah menguatkan lagi jalur pemikiran kolonial kapitalisme lensa Revolusi Mental bahawa orang Melayu perlu dimajukan atas kekhilafan yang dibentuk oleh persekitaran mereka kononnya.
Beliau mendasari idea ini dengan lunas-lunas teori evolusi Darwin yang bersifat rasis dan tidak menghiraukan faktor sosio-sejarah feudal dan kolonialisme yang merosotkan kesejahteraan dan maruah orang Melayu.
Mahathir menghuraikan kemunduran ekonomi orang-orang Melayu bukan berdasarkan faktor sosio-sejarah tetapi mengikut lunas-lunas teori evolusi, prinsip pemilihan semula jadi dan imej penjajah yang mendakwa pribumi malas. – Shaharuddin Maaruf, Idea-idea Melayu tentang Pembangunan
Jalur pemikiran ini dicerminkan pada dasar-dasar yang ditentukan Mahathir yang bersifat neoliberal, seperti dasar penswastaan dan dasar “Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC)”.
Dasar-dasar inilah yang telah secara tidak sama rata menyuburkan perniagaan-perniagaan besar yang dimiliki kroni-kroni bumiputera manakala bisnes yang bertempat di kawasan pendalaman kurang dititikberatkan.
Hal ini semestinya meningkatkan jurang kekayaan antara yang kaya dan miskin. Di sini sudah wujud suatu bentuk ekonomi feudal yang bersifat moden yang menguntungkan syarikat dan kerajaan, namun kurang tertumpu kepada pembangunan ekonomi orang-orang Melayu rentan sebagaimana yang diungkapkan oleh Whitehead.
The present privatization programme seemingly a break from the NEP- is actually its extension within the logic of capital accumulation, wealth concentration and consolidation of this class. It is still part of the NEP’s restructuring exercise to transfer some of the state’s companies to Malay capitalists who are regarded as “having arrived” in order to expand and consolidate the BCIC. This is not a “return to a long established path,” but a prelude to greater expansion of Malay capitalism and the growth of the capitalist segment of Mahathir’s “Melayu Baru”. – Abdul Rahman Embong, Social Transformation, the State and the Middle Class
Psikologi feudal dan gaya politik Umno
Apabila kita membicarakan tentang perekonomian Melayu, adalah naif untuk tidak menelusuri sejarah pembentukan psikologi orang Melayu yang menentukan dinamika politik mereka.
Perkara yang perlu difahami bahawa akar pembentukan psikologi orang Melayu adalah berasaskan nilai dan jiwa feudal yang penuh dengan serakah nafsu kelas pemerintah. Psikologi feudal ini seringkali menyorot kepada kelas pemerintah berperilaku egotistik, sarat dengan dendam kesumat dan kecenderungan untuk menakluk.
Di golongan bawahan pula mempamerkan sikap mengabdikan kepada ketamakan kelas pemerintah dengan ketara dan rela.
Dinamika sosial ini diterangkan dengan tuntas oleh Shaharuddin Maaruf dalam petikan buku Idea-idea Melayu tentang Pembangunan:
Kebudayaan dan etika akan bercorak amat autoriter, mempamerkan dengan ketara sifat-sifat perwatakan sadis dan masokisme. Kita mendapati kelemahan mengendali diri dalam kalangan golongan pemerintah, sementara dalam kalangan orang bawahan meluas pula sifat-sifat tunduk dan abdi.
Psikologi feudal kelas pemerintah ditunjukkan melalui sikap yang cukup melampau seperti merampas isteri orang, membunuh atas dasar paranoia, dan sikap mudah berdendam atas kesalahfahaman berkaitan suatu isu picisan.
Golongan bawahan pula menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi. Sebagai contoh, kisah Sidi Ali yang tidak sanggup berpisah daripada rajanya, Sultan Mansor, di penjara. Maka, Sidi Ali memohon untuk dipancung kepalanya oleh Sultan Tahir yang menitahkan pemenjaraan mereka. Ini adalah ciri feudal yang amat jelas pada Abad ke-16 dan sedikit sebanyak masih meninggalkan kesan dalam kalangan masyarakat Melayu luar bandar.
Kesannya itu dapat diperhatikan melalui pemikiran tidak kritis masyarakat Melayu luar bandar terhadap gaya kepimpinan neo-feodal Umno. Mereka cenderung menyerahkan isu-isu kompleks, seperti perundangan dan dasar negara, sepenuhnya kepada wakil rakyat UMNO tanpa mempersoalkannya.
Sikap ini mengukuhkan kebergantungan mereka kepada pemimpin yang berstatus lebih tinggi dalam hierarki politik Umno.
Akibatnya, masyarakat luar bandar tidak terdorong untuk berusaha memanjat tangga sosial atau meningkatkan taraf hidup mereka.
Kesedaran kelas (class consciousness) yang tajam, yang sepatutnya menjadi pemangkin kepada perubahan sosial, masih belum berjaya meresap ke dalam pemikiran majoriti masyarakat Melayu luar bandar dan terus dihindari oleh hierarki neo-feudal Umno.
Maka, timbullah persoalan kesinambungan tentang budaya neo-feudal kepimpinan Umno.
Adakah akan ada kemungkinan untuk Umno beralih kepada politik yang memandirikan rakyat?
Sejauh mana budaya neo-feudal ini akan bertahan, dan bagaimana hubungan naung-penaung antara orang Melayu desa dan Umno dapat diputuskan?
Apakah ada kewajaran untuk menetapkan suatu pengaturan sosial yang komprehensif terhadap budaya neo-feudal ini?
Persoalan-persoalan ini penting diajukan kerana pembinaan negara bermula dari akar umbi, di mana dinamika sosial dan budaya akan menentukan hala tuju dasar demi kesejahteraan rakyat.
Ketidaksamarataan dan ketidakadilan ekonomi serta sosial berkembang daripada hubungan neo-feudal ini, di mana sekelompok kapitalis Melayu terus mengumpul kekayaan untuk kepentingan peribadi, meluaskan jurang antara miskin dan kaya.
Inilah persoalan yang harus direnungkan oleh ahli pemikir Madani untuk membentuk sebuah negara yang didukung masyarakat lebih mandiri dan kritis demi kemajuan bersama.
Ammar Syabil Mohammad Azam ialah ketua biro pelajar sayap pemuda PKR Negeri Sembilan dan bekas timbalan speaker kesatuan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, di mana beliau menamatkan pengajian dalam sarjana muda psikologi.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme