:

Pasca pilihan raya 2022: Tingkatkan usaha mencegah penularan sentimen ekstremisme

Rakyat juga harus bertanggungjawab untuk memperteguh keharmonian antara kaum dan agama

JON TYSON/UNSPLASH

Oleh Chin Yee Wah

Sentimen perkauman dan agama semasa pilihan raya umum baru-baru ini telah mencapai satu tahap yang genting bagi negara kita.

Dua minggu sebelum hari membuang undi, telah ada penyebaran klip video yang amat mengancam ketenteraman negara kerana naratif benci sehingga mahu melakukan tindakan ganas terhadap sebahagian rakyat di negara ini.

Pihak yang menyebarkan video tersebut telah meminta maaf dan kesal atas perbuatannya, namun masyarakat kita perlulah bertanggungjawab dan mengawal emosi supaya tidak begitu mudah sekali menyebarkan sentimen perkauman dan agama.

Sebenarnya, apakah yang lebih membimbangkan ialah wujudnya penyelarasan penyebaran video-video ganas rusuhan kaum 13 May 1969 selepas dua hari pembuangan undi.

Video-video ini juga didapati hasil kerja upah oleh pihak tertentu.

Video-video yang mengemukakan naratif takut dan benci yang serupa disasarkan kepada penonton Melayu-Islam, mendakwa penguasaan politik DAP, anti-DAP dan juga anti-kaum Cina.

Naratif takut dan benci ini merebak begitu cepat seperti api liar mengancam keharmonian, ketenteraman dan keselamatan awam. Orang ramai berasa cemas dengan kempen penyebaran maklumat media sosial yang diselaraskan dengan baik untuk menjana ketakutan selepas pilihan raya umum.

Ia mencapai satu tahap genting sehingga media sosial TikTok terpaksa mengeluarkan kandungan-kandungan yang menyebarkan kebencian dan menghasut keganasan.

Demi mengelakkan perkara negatif daripada berulang, pihak berkuasa mesti membuat siasatan untuk mengenalpasti dalang yang mengupah, mengarah serta menyelaraskan naratif kebencian dan menghasut keganasan tersebut.

Semasa sentimen perkauman dan agama mencapai kemuncaknya, pihak polis sepatutnya mengambil tindakan pantas dan tegas terhadap pengguna media sosial yang memuat naik video dengan naratif penuh kebencian dengan menangkap pengguna-pengguna media sosial yang bertanggungjawab.

READ MORE:  Is Malaysia on the brink of radical change?

Pada masa yang sama pihak berkuasa dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga perlu mengambil tindakan yang segera dan tidak berkompromi untuk memberhentikan penyebaran sentimen yang sudah mencapai tahap yang amat berbahaya.

Adalah disyorkan bahawa usaha-usaha perlu dilaksanakan supaya pemimpin-pemimpin parti politik, ahli-ahli parti politik dan penyokong-penyokong mereka tidak mengeluarkan dan menyebarkan sentimen perkauman dan agama.

Kawalan yang ketat perlu diwujudkan terhadap penggunaan media sosial oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya dapat mencegah penularan sentimen ekstremisme pasca pilihan raya umum ini.

Adalah mengagumkan kerana adanya di kalangan pemimpin-pemimpin yang telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada musuh politik mereka pada ketika negara kita begitu memerlukannya. Ia adalah satu petanda yang baik bahawa ahli-ahli politik meletak kepentingan negara di atas parti dan kepentingan diri.

Pemimpin-pemimpin parti politik lain yang menuduh politik musuh mereka yang tidak berasaskan kebenaran diharap meminta maaf secara terbuka kepada parti lawan mereka supaya negara kita dapat menjadi satu bangsa Malaysia yang kukuh.

Pihak media mempunyai peranan yang amat penting dalam melawan tuduhan-tuduhan palsu dan menyampaikan kepada pembaca dan rakyat fakta sebenar. Dalam hal ini, media dapat membantu menegakkan kebenaran yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Perdana menteri baharu mempunyai tugas yang amat berat untuk menyatukan negara yang ketika ini amat berpolarisasi dan berpecah-belah.

Selain daripada menggunakan sumber-sumber yang sedia pada kerajaan khasnya Kementerian Perpaduan Negara, perdana menteri perlu melibatkan pihak akademik, pakar-pakar serta NGO yang berkaitan untuk mencari cara-cara penyelesaian yang berkesan untuk mengukuhkan kesepaduan sosial serta perpaduan nasional.

Dasar perpaduan negara dan rangka tindakan (blueprint) perpaduan negara 2021-2030 perlu dilaksanakan dengan segera.

READ MORE:  Election 2022: Multiculturalism is the way forward

Demi memperteguh keharmonian antara kaum dan agama, mencegah penularan sentimen ekstremisme pasca pilihan raya umum baru-baru ini, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab.

Amalan yang paling asas untuk merapatkan hubungan antara kaum dan agama yang berbeza adalah dengan menghayati dan menjunjung cita-cita dan prinsip-prinsip dalam Rukun Negara.

Prof Chin Yee Whah dari Universiti Sains Malaya ialah pengerusi kluster kesepaduan sosial dan perpaduan nasional di Akademi Profesor Malaysia

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments