Orang Asli mahu kerajaan batalkan projek hidro empangan di Nenggiri, Kelantan

Kerajaan mempunyai rekod yang lemah dalam melaksanakan rancangan perpindahan dan penempatan semula Orang Asal

116 views
File photo - JKOAK

Kami tidak mahu projek hidro eletrik empangan Nenggiri!

Itulah suara Orang Asli di Gua Musang, Kelantan yang mengambil inisiatif bersama Jaringan Kampung Oang Asli Kelantan untuk berkumpul secara aman dan membantah rancangan kerajaan negeri Kelantan untuk memulakan kerja awal untuk empangan itu, termasuk penempatan semula masyarakat Orang Asli dan perbagai lagi yang akan ditenggelami.

Mereka sendiri mampu menganjurkan protes itu tepat pada masanya. Tak usah bergantung kepada atau menunggu campur tangan dan pembiayaan orang luar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing.

Malah, pada masa pandemik coronavirus dan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan, konsep orang luar perlu datang kepada masyarakat untuk menyokong kerja mereka adalah tidak mapan.

Sebaik-baiknya, sokongan daripada pihak umum dan NGO membantu memberi tekanan kepada pihak berkuasa selepas beberapa bentuk protes yang diketuai oleh masyarakat itu sendiri.

Keizinan berasaskan makluman awal, bebas dan telus masyarakat?

Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) – syarikat berkaitan kerajaan yang bertanggungjawab dalam melaksanakan projek penjanaan elektrik – mendakwa pihak-pihak terlibat ‘menyokong’ projek ini, dari pertemuan baru-baru ini antara agensi dan komuniti Orang Asli anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam):

“Kerajaan Negeri Kelantan mengalu-alukan pelaksanaan projek ini kerana ia bakal memberikan manfaat kepada semua rakyat negeri Kelantan, terutama komuniti orang asli yang terlibat di kawasan tersebut.“ – Timbalan setiausaha kerajaan negeri Kelantan (pembangunan)

“Suhakam berpuas hati dengan sesi libat urus yang berlangsung kerana pihak TNB telah pun memberikan penerangan terperinci mengenai pelaksanaan projek ini.” – Pesuruhjaya selaku pengerusi sesi

Nah, merujuk kepada siaran akhbar TNB, sesi libat urus itu berlangsung selama tiga jam, dengan taklimat oleh timbalan setiausaha kerajaan negeri Kelantan (pembangunan) dan pengarah urusan TNB Power Generation Sdn Bhd serta sesi soal jawab di antara pihak-pihak yang terlibat.

Dalam masa yang singkat ini, bolehkah pihak TNB memberikan maklumat terperinci yang diperlukan, mengikut piawaian, prinsip dan kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia untuk projek-projek ‘pembangunan’ yang menjejaskan Orang Asal?

Umpamanya, prinsip keizinan berasaskan makluman awal, bebas dan telus (free, prior and informed consent) seperti termaktub dalam Perisytiharan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asli yang ditandatangani Malaysia pada 2007, agar masyarakat yang terjejas dapat membuat keputusan yang tepat. Juga, kerangka untuk membuat keputusan mengenai projek air dan tenaga yang disyorkan oleh Suruhanjaya Dunia Mengenai Empangan (World Commission on Dams).

READ MORE:  Reflecting on crisis narratives in forests: Anthropological perspectives

Saya mencari di laman web TNB, Suhakam dan Jabatan Kemajuan Orang Asli untuk “penerangan terperinci mengenai pelaksanaan projek ini” dan maklumat laporan penilaian alam sekitar, tetapi carian tidak ada hasil. Saya juga meminta maklumat daripada pesuruhjaya Suhakam yang mempengerusikan sesi 7 April lalu, tetapi tidak ada balasan.

Apakah ini bermakna makluman awal, bebas dan telus dengan hanya pengerusi jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung Orang Asli Pos Tohoi “berharap pelaksanaan projek pembangunan hidro itu dapat disegerakan“ dan “majoriti penduduk di Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias bersetuju untuk berpindah ke penempatan baharu dan memulakan kehidupan di tempat baharu seperti yang dipersetujui” bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli, kerajaan negeri Kelantan dan TNB?

Pihak berkuasa dan agensi luar menggunakan struktur dan institusi formal yang diwujudkan sebagai titik hubungan antara mereka dengan masyarakat Orang Asli. Pemimpin kampung ini yang mewakili penduduk kampung pun menyokong keputusan yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa dan pemaju empangan dan memberi persetujuan mereka.

Di manakah perwakilan dan penyertaan yang berkesan keseluruhan masyarakat Orang Asli, selaras dengan adat asal mereka yang diwarisi turun temurun? Secara tradisinya, majlis adat dengan konsep mesyuarah terbuka memberi ruang mendengar semua orang – dalam konteks ini, mereka yang terjejas oleh empangan – dan melibatkan mereka secara aktif dalam membuat keputusan yang memberi manfaat kepada semua orang, terutamanya kalangan wanita, kanak-kanak dan keluarga miskin.

Berdasarkan pengalaman saya dalam penyelidikan lapangan dan pengumpulan data empirikal berterusan mengenai rancangan perpindahan dan penempatan semula Orang Asal yang disebabkan oleh ‘pembangunan’, khususnya projek empangan, serta studi-studi lain dan pengalaman penduduk yang terpaksa dipindah, kerajaan mempunyai rekod yang lemah dalam melaksanakan rancangan sebegini.

Antara isu-isu ialah janji semuanya tidak dipenuhi, kadar pampasan tidak setimpal dengan kerugian keseluruhan, kemudahan infrastruktur asas yang tidak mencukupi, kualiti tanah baru yang buruk, dan impak sosial dan gender pasca penempatan semula. Akibatnya, ramai Orang Asal di kawasan rancangan penempatan semula masih hidup dalam kemiskinan hari ini.

READ MORE:  Indigenous rights: Morni's story

Bukan pilihan mampan jangka panjang

JKOAK

TNB kata empangan Nenggiri diperlukan untuk pencegahan banjir dan penjanaan kuasa hidroelektrik.

Pihak kerajaan negeri Kelantan pula kata projek hidro ini, selain membantu meminimakan fenomena banjir besar yang kerap melanda negeri Kelantan, dijangka dapat “mengatasi isu perbekalan air bersih serta pengairan dan menggiatkan eko-pelancungan”.

Apakah tujuan dan fungsi sebenar pembinaan empangan Nenggiri?

Banjir di Malaysia adalah bencana biasa yang berlaku sebagai hasil semula jadi kitaran monsun semasa musim tengkujuh yang dicirikan oleh hujan lebat dan kerap dari sekitar Oktober hingga Mac.

Oleh itu, empangan untuk mengatasi masalah banjir sering dipersoalkan. Hujan yang melampau dengan lebihan air terkumpul di kawasan empangan dan kolam takungan kadang-kadang berlaku, menyebabkan sistem kawalan air melebihi had mereka, atau memecahkan benteng. Ini boleh menimbulkan risiko kerosakan dan kemusnahan yang lebih besar, bukan hanya kepada nyawa manusia dan lain-lain, tetapi juga kepada rumah dan harta benda, bahkan limpahan mendadak di hilir sungai.

Selain itu, bertahun-tahun pembangunan berat seperti perbandaran pesat, bangunan perumahan dan perindustrian, lebuhraya dan infrastruktur lain, dan pelupusan hutan telah memburukkan lanskap fizikal dan iklim. Kesemua aktiviti ‘pembangunan’ ini telah menyumbang kepada banjir kilat, tanah runtuh, hakisan, kemarau sengit dan seumpamanya, memberi kesan terhadap rakyat biasa, terutama golongan miskin.

Anggota Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan tertanya-tanya:

“Kebanyakan alasan mereka utamakan bil elektrik tidak tinggi bayaran setiap bulan, kekurangan banjir dan menjana pendapatan ekonomi negeri kelantan… tapi kerajaan negeri Kelantan selama perintah kerajaan pas tidak ada kemajuan selama ini kepada rakyat Kelantan bukan hanya OA tapi malah kepada masyarakat di luar pun tidak dapat lihat kemajuan, semua masyarakat luar dan masyarakat OA pergi kerja ke ibu negara…

“… dan juga pasal kurang impak banjir, bagaimana bagi kami penduduk OA yang tinggal di tepi sungai, adakah kami juga selamat daripada banjir? Walaupun duduk dihulu sungai, tapi impak banjir tetap ada kemusnahan juga jika syarikat pembalakan, syarikat perladangan dan lain-ain syarikat masih lagi berluasa, tetap akan terkena kepada masyarakat orang asli. Jadi kesimpulannya kerajaan negeri tertindas kepada masyarakat orang asli (diskriminasi pada masyarakat OA)?”

READ MORE:  ‘No’ to Nenggiri dam: ‘Orang Asli protest against forced displacement

Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menyeru pihak berkuasa Kelantan untuk menghormati hak Orang Asli dan membatal pembinaan empangan Nenggiri. Mereka berkata empangan yang dicadangkan itu hanya akan memperkayakan kapitalis kroni, membebankan rakyat dan memusnahkan kehidupan masyarakat.

Eco-pelancungan untuk kenikmatan dan keuntungan siapa?

Projek Nenggiri melibatkan keluasan kira-kira 5,834 hektar yang di dalamnya kaya dengan pelbagai spesis kehidupan (biodiversiti), dan yang lebih penting, tanah pusaka, sumber-sumber asli, budaya hidup, harta benda dan kepercayaan tradisi Orang Asli.

Malahan pihak-pihak tertentu termasuk kerajaan negeri mengeksploit dan mempergunakan Sungai Nenggiri dan kawasan Orang Asli untuk mendapatkan keuntungan, sebelum sungai diempang. Kutipan laman web mempromosi Sungai Nenggeri:

Sungai Nenggiri merupakan rangkaian utama sistem saliran sungai di Jajahan Gua Musang yang menawarkan aktiviti lipur diri kepada pengunjung khususnya bagi aktiviti berkayak dan berakit selain aktiviti memancing … Antara aktiviti yang dijalankan bagi menarik pelancong ialah `Nenggiri River Cruise’ yang dianjurkan oleh agensi pelancongan untuk pelancong berkumpulan … antara tempat yang dilawati disepanjang perjalanan termasuklah Gua Cha (tapak bersejarah zaman purba) dan perkampungan orang asli Kuala Jenera dan Pos Pulat (menghayati budaya dan gaya hidup). (Titikberat penulis)

Tarikan: Di sepanjang sungai ini, terletak  rangkaian gua-gua bersejarah yang pernah menjadi tempat penyelidikan arkeologi dengan penemuan rangka manusia pada zaman batu seperti Gua Cha dan Gua Peralen yang menjadi kemestian lawatan di dalam pakej-pakej berkaitan Sungai Nenggiri. Terdapat beberapa penempatan kaum orang asli di sepanjang sungai yang masih mengamalkan cara hidup secara nomad. (Titikberat penulis)

Pihak universiti tertentu terlibat dalam projek penggalian (ekskavasi) untuk menyelamat arkeologi di kawasan Gua Musang yang akan ‘dibangunkan’ projek empangan Nenggiri suatu masa nanti.

Adakah pihak berkuasa negeri Kelantan memutuskan pembinaan empangan Nenggiri tanpa mengetahui jenis khazanah arkeologi yang tidak ternilai untuk ditemui dan tidak lama lagi akan tenggelami di sana?

Carol Yong ialah seorang aktivis veteran yang telah lama berkhidmat di Sarawak dan kemudian di Sabah

 

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
1 Comment
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Gursharan Singh
Gursharan Singh
9 May 2021 10.48am

In msot countries if not in all, foreigners came and almsot wiped of the natives to near level of extinction and took over control of the lands and its resources.

Where natives remained for some reason, the former foreigners/immigrants, now see value in the lands and its resources still occuped by natives and make laws to remove the natives to again continue to plunder the resoures which may be continuation of removel of natives [though referred to as ORIGINAL PEOPLE] which may complete the extinction process started earlier.
[No need to name the countries as info available on the internet under WIKIPEDIA]

Bless all