Fama dan pertanian perkauman?

0

Rakyat Malaysia sudah tentunya mengharapkan Fama tidak akan menjadi satu-satu agensi pemerintah yang cuba, secara langsung atau tidak langsung, menanam benih perkauman di Malaysia, ujar Mustafa K Anuar.

Motosikal-FAMA

Baru-baru ini ada laporan akhbar online (Malaysiakini) yang mengatakan bahawa seorang wartawan bukan Melayu dari akhbar arus perdana, New Straits Times, telah dihalang daripada menghadiri – dan melapor – satu program yang dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Pulau Pinang.

Majlis ini adalah bertujuan untuk mendedahkan seramai 300 petani-pengusaha Melayu-Muslim kepada perancangan Fama untuk mensasar pasaran tanian dalam tahun 2014.

Semua pemberita Melayu yang berada di majlis tersebut dibenarkan masuk, kecuali pemberita berkenaan.

Apabila ditanya kenapa dikenakan halangan ini, pengarah hal ehwal korporat Fama peringkat negeri, Habibah Sulaiman, berkata pemberita itu tidak dihalang atau dihalau keluar. Beliau meminta maaf jika pemberita berkenaan salah faham ke atas tindakan pihak Fama itu.

Cuma, katanya lagi, pemberita itu diberitahu bahawa program itu melibatkan sesi motivasi untuk menaikkan semangat pengusaha dalam majlis itu. Dan sesi itu juga menyentuh hal Islam dan ekonomi untuk bumiputera.

Tambahnya lagi, pihak Fama tidak mahu pemberita itu mempunyai persepsi negatif setelah melalui sesi tersebut. Lagipun, katanya, pemahaman tentang isu tertentu boleh berbeza untuk komuniti yang berbeza dan mereka (pihak Fama) tidak mahu menimbulkan salah faham.

Insiden ini mempunyai beberapa implikasi yang membimbangkan.

Pertama, secara prinsipnya, halangan yang dihadapi oleh mana-mana pemberita daripada menjalankan tugasnya adalah sekatan terhadap kebebasan wartawan dan media untuk melaporkan satu-satu insiden atau isu.

Kedua, halangan yang berdasarkan sebab yang diberikan tadi adalah sebenarnya mempertikai dan menghina keupayaan intelek dan profesionalisme wartawan berkenaan dalam tugasnya melaporkan program Fama tersebut. Kita percaya bahawa jika ada sesuatu yang tidak difahami, wartawan itu sudah tentunya akan seterusnya meminta penjelasan lanjut dari pihak Fama bagi mengelakkan salah faham. Kalaupun ada hal Islam disentuh dalam program pertanian ini, sepatutnya menjadi tanggungjawab utama pihak berkenaan memberi penjelasan secukup mungkin kepada semua orang, terutama sekali mereka yang bukan beragama Islam.

READ MORE:  Slander at nation’s peril

Lagipun, pihak Fama jangan cepat mengandaikan semua wartawan hanya bergantung kepada brosur yang berkilat kulitnya atau teks ucapan semata-mata apabila mereka membuat pemberitaan. Masih lagi ada pemberita yang mahu menimbulkan soalan-soalan yang mendalam yang perlu dijawab oleh pihak yang berkenaan dalam satu-satu majlis rasmi seperti program Fama itu.

Ketiga, dalam konteks masyarakat yang masakini lazim menghadapi cabaran yang bercorak perkauman, tindakan menghalang pemberita berdasarkan kaumnya (dan mungkin juga agama) tidaklah begitu bijak kerana ia mengundang syak wasangka bahawa ada sesuatu yang tak kena pada majlis berkenaan. Dalam hal ini, ketelusan amat penting.

Keempat, sejak bila hal pertanian telah disempitkan menjadi isu agama dan kaum? Apakah agama Islam menghadkan pertanian kepada orang Islam dan Melayu saja dalam masyarakat yang berbilang kaum seperti Malaysia ini? Adakah kaedah pertanian yang bercorak Islamiah (jika ada) yang mana orang bukan Islam tidak boleh memahaminya? Lagipun, Fama adalah satu agensi pemerintah dan kerana itu harus peka kepada kehendak dan keperluan semua warganegara di Malaysia.

Rakyat Malaysia sudah tentunya mengharapkan Fama tidak akan menjadi satu-satu agensi pemerintah yang cuba, secara langsung atau tidak langsung, menanam benih perkauman di Malaysia. Lagipun, hasil pertanian merupakan keperluan semua orang tak kira kaum, agama, budaya atau darjat.

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments