Orang Asli mempertahankan hak mereka, kekal membantah projek empangan Nenggiri

Tidak ada pengganti bagi kehilangan budaya, rohani dan aspek kehidupan lain Orang Asli yang tidak ketara

118 views

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini, didedahkan bahawa kerajaan negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menandatangani perjanjian kerjasama bagi projek empangan Nenggiri di Gua Musang dan kerja-kerja pembinaan dijangka dapat dimulakan tidak lama lagi.

Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) telah mengeluaran satu kenyataan menafikan dakwaan bahawa majoriti Orang Asli yang terlibat dalam kawasan di mana empangan itu akan dibina bersetuju dengan projek tersebut.

Malah, lebih 3,000 Orang Asli kekal membantah projek ini diteruskan kerana ia akan mengancam dan menenggelamkan tanah adat mereka.

Mereka mahu kerajaan negeri dan pihak kementeriannya membatalkan empangan ini kerana ia membawa lebih keburukan dari kebaikan. Selain tanah adat, turut terjejas juga rumah, tapak kubur dan hutan yang menjadi sumber rezeki mereka.

Bujukan berpindah dengan pampasan, pekerjaan jangka pendek?

Kenapa kerajaan Kelantan dan TNB tergesa-gesa mahu memulakan kerja-kerja projek empangan ini? Setahu saya, tidak ada maklumat lanjutan dilaporkan media apakah perjanjian itu secara rasmi sudah ditandatangani?

Nah, seperti gaya pemaju empangan yang lain, kerajaan negeri Kelantan dan TNB menganggap satu sesi libat urus yang dipengerusikan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dengan beberapa jabatan-jabatan kerajaan dan wakil Orang Asli memadai lah jika semua pihak-pihak terlibat juga bersetuju untuk menyokong projek itu.

Bahkan, yang dititikberatkan adalah pemberian pampasan, peluang kerja dan perniagaan untuk komuniti Orang Asli yang terjejas.

Hai! Carian untuk maklumat, butir-butir, statistik dan jadual yang terperinci dan menyeluruh berkaitan pakej penempatan semula dan pampasan ini nampaknya tidak wujud – ataupun ini suatu rahsia (di bawah Akta Rahsia Rasmi)?

Namun JKOAK mengatakan sebab utama komuniti membantah bukanlah disebabkan mahu mendapatkan pampasan tetapi kerana tidak mahu kawasan wilayah tanah dan hutan yang telah diduduki sekian lama dimusnahkan.

READ MORE:  Why customary land rights matter to the Orang Asli

Dijelaskan oleh seorang anggota JKOAK: “Di tempat mereka akan bina empangan itu adalah tempat suci iaitu tempat upacara suku kaum masyarakat Orang Asli Bateq. Tempat tersebut masih lagi membuat upacara sampai sekarang ini, tempat itu adalah bagi Tujuh Tiang dunia.”

Mengikut JKOAK lagi, kaedah pembayaran pampasan yang akan diberikan oleh kerajaan adalah tidak setimpal dengan kerosakan dan kesusahan yang akan dialami oleh komuniti Orang Asli. Misalnya pampasan hanya melibatkan tanaman-tanaman yang musnah tanpa mengambil kira pampasan ke atas tanah adat yang akan terjejas. Ini  jelas tidak selaras dengan keputusan-keputusan mahkamah yang melibatkan isu tanah adat Orang Asli.

Dan setakat ini, dalam kes penempatan semula beberapa kampung Orang Asli yang akan dipindahkan, syor-syor yang telah dikemukakan oleh Suruhanjaya Dunia Mengenai Empangan – dalam kes-kes berkaitan projek air dan tenaga, terutamanya empangan baru yang sedang dirancang – hanya diabaikan (Dams and Development: A New Framework for Decision-making – the Report of the World Commission on Dams. 2000, Earthscan, London).

Syor yang penting: pihak berkuasa perlu mendapatkan penerimaan terbuka yang ditunjukkan oleh komuniti yang terjejas. Orang Asli harus mempunyai hak memberi keizinan rasmi terlebih dahulu dan dimaklumkan kepada mana-mana projek air atau tenaga yang memberi kesan kepada mereka (merangkumi keputusan pengizinan dan tidak izin).

Sama pentingnya: daripada sekadar merancang dan membina empangan, pihak berkuasa yang bertanggungjawab harus menilai keperluan air dan tenaga rakyat secara menyeluruh dan proses penyertaan yang berkesan. Mereka harus menilai berbagai pilihan yang mampu menyediakan keperluan asas ini (termasuk langkah pengurusan pihak permintaan) dengan cara yang seimbang.

Negeri Kelantan masih mundur dalam berbagai aspek. Oleh itu rakyatnya amat memerlukan ‘pembangunan’, yakni infrastruktur dan kemudahan awam yang lebih baik dan lengkap, seperti hospital, sekolah, jalanraya dan pengangkutan luar bandar yang berpatutan kos.

READ MORE:  Respecting indigenous women's rights

Kebelakangan ini, sambungan internet percuma dan komputer semasa pandemik Covid menjadi keperluan asas terutamanya untuk pembelajaran dalam talian untuk kanak-kanak sekolah dari keluarga miskin.

Malangnya, kerajaan negeri ini menganggap empangan Nenggiri adalah perlu dan wajar di Kelantan untuk penjanaan kuasa hidroelektrik dan pencegahan banjir.

Syor-syor Suruhanjaya Dunia mengenai Empangan menjadi tak relevan. Sebaliknya, sebelum masyarakat yang berada di tapak projek diarahkan berpindah keluar, ‘janji-janji manis’ didendangkan oleh pihak berkuasa dan pembina empangan – fokusnya pada pampasan, rumah bata baru, saluran air paip dan elektrik percuma, pekerjaan dan peluang perniagaan.

Apa faedah yang boleh Orang Asli yang terjejas dapat daripada projek empangan itu? Hanya masa yang akan menentukan jika semua tawaran akan dipenuhi ataupun dipendamkan.

Walau bagaimanapun, ‘pembangunan’ empangan pada realitinya menyusahkan Orang Asli/Orang Asal: Bakun, Babagon, Batu … saya mempunyai lebih banyak contoh antara ratusan empangan yang wujud di Malaysia, kecil dan besar, daripada pengumpulan data saya sendiri.

Walaupun terdapat beberapa keuntungan material melalui pakej pampasan dan pemulihan, pada dasarnya, tidak ada pengganti bagi kehilangan budaya, rohani dan aspek kehidupan lain Orang Asli yang tidak ketara, seperti tanah nenek moyang, kubur, rumah dewa-dewi mereka. Begitu juga trauma yang dialami, secara individu dan kolektif, dalam anjakan paksa dan penempatan semula disebabkan oleh empangan.

Paling tidak, jika kerajaan negeri, TNB, pembina dan pembiaya empangan benar-benar mahu pembaikan dalam pembinaan empangan dan pelaksanaan penempatan semula, mereka perlu mengamalkan beberapa elemen penting dan baru.

Lebih konkrit lagi, kenapa tidak lantik sesetengah Orang Asli untuk menganggotai lembaga pengarah dan mengapa tidak menjadikan masyarakat Orang Asli yang terjejas menjadi pemegang saham utama institusi-institusi yang mengaut keuntungan projek empangan Nenggiri?

READ MORE:  Jakoa top post for Orang Asli’s needs

Jika ini benar-benar dilaksanakan – wakil perempuan dan lelaki Orang Asli sebagai pengarah dan pemegang saham, dicalonkan dan diputuskan oleh mereka sendiri mengikut amalan Adat – maka empangan Nenggiri sekurang-kurangnya dapat dilihat sebagai peluang perniagaan yang menguntungkan Orang Asli.

Carol Yong adalah penyelidik dan penulis bebas

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments