Pilihan raya 2022: Momen kritis dalam demokrasi Malaysia – Apakah pilihan terbaik?

Marilah kita berikan undi kita kepada gagasan politik yang jelas mempunyai perancangan untuk masa depan negara

ANIL NETTO

Oleh Nagathisen Katahenggam

Politik Malaysia dikatakan kucar-kacir, tidak stabil dan tidak menentu sehinggalah perdana menteri terpaksa diubah tiga kali dalam tempoh lima tahun.

Parlimen pula telahpun dibubarkan dan tempoh kempen juga telah bermula. Berbanding dengan dahulu, sukar untuk kita jangka siapa akan menang.

Namun, adakah betul kestabilan politik negara kita ini tergugat? Kenapa tidak kita lihat apa yang berlaku ini sebagai satu proses pematangan dalam lanskap politik negara?

Zaman parti dominan tidak lagi wujud di Malaysia selepas perubahan drastik yang berlaku pada tahun 2008 dan 2018. Parti Barisan Nasional tidak boleh lagi membentuk pandangan rakyat melalui penguasaan keatas media massa atau institusi kerajaan.

Hilangnya dominasi parti pemerintah keatas institusi media dan birokrasi jelas apabila mantan Perdana Menteri Najib Razak telahpun dijatuhi hukuman oleh mahkamah atas skandal 1MDB. Ini termasuklah kes-kes lain yang masih didengari di mahkamah.

Begitu juga dengan ruang yang diberikan kepada ahli-ahli politik dari parti pembangkang. Jika sebelum ini mereka tidak dibenarkan untuk melawat sekolah, sekarang ini ahli parlimen mana-mana parti boleh memasuki premis sekolah untuk tujuan rasmi tanpa halangan.

Bagi media arus perdana, perbezaan politik tidak menghalang stesen televisyen untuk mendengar pandangan dari parti pembangkang.

Tidak dinafikan, pembentukan kerajaan baru selepas insiden Sheraton Move adalah satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang mahukan perubahan pada pilihan raya umum 2018. Rakyat kecewa kerana impian untuk merubah kepemimpinan politik Malaysia gagal akibat kepentingan peribadi beberapa ahli politik.

Namun begitu, ada juga hikmahnya untuk rakyat. Kita sedar bahawa janji-janji manis yang dilontarkan untuk mendapat hati rakyat sebenarnya sukar untuk direalisasikan. Pakatan Harapan ketika kempen pilihan raya menjanjikan penghapusan hutang pinjaman pendidikan tinggi PTPTN, pemansuhan tol lebuhraya dan banyak lagi.

READ MORE:  Coalition government should be formed via party-to-party negotiation, not collection of statutory declarations

Tetapi, janji-janji tersebut tidak pragmatik dilaksanakan secara serta-merta. Jadi, wujud peluang untuk rakyat faham akan limitasi janji-janji pilihan raya dan jangkaan pada perubahan yang dapat dilihat. Ubah itu suatu proses yang perlahan, bukannya perubahan dalam sehari.

Konflik politik, ketidakstabilan kerajaan dan pakatan antara parti-parti politik yang rapuh selepas Sheraton Move dikatakan menjejaskan iklim ekonomi negara.

Tetapi, Malaysia mencatatkan kadar pemulihan ekonomi dari kesan pandemik yang agak tinggi berbanding dengan negara serantau. Pelabur luar masih membuka perniagaan di sini. Negara juga kekal aman sepanjang tempoh peralihan selepas Sheraton Move. Institusi kerajaan, syarikat swasta, kilang dan sebagainya kekal beroperasi dan tidak berlaku rusuhan seperti yang digembar-gemburkan.

Situasi ini mirip dengan demokrasi matang yang lain. Australia telah menukar lima perdana menteri sejak tahun 2010, manakala konflik kepemimpinan Parti Conservative di UK menyaksikan perubahan empat perdana menteri sejak 2016. Birokrasi, media dan semua sektor beroperasi seperti biasa.

Jadi, apa yang patutnya kita harapkan untuk pilihan raya umum pada kali ini? Adakah kestabilan politik semata-mata akan mendorong kita untuk mengundi? Atau kita perlu lihat kepada janji-janji manis seperti penghapusan tol?

Bagaimana pula dengan suara perkauman, yang tidak lari dari kancah politik negara kita? Adakah kita akan benarkan momokan “DAP komunis” dan “agen Israel” untuk mempengaruhi undi kita – atau pengundi Malaysia lebih matang? Bagaimana pula dengan retorik penyatuan ummah dalam politik kepelbagaian kaum di Malaysia?

Kesudahannya, pilihan masih di tangan rakyat. Ahli politik hanyalah ahli perniagaan yang cuba untuk mempromosikan barangan mereka untuk jualan. Rakyat juga yang akan memilih.

Ingat, kuasa rakyat yang membolehkan kleptokrasi paling kompleks di dunia, 1MDB, dibongkar dan pesalahnya dipenjarakan. Kuasa rakyat juga berjaya menghapuskan cukai GST.

READ MORE:  Election 2022: Engaging candidates on their manifesto for the environment

Pilihan kita seharusnya menjawab persoalan kemana halatuju negara kita di masa hadapan. Biarlah negara diterajui oleh ahli-ahli politik yang sekian lama berjuang untuk rakyat, dan lantang mengutarakan suara rakyat di Parlimen.

Marilah kita berikan undi kita kepada gagasan politik yang jelas mempunyai perancangan untuk masa depan negara. Kita tidak perlu risau akan kacau bilau hasil dari pilihan kita.

Janganlah kita memilih untuk tidak keluar mengundi hanya kerana amanat rakyat tidak dihormati sebelum ini.

Mengundi adalah hak rakyat, salah satu kelebihan seorang warganegara. Ayuh, mari kita jalankan kewajipan kita untuk negara kita yang tercinta.

Dr Nagathisen Katahenggam ialah seorang pensyarah kanan di School of Hospitality, Tourism and Events, Taylor’s University



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments