Tiang ada, api tak ada

0
167 views
Foto: Shazni Bhai

Siapa yang rumah dia tak ada api lagi? Nak api? Tunggu mengundi. Shazni Bhai menulis.

Kalau ada asap tentu ada api.

Kelap-kelip kusangka api
Kalau api mana asapnya?
Hilang ghaib disangkakan mati
Kalau mati mana kuburnya?

Musim macam sekarang ini bukan masa yang sesuai untuk bergerak masuk ke pedalaman, ke kawasan perkampungan yang dikelilingi hutan. Risiko tinggi, nak pula kalau salah langkah dalam mengatur logistik.

Kami dapat panggilan dari rakan dari Gua Musang, minta bantuan seunit generator untuk jana kuasa elektrik di kampung. Melalui rakan aktivis lain, dapat cari dana dari satu yayasan untuk belikan set generator itu. Cuma tinggal tugas untuk kami hantar saja.

Dalam perjalanan selama dua jam masuk ke dalam, soalan yang sama ditanya oleh rakan yang sukarela membantu misi itu: “Kau kata tak ada api dalam kampung tu. Tapi ni aku tengok ada ja tiang TNB bersusun tepi jalan.”

Macam itu juga kalau bawa rakan masuk ke kampung-kampung pedalaman lain.

Pernah sekali diberi tugas menyelia seorang penuntut universiti yang sedang menjalani latihan industri.

“Hang ada lesen kereta?”

“Ada, ‘bang.”

“Boleh bawa kereta?”

“Boleh, ‘bang.”

“Manual?”

“Manual pun boleh, ‘bang.”

“OK. Malam ini lepas maghrib, ikut aku. Bawa kereta. Kita masuk mengajar tuisyen di Perlop 1.”

“OK, ‘bang.”

“Jangan panggil aku abang.”

Petang itu hujan. Masuk waktu maghrib hujan pun berhenti. Jalan basah, tanah menggelap lebih cepat dari waktu. Tanah kampung getah dan sawit memang suram sikit walaupun baru jam tujuh.

Jam lapan kami berdua dah ada atas jalan, dalam Ford Laser kelabu. Budak universiti itu pandu dengan stereng di dada, kepala menjenguk ke depan, langsung tak bersandar sepanjang masa.

READ MORE:  Right of Orang Asli community to live with dignity

Sudah 20 minit bergerak pada kelajuan 4km sejam, air muka dia tak lain dari hairan. Macam rusa masuk kampung.

“Kenapa?”

“Huish.”

“Apa yang huish? Apa jadi?”

“Saya tak sangka.”

“Tak sangka apanya?”

“Dalam Malaysia ada lagi tempat macam ini.”

“Hang asal dari mana? Tak pernah masuk kampung?”

“KL. Pernah juga. Tapi tak sangka ada tempat macam ni. Tak ada lampu jalan, tak ada talian telefon. Gelap.”

Masa tempoh berkempen pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini, rasa geli hati melayan susur masa media sosial. Nampak beberapa kenalan dari Pakatan Harapan yang beria-ia mengambil gambar keadaan pedalaman di sana dan mengirim ke dinding masing-masing. Jalan berlumpur merah, teruk, tiada kemudahan, dan serba serbi rungutan.

Bukan geli hati sebab apa pun. Sedangkan di kawasan masing-masing di Semenanjung ini pun ada saja kampung pedalaman terutamanya perkampungan Orang Asli. Tapi bila masuk ke sana dan tanya dengan orang kampung, kelibat ahli parti politik mana yang ada masuk ke kampung, pastinya Barisan Nasional menyaingi PH. Muka pun belum tentu nak nampak di kampung.

Bila rakyat Sabah tak pilih sekutu PH. Mulut pakat tak ada insuran semua. Sedap saja kata orang tak bertamadun, nak kutuk, nak menganjing.

Macam juga masa baru naik jadi kerajaan lebih kurang 22 bulan dulu. Terserempak dengan rakan dari parti komponen PH. Diperkenalkan rakan seangkatan dengannya.

Habis dah galak bercerita isu dan gerak kerja di kampung, satu sahaja dia kata: “Tapi Orang Asli masih lagi undi Umno BN.”

Sedapnya. Langsung tak muhasabah diri.

Bukan sekali. Pernah hinggap di telinga ini berita bila dirisik apa pandangan seorang ahli dewan undangan negeri dari parti DAP perihal isu balak “Alah, yang bantah itu sikit saja orangnya. Kelompok kecil.”

READ MORE:  Mengundi, tak mengundi atau tiada pilihan yang berbaloi?

Pada hal muka dia pun tak pernah nak nampak di kawasan kampung melainkan sekali sahaja, itu pun mengiringi perbadanan pertanian, suatu syarikat berkaitan kerajaan (GLC), melawat tapak projek.

Dalam politik ala Malaysia, budi bahasa besar harganya.

Foto: Shazni Bhai

Seunit jentera penjana tenaga selamat disampaikan kepada kawan-kawan di Kampung Kaloi. Penduduk di perkampungan itu mengambil keputusan untuk pindah dari kawasan sebelum ini masuk ke kawasan lebih dalam. Biar susah sikit, biar tak ada kemudahan, tapi hidup mesti terus. Meski dihimpit penerokaan tanah oleh syarikat besar yang datang dengan perisai alasan kemajuan.

Siapa yang rumah dia tak ada api lagi? Nak api? Tunggu mengundi. Tapi kalau dah boleh baca ini dari rumah, makanya rumah dah cukup maju. Tak perlu api.

Kalau kampung semua dah ada api, cukup serba serbi, nak buat apa lagi mengundi?

Shazni Bhai ialah seorang aktivis alam sekitar

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments