Palestin dan soalan tentang penjajahan: Apa yang dapat dipelajari oleh warga Malaysia? (Bahagian 1/2)

Penentangan Palestin berpaksikan identiti Palestin - dan tiada perpecahan antara orang Islam dan Kristian.

A map showing the loss of Palestinian land over time - PALESTINEPORTAL.ORG

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Tiga perkara berlaku pada tahun 1948.

Israel mengumumkan dirinya sebagai sebuah negara.

Mandat British di Palestin berakhir.

Dan darurat, kononnya, diisytiharkan oleh kerajaan British di Malaya (1948- 1960).

Pada tahun 1948 juga, Henry Gurney telah tamat tempoh sebagai ketua setiausaha pentadbiran British di Palestin dan dilantik sebagai pesuruhjaya tinggi British di Malaya.

Pengalaman mencegah pemberontakan yang diperoleh di Palestin akan membantu pasukan taktikal British untuk menentang kuasa-kuasa anti-penjajah yang diketuai oleh komunis semasa tempoh yang dikatakan darurat.

Peserta-peserta dalam pemberontakan Arab dilabel sebagai ‘pengganas’ di Palestin, sementara penentang anti-penjajah Malaya juga dilabelkan sebagai pengganas.

Jelas sekali, ada pertalian dengan penjajahan British antara Palestin dan kita.

Ada beberapa perkara penting yang perlu diperkatakan.

Palestin berhak menerima solidariti yang padu daripada kita, bukan perpecahan kita

Perjuangan penduduk Palestin bukan kerana identiti agama. Perjuangan mereka bukan kerana Islam berselisih dengan faham Yahudi, mahupun Islam berselisih dengan faham Kristian.

Islam ialah asas yang sangat penting dalam memberikan kekuatan dan daya tahan berterusan dalam penentangan Palestin terhadap penjajahan Israel. Namun, hal ini tidak bererti penganut Islam bertelingkah dengan orang Yahudi.

Sebagaimana yang kita ketahui, orang Yahudi mempunyai sejarah dilayan dengan jauh lebih baik oleh pemerintah Islam berbanding dengan pemerintah Kristian. Apabila orang Yahudi Eropah hendak melarikan diri daripada penindasan Kristian, mereka mencari suaka di tanah-tanah Islam.

Dan Holokaus Nazi berlaku di Eropah, bukan Palestin.

Penduduk Palestin ada yang Muslim, Kristian dan Yahudi. Mereka sudah ada sejak zaman purba, dan mereka berbeza antara satu dengan yang lain. Mereka tidak sahaja bertutur dalam bahasa Arab tetapi juga bahasa Ibrani (Hebrew), Armenia dan Aramaic. Mereka sudah lama hidup bersama-sama. Hal itu bukan masalahnya.

READ MORE:  Negara palsu - Eretz Israel atau Ersatz Israel? (Bahagian 1/3)

Masalah besarnya ialah Zionisme, yang bukannya faham agama mahupun etnik tetapi suatu faham politik nasionalis yang memakai topeng pembela dan pelindung orang Yahudi.

Zionisme ialah faham penjajah yang menghancurkan. Zionisme melanjutkan corak penjajahan Barat yang merampas tanah dan menghapus penduduk asal – dari Amerika ke Australia dan Tasmania ke Afrika ke Palestin.

Anda boleh mengatakan bahawa Zionisme merangkum apa yang telah dilakukan oleh penjajah Barat terhadap berjuta-juta orang bukan kulit putih selama beratus-ratus tahun.

Oleh itu, apabila orang Palestin, yang majoritinya ialah Muslim, menentang penghapusan kaum mereka – yang ditentang ialah penaklukan penjajah Zionis, dan bukan orang Yahudi. Tidak juga menentang orang Kristian.

Sebagai orang Malaysia, kita mesti berhati-hati agar tidak menyorot situasi yang berlaku melalui lensa masing-masing yang berkutubkan bangsa manusia dan identiti agama.

Mesin propaganda Zionis akan bertepuk tangan jika orang Malaysia berpecah pada garis-garis bangsa manusia dalam tindak balas kita terhadap Palestin. Misalnya, salah melihat isu Palestin sebagai isu Melayu Muslim sahaja, atau menonjolkannya sebegitu secara sengaja atau tidak sengaja.

British memerintah Malaya dengan cara memastikan bahawa penduduknya sentiasa dipisahkan dan diasingkan mengikut bangsa, dan kita mewarisi struktur perpecahan kaum tersebut.

Namun, Palestin berhak menerima solidariti yang padu daripada kita, bukan perpecahan kita.

Pengalaman di bawah penjajahan yang sama walaupun tidak serupa

Hal ini membawa kita kepada isi yang kedua: Palestin dan Malaysia berkongsi sejarah penjajahan, sekalipun tidak serupa.

Penjajahan di semenanjung Malaysia berakhir secara rasmi pada tahun 1957. Penjajahan peneroka (settler-colonisation) di Palestin masih berterusan dan semakin menjadi-jadi.

Di Palestin, Britain yang menjadi bidan menyambut kelahiran negara Zionis Israel kerana Britain mahukan “sebuah Ulster Yahudi kecil yang setia di tengah lautan Arabism yang berpotensi untuk bermusuhan”.

READ MORE:  Palestine and the colonial question: Lessons for Malaysia (Part 2/2)

Satu kumpulan penduduk dari luar, disokong oleh kuasa penjajah British, membuat penempatan di Palestin, menggantikan penduduk asalnya dan mempunyai kuasa politik dan ketenteraan ke atas tanah Palestin tanpa kerelaan penduduk asalnya.

Di Malaya, kita ialah jajahan British yang kekayaan buminya diperas sehingga kita menjadi satu tunjang utama empayar mereka.

Lebih tepat lagi, kaedah pecah-dan-perintah British memecah-belahkan penduduk Malaya dengan membentuk peranan ekonomi yang terpisah, ruang yang terpisah, sekolah yang terpisah, ketakutan dan saluran politik yang terpisah.

Maksudnya, kita dipisahkan berbangsa-bangsa melalui dasar penjajah yang dilakukan dengan sengaja.

Pengalaman bersama kita di bawah penjajahan British tidak ketara kerana pemupukan perbezaan antara kaum atau antara etnik.

Kita mewarisi satu struktur yang menggunakan etnik sebagai ‘bahasa’ utama apabila bercakap tentang hak, perwakilan, ketakutan dan tawar-menawar. Kita terus-menerus bergerak dengan warisan bersuku-suku ini – bahkan semakin giat.

Di sinilah kita boleh mengambil pelajaran daripada perjuangan orang Palestin untuk kebebasan.

Penentangan orang Palestin berakar pada identiti mereka sebagai orang Palestin.

Oleh sebab itu, anda akan mendapati penentangan yang hebat daripada orang Palestin yang beragama Kristian, sama hebatnya dengan penentangan daripada orang Palestin yang beragama Islam.

Kuncinya di sini: tidak ada perpecahan. Mereka bersatu sebagai satu bangsa Palestin yang berjuang untuk kemerdekaan daripada kuasa penjajahan Zionis yang berterusan di tanah air mereka.

Adakah hal ini menggamit ingatan kita? Dalam sejarah kita sendiri? Apabila kita berdiri bersama-sama merentas bangsa menentang pemerintahan penjajah?

Jawapannya ialah ya.

Rujuk ke bahagian 2.

Makalah ini berdasarkan sebuah forum dengan tajuk yang sama yang diadakan pada 10 Oktober 2026 di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur. Penulis seorang daripada panel forum.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted