Silapkah kalau orang-orang Inggeris menganggap diri mereka Tuhan?

Photo: Carol Yong

Bukannya kuasa syurga tetapi golongan politik berkuasa, pengikut mereka dan hartawan perniagaan yang lazimnya memonopoli ladang kelapa sawit besar-besaran, ujar Carol Yong.

Kelapa sawit (elaeis guineensis) dibawa masuk ke Malaya oleh pihak British untuk pembangunan ladang dengan tanaman tersebut.

Bahkan ladang besar kelapa sawit yang pertama dibuka pada tahun 1917 di Kuala Selangor adalah kepunyaan pemilik tanah berbangsa Inggeris.

Menteri terkini yang bertanggung jawab untuk hal ehwal perladangan dan komoditi menegaskan bahawa “Sawit adalah anugerah Tuhan” bagi kita. Maka, salahkah kalau orang-orang Inggeris menganggap diri mereka Tuhan pula?

Hakikatnya, selepas pemerintahan penjajah Inggeris tamat, Semenanjung Malaysia mula mengembangkan sektor perladangan dengan pesat, terutamanya untuk pengeluaran kelapa sawit secara komersial. Ini diikuti dengan Sabah dan kemudiannya Sarawak.

Contoh yang paling menonjol sekali ialah “konsep baru” pembangunan tanah yang dilancarkan pada tahun 1996 oleh Taib Mahmud, bekas Ketua Menteri Sarawak.

Tanah adat Orang Asal (tanah NCR) Sarawak secara terang-terangan telah menjadi sasaran (hingga hari ini) untuk mewujudkan skim ladang kelapa sawit besar-besaran.

Pemilik tanah NCR dianggap tidak mampu mengerjakan tanah mereka secara produktif. Maka mereka ‘didorong’ menyerahkan tanah mereka kepada pihak kerajaan dan syarikat-syarikat swasta dengan kepentingan sendiri, yang sebagaimana kita tahu berkaitan rapat dengan seorang ketua menteri yang telah memerintah begitu lama di negeri itu.

Terdapat beratusan kes-kes membabitkan pertikaian tanah difailkan di mahkamah negeri Sarawak. Data mengenai Sarawak NCR Land Dispute Cases Involving Logging and Other Issues bagi April 1995-Januari 2010 yang dikumpulkan oleh NGO-NGO, berdasarkan rekod daripada firma guaman, telah mengenalpasti kira-kira 70 kes skim kelapa sawit di atas tanah adat yang dijalankan oleh syarikat-syarikat dimiliki oleh tokoh-tokoh utama dalam kerajaan negeri dan pihak swasta.

READ MORE:  ITTO supports community forest conservation initiative in Sarawak

Ini cuma sebahagian daripada lebih 200 kes yang sedang menunggu pembicaraan. Kes-kes ini bersangkut-paut dengan pertikaian atas hak tanah antara pemilik tanah NCR dengan kerajaan negeri dan kuasa korporat yang menguasai perusahaan pembalakan, perladangan dan sebagainya di Sarawak. Jumlah kes hari ini barangkali sudah bertambah berlipat kali ganda.

Aktiviti pembangunan perladangan kelapa sawit di Semenanjung Malaysia dan negeri Sabah tidak jauh berbeza. Lazimnya, golongan politik berkuasa, pengikut-pengikut mereka dan hartawan-hartawan perniagaan yang mengaut keuntungan paling banyak. Manakala tuan punya asal tanah mengalami kerugian paling teruk disebabkan hak tanah (NCR dan tanah pusaka) mereka kini semakin terhakis.

Yang paling ketara adalah pengembangan kawasan-kawasan perladangan untuk industri sawit yang telah mencetuskan konflik dan pertikaian berkenaan tanah antara syarikat-syarikat pembangunan perladangan (pihak kerajaan dan swasta) dan masyarakat Orang Asal baik di Semenanjung mahupun di Sarawak dan Sabah. Ini menjejaskan tanah pekebun kecil yang ramai daripada mereka adalah petani perempuan.

Kerajaan persekutuan dan negeri sudah lama – dan masih berterusan – bersikap agresif dalam menangkis kritikan dan tuduhan tentang industri sawit Malaysia sebagai penyebab kerosakan dan degradasi hutan, kehilangan biodiversiti (kepelbagaian biologi), pencemaran air dan udara dan, yang paling kritis, pencabulan hak asasi rakyat, terutamanya masyarakat Orang Asal yang berjuang untuk mempertahankan hak tanah mereka.

Pada masa yang sama, petani saradiri dan pekebun kecil sering dikutuk oleh kerajaan kerana tidak menyedari potensi mencari keuntungan daripada tanah dengan pengusahaan ladang kelapa sawit skel besar. Mengikut logik pembangunan tanah kerajaan, petani dengan kepelbagaian tanaman sara diri tidak dapat memperbaiki taraf kehidupan mereka.

Ingat kejadian kebakaran dan asap jerebu pada Julai-Oktober 2015 di rantau Asia Tenggara di mana udara di Indonesia, Malaysia dan Singapura diselubungi jerebu dan mengancam kehidupan dan kesihatan berjuta-juta rakyat di negara-negara tersebut.

READ MORE:  SPR, bilakah undi tidak hadir akan sedia untuk orang ramai? (Malay/English)

Kerajaan Indonesia menyalahkan kedua-dua syarikat besar dan petani kecil kerana membakar tanah gambut dan mewujudkan asap yang pedih dan padat.

Sebaliknya, kerajaan Malaysia sewenang-wenang menyalahkan petani dan pekebun kecil bebas yang menguruskan kebun keluarga dengan pertanian tebas-bakar dan tanaman kelapa sawit. Apakah ini cara kerajaan untuk mengalihkan publisiti buruk daripada ladang besar?

Skripnya berubah apabila tiba musim pilihan raya, baik peringkat persekutuan atau negeri. Pemantau yang teliti akan melihat pihak parti pemerintah, ahli-alhi politik dan sekutu dengan tokoh-tokoh terpenting dalam kerajaan berturut-turut sangat rela menjadi jurucakap bagi pihak pekebun kecil, terutamanya pekebun kecil yang menanam kelapa sawit. Mereka tidak segan-segan berjanji manis mendukung golongan pekebun kecil dan juga merangsang pekebun kecil bebas untuk mengerjakan tanah dengan pelbagai tanaman sara diri bercampur dengan tanaman jualan untuk hasil pendapatan.

Pertunjukan ‘kerajaan yang prihatin’ sangat penting di kawasan separuh desa dan pedalaman untuk memberi kesan kepada penduduk kampung. Lebih-lebih lagi golongan petani dan pekebun kecil yang ramai, tetapi sejak sekian lama kewujudan mereka tidak signifikan dan ternyata dipinggirkan.

Lagipun, bukankah pilihan raya yang menjulang juga merupakan waktu kemuncak untuk memancing undi?

Carol Yong adalah seorang aktivis dan penulis bebas

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.