Tuntutan Sulu: Kelegaan penduduk Sabah atas keputusan mahkamah Belanda

Rakyat Sabah telah lama menunggu berita ini

WIKIPEDIA

Oleh Rashid Ating

Saya merupakan generasi keenam penduduk Sabah, dari Lahad Datu, dan telah bermastautin di Kuala Lumpur sejak 2016.

Keputusan mahkamah Belanda, berpusat di The Hague, pada 28 Jun 2023 merupakan satu khabar gembira bukan sahaja kepada kerajaan Malaysia tetapi juga buat penduduk Sabah seperti saya.

Mahkamah memutuskan untuk menolak rayuan lapan individu yang mendakwa mempunyai salasilah keturunan dengan kesultanan Sulu, dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan pemberian timbang tara bernilai $15bn (RM70bn) yang mereka tuntut daripada kerajaan Malaysia.

Sebagai rakyat Sabah, kami telah lama menunggu berita ini. Inilah kegembiraan yang kami nanti-nantikan selama ini.

Selama hampir enam puluh tahun, isu ini hangat diperdebatkan sejak penubuhan Malaysia pada tahun 1963 lagi, selepas Sabah memutuskan untuk menyertai Persekutuan Tanah Melayu.

Keputusan mahkamah yang memihak kepada kerajaan Malaysia membatalkan anugerah akhir $15bn yang dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa kepada lapan individu yang mendakwa sebagai pewaris kesultanan Sulu.

Sabah adalah sebuah negeri yang mempunyai kedaulatan tersendiri, dan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague menolak kes Sulu menunjukkan dakwaan waris kesultanan Sulu tersebut tidak berasas sama sekali.

Walaubagaimanapun, perkara ini masih jauh dari selesai, kerana waris kesultanan Sulu kemungkinan besar akan merayu kepada Mahkamah Agung Belanda untuk mengekalkannya tuntutan mereka.

Tetapi buat masa ini, keputusan Mahkamah Rayuan The Hague mengisyaratkan dua perkara.

Pertama, ia merupakan satu kemenangan kepada kerajaan Malaysia terhadap kesultanan Sulu yang disokong dan dibiayai oleh syarikat litigasi global Therium Capital Management Ltd.

Kedua, kisah yang tidak pernah berakhir di antara kesultanan Sulu dan kerajaan Malaysia hampir sampai ke penamatnya.

READ MORE:  The 'Double Six Tragedy' report

Nenek moyang saya berasal dari Ubian Selatan di Pulau Tawi-Tawi, Filipina. Mereka berhijrah ke Sabah sejak dahulu lagi. Kami berasal dari suku Bajau, iaitu Bajau Ubian.

Disebabkan dekatnya jarak Filipina ke Sabah (satu jam dengan menggunakan bot laju biasa) agak mudah bagi penduduk dari kepulauan selatan Filipina, di mana keadaan sosioekonomi yang miskin, untuk berhijrah ke Sabah dalam usaha mencari kehidupan yang lebih baik.

Nenek moyang dan keluarga saya telah tinggal di Lahad Datu selama bertahun-tahun, dan kami telah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan selesa dengannya.

Saya dibesarkan bukan dari keluarga yang berada. Kedua ibu bapa saya buta huruf. Mereka dan adik-beradik saya tidak tahu apa yang saya lakukan di Kuala Lumpur. Dalam kalangan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan, saya agak sedikit bernasib baik kerana mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah tinggi.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kesultanan Sulu dan kerajaan Filipina kelihatan agak agresif dalam menangani isu ini.

Apabila kami mendengar bahawa kesultanan Sulu telah memfailkan tuntutan ke atas Sabah, kami benar-benar menentangnya.

Ramai rakyat Sabah bimbang dengan tuntutan ini. Kami telah menjadi sebahagian daripada Malaysia sejak tahun 1963. Kami membesar di sini, malahan nenek moyang kami dikebumikan di sini. Kami adalah warganegara yang sah dan mempunyai kad pengenalan. Ini ialah tanah air kami.

Kebimbangan kami semakin bertambah selepas kejadian pencerobohan Tanduo pada tahun 2013. Kami merasakan keselamatan kami terancam, kerana serangan seperti ini adalah kali pertama berlaku dalam sejarah Sabah, dan tidak mustahil akan berlaku lagi pada masa yang akan datang.

Ketika itu, penceroboh yang menggelar diri mereka sebagai “Pasukan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara” mendaratkan bot mereka di pantai Kampung Tanduo. Selepas itu, mereka terlibat dalam kejadian tembak-menembak dengan pasukan keselamatan Malaysia, yang telah mengepung kampung tersebut. Kejadian lain turut berlaku di kawasan lain di Sabah.

READ MORE:  Ensure Sabah and Sarawak labour ordinances are tabled in October

Peristiwa pencerobohan dan pertumpahan darah yang berlaku meninggalkan kesan yang mendalam kepada warga Sabah. Sebanyak 10 orang anggota keselamatan Malaysia – wira negara – dan 68 orang penceroboh Sulu terbunuh. Ini merupakan satu pengalaman yang menakutkan bagi semua orang pada masa itu dan mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk di Lahad Datu.

Isu ini dilihat berbeza oleh penduduk di kedua-dua negara berdasarkan jarak mereka dengan Sabah.

Bagi mereka yang tinggal di kawasan tengah Filipina, seperti Manila, tuntutan Sulu tidak menjejaskan mereka secara langsung. Sebaliknya, mereka yang tinggal lebih hampir dengan Sabah mungkin merasakan Sabah adalah milik mereka kerana mereka percaya utara Borneo Utara (Sabah) diberikan sebagai ‘hadiah’ oleh kesultanan Brunei kepada kesultanan Sulu.

Di Malaysia, kita menghadapi situasi yang serupa. Mereka yang tinggal di bandar-bandar besar tidak memberi tumpuan terhadap tuntutan kesultanan Sulu berbanding dengan penduduk Sabah yang tinggal di Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan lain. 

Selain daripada itu, di Filipina, sesetengah ahli politik membangkitkan isu ini sebagai cara untuk mereka untuk meraih sokongan pengundi tempatan

Buat masa ini, kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa tindakan tegas di tribunal dan mahkamah antarabangsa.

Tetapi kenapa hanya selepas tuntutan diberikan? Kenapa tidak sebelum ini? Lagipun, tuntutan Filipina ke atas Sabah bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah berpanjangan selama enam dekad.

Diharapkan, kerajaan Malaysia akan terus berusaha untuk menoktahkan isu tuntutan yang tidak berasas ini.

Benar, ramai rakyat Sabah sedar akan usaha kerajaan terhadap isu ini, dan kami amat menghargainya.

Hanya sedikit permintaan daripada rakyat Sabah, tamatkan isu perebutan wilayah antara kerajaan Malaysia dan kesultanan Sulu ini agar segala ketidakpastian ini dapat dihilangkan dari hidup kehidupan kami.

READ MORE:  Sulu claim: A Sabahan's relief at the Dutch court's verdict

Itu sudah lebih daripada cukup untuk kami meneruskan kehidupan seperti biasa. 

Versi Bahasa Inggeris artikel ini telah diterbitkan di laman sesawang Aliran bertajuk “Sulu claim: A Sabahan’s relief at the Dutch court’s verdict“.

Rashid Ating merupakan penyelidik di Institut Pengajian Termaju (IAS) di Universiti Malaya. Minat penyelidikan beliau adalah penuaan dan persaraan, celik kewangan, sistem pendidikan Malaysia dengan tumpuan kepada Sabah, pelancongan dan visualisasi data.

Beliau menulis karya ini semasa menghadiri bengkel “Writing for Change” yang dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Badan Perhubungan Antarabangsa Masyarakat Universiti dan Aliran

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments