Mustaqim Badrul Hisham
“IPTA sifatnya bukan berniaga.”
Itu merupakan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir apabila Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya tiga universiti awam mengalami ‘kerugian’ selama tiga tahun berturut-turut.
Namun begitu, kenyataan ini tidak selari dengan realiti di lapangan. Hari ini, banyak universiti awam beroperasi dengan dua matlamat yang saling bercanggah: menyediakan akses pendidikan kepada rakyat dan pada masa sama menjana keuntungan seperti sebuah entiti korporat.
Percanggahan ini dapat dilihat dengan jelas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Universiti yang sepatutnya berperanan menyediakan akses pendidikan tinggi, khususnya kepada pelajar daripada latar belakang miskin dan kelas pekerja, kini secara sistematik mengehadkan akses itu melalui dasar penginapan yang bersifat komersial.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Pelajar dikenakan kadar sewa yang tinggi untuk penginapan luar, sementara sebahagian blok kolej kediaman dalam kampus pula diswastakan.
Penginapan luar ini diuruskan oleh sebuah anak syarikat. Jika dirujuk kepada laman web rasmi syarikat berkenaan, dinyatakan secara jelas bahawa entiti ini ditubuhkan bagi tujuan penjanaan keuntungan.
Hakikat ini bukan sahaja bercanggah dengan kenyataan menteri pendidikan tinggi, malah menunjukkan konflik kepentingan yang serius dalam pengurusan universiti awam.
Di satu sisi, UKM sebagai institusi awam mempunyai tanggungjawab menyediakan kolej kediaman yang mencukupi demi kebajikan pelajar.
Namun di sisi lain, melalui anak syarikatnya sendiri, universiti memperoleh keuntungan apabila pelajar gagal mendapat tempat di kolej dan terpaksa menyewa di luar pada kadar yang tinggi.
Semakin terhad akses kolej, semakin besar potensi keuntungan. Ini merupakan konflik kepentingan yang tidak sepatutnya wujud dalam sebuah institusi awam.
Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan satu inisiatif unit sewa untuk belia bekerja di Kuala Lumpur, dengan kadar sewa yang relatif rendah di kawasan bandar.
Jika belia bekerja pun dilindungi daripada sewa melampau, apakah kewajarannya mahasiswa, iaitu golongan yang belum berpendapatan tetap, dikenakan sewa sehingga RM680 sebulan bagi penginapan luar UKM?
Ini bukan soal fasiliti premium. Tiada siapa yang meminta bilik mewah atau kemudahan eksklusif. Bagi pelajar yang terdesak, bilik tanpa pendingin hawa pun sudah memadai. Yang dituntut hanyalah penginapan yang mampu dibayar, selamat dan berdekatan kampus agar proses pembelajaran tidak terganggu.
Masalah ini diburukkan lagi oleh kewujudan sistem merit kolej di UKM. Sistem ini menyingkirkan pelajar miskin daripada kolej kediaman atas alasan ‘tidak cukup merit’, lalu memaksa mereka menyewa di luar pada harga yang jauh lebih mahal.
Penyokong sistem ini sering berhujah bahawa pelajar perlu menunjukkan ‘usaha’ untuk layak tinggal di kolej. Di bawah logik ini, kegagalan universiti menyediakan kolej yang mencukupi tidak dianggap sebagai kegagalan institusi. Sebaliknya, ia dialihkan menjadi ‘kegagalan individu pelajar’.
Sistem merit digunakan sebagai alat ideologi untuk menyembunyikan kegagalan struktur. Ia berfungsi sama seperti ideologi meritokrasi dalam kapitalisme: yang miskin disalahkan kerana tidak cukup ‘berusaha’, sementara ketidakcukupan sistem tidak pernah dipersoalkan.
Hakikatnya, pelajar yang berusaha secara konsisten dan memperoleh merit sehingga puluhan mata juga tetap gagal mendapat tempat di kolej, bukan kerana kurangnya merit, tetapi kerana kegagalan pihak pengurusan universiti menyediakan kapasiti penginapan yang mencukupi.
Apa yang enggan diberikan perhatian ialah hakikat bahawa adalah tidak rasional dan tidak adil untuk memaksa pelajar mengumpul merit semata-mata bagi mendapatkan bilik kolej yang sepatutnya menjadi prasyarat asas kepada proses pembelajaran. Penginapan bukan ganjaran prestasi, tetapi keperluan material minimum untuk mengakses pendidikan tinggi.
Analogi yang sesuai ialah gaji minimum. Ia tidak diberikan berdasarkan prestasi cemerlang, tetapi dijamin tanpa syarat kerana diperlukan untuk kelangsungan hidup. Prestasi yang baik sepatutnya dihargai melalui bonus, bukan dengan mengancam atau menafikan gaji minimum. Begitu juga, merit boleh digunakan untuk memberi kelebihan tambahan, tetapi bukan untuk menentukan sama ada seseorang pelajar layak mempunyai tempat tinggal.
Krisis penginapan ini bukan berlaku secara kebetulan. Ia boleh dikatakan disengajakan. Ketika pihak pengurusan sedar bahawa kapasiti kolej semakin terhad dan jumlah pelajar semakin meningkat, mereka tetap memilih untuk menswastakan beberapa blok kolej kediaman, seperti yang berlaku di Kolej Keris Mas (KKM) di UKM.
Pada masa sama, keutamaan tidak diberikan berdasarkan keperluan, manakala kadar sewa mencekik darah dikenakan bagi penginapan luar. Keputusan ini bukan sahaja mengurangkan akses pelajar, malah mengukuhkan lagi sifat komersial dalam pengurusan universiti.
‘Penjanaan pendapatan’ sering dijadikan justifikasi. Walau bagaimanapun, alasan ini rapuh. Terdapat pelbagai cara lain untuk universiti menjana dana tanpa membebankan mahasiswa miskin.
Tambahan pula, sebuah universiti yang benar-benar kekurangan dana tidak akan membazirkan sumber terhad untuk pembinaan projek bersifat kosmetik seperti pintu gerbang mega.
Persoalannya kini jelas: sama ada universiti sebenarnya tidak kekurangan dana, atau keutamaan kewangannya tersasar jauh daripada kebajikan pelajar.
Belum lagi kita menyentuh hakikat bahawa dalam keadaan kononnya ‘tiada duit’, universiti tetap terpalit dengan pelbagai masalah pengurusan dan ketirisan.
Dalam hal ini, kerajaan juga tidak boleh dilepaskan daripada tanggungjawab. Kegagalan berterusan kerajaan untuk mendanai universiti awam secara mencukupi memaksa institusi ini mencari sumber kewangan sendiri.
Walaupun menteri pendidikan tinggi menyatakan bahawa universiti tidak seharusnya berniaga, realitinya kerajaan sendiri telah lama menggalakkan universiti bergerak seperti sebuah perniagaan, khususnya sejak era pentadbiran Najib Razak.
Ketika itu, universiti didorong untuk ‘berdikari’, satu istilah yang bersifat eufemistik bagi penswastaan terselindung, serta mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan awam. Negara mengekalkan kawalan politik, tetapi memindahkan beban kewangan kepada pelajar.
Mereka yang gagal melihat masalah dalam pendekatan ini jelas tidak memahami makna awam dalam universiti awam. Institusi awam sepatutnya dibiayai oleh dana awam, bukannya dipaksa beroperasi seperti syarikat swasta. Kita tidak menyuruh sekolah kebangsaan, hospital awam atau balai bomba mencari keuntungan sendiri. Jadi, mengapa universiti dilayan secara berbeza?
Lebih menyebalkan, universiti enggan merawat masalah yang dicipta olehnya sendiri ini dari akarnya. Sebaliknya, pelbagai inisiatif sementara yang tidak cekap diperkenalkan untuk kelihatan prihatin, seperti bantuan deposit rumah sewa.
Bantuan ini sebenarnya tidak diperlukan sekiranya pelajar yang tidak mampu menyewa tidak disingkirkan daripada kolej kediaman.
Ironinya, penginapan luar milik UKM sendiri mengenakan kadar deposit sehingga melebihi RM2,000, malah ada yang melangkaui kadar pasaran. Bantuan deposit akhirnya hanya menampal luka, tanpa menghapuskan punca sebenar pendarahan.
Kewujudan sistem merit kolej secara reka bentuk pasti akan menyingkirkan pelajar daripada latar belakang miskin. Akibatnya, kos kebajikan sekunder meningkat, misalnya melalui inisiatif seperti bakul makanan bagi pelajar yang terpaksa menyewa.
Situasi ini bukan sahaja menunjukkan pengagihan dana awam yang tidak efisien, malah bertentangan dengan retorik universiti bahawa ‘tiada dana’ tersedia.
Sekiranya dana benar-benar terhad, sewajarnya sistem merit kolej dimansuhkan dan digantikan dengan sistem berasaskan keperluan, agar hanya pelajar yang mampu sahaja terpaksa menyewa di luar.
Keadaan ini menjadi lebih menjengkelkan apabila disedari bahawa di bawah sistem sedia ada, pelajar miskin terpaksa bergelut dengan kadar sewa yang tinggi sehingga ada yang mencatu makanan.
Pada masa sama, pelajar yang lebih berada menikmati subsidi bernilai ribuan ringgit tanpa kesukaran. Keadaan ini bukan sahaja menafikan prinsip keadilan sosial, malah jelas bertentangan dengan tujuan asas pendidikan tinggi awam, iaitu menyediakan akses yang saksama kepada ilmu pengetahuan tanpa mengira latar belakang ekonomi.
Isu penginapan pelajar bukan isu kecil atau sementara. Ia bukan masalah teknikal, tetapi masalah struktur dan dasar. Selagi universiti awam melihat pelajar sebagai sumber hasil, dan bukannya subjek kebajikan, selagi itulah krisis ini akan berulang.
Jika UKM dan universiti awam lain benar-benar ingin mempertahankan makna awam dalam namanya, maka langkah pertama yang perlu diambil ialah menghentikan amalan menjadikan penginapan pelajar sebagai instrumen keuntungan.
Universiti awam tidak boleh menjadi arkitek kekurangan, benefisiari kekurangan dan hakim ke atas mangsa kekurangan pada masa yang sama.
Mustaqim Badrul Hisham, seorang ahli Aliran, ialah graduan pentadbiran awam dan seorang advokat hak mahasiswa yang aktif dalam Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (Aksi) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram). Penulisannya banyak menumpukan kepada kritikan terhadap dasar-dasar yang meminggirkan rakyat marhaen, khususnya dalam bidang pendidikan. Beliau konsisten memperjuangkan keadilan sosial dan menuntut agar negara meletakkan kepentingan rakyat – bukan elit politik atau kelas pemodal – sebagai pusat dalam segala proses pembuatan dasar.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

