Nixon dan Najib: Saga keangkuhan kuasa

7

Terdapat beberapa sebab mengapa Nixon dilihat merupakan watak yang paling sesuai untuk dibandingkan dengan Najib, ujar Muhamad Takiyuddin.

Antara karya berkenaan presiden Amerika Syarikat yang kerap saya beli dan kumpul tanpa jemu ialah berkaitan Presiden Richard M Nixon, presiden AS dari 1969 ke 1974.

Nixon merupakan sisi gelap kepresidenan AS apabila merupakan satu-satunya presiden AS yang meletakkan jawatan semasa masih berada dalam tugasnya. Skandal Watergate yang menurunkan beliau dari kekuasaan bukan sahaja merupakan episod kelam dalam sejarah politik AS (selain Perang Vietnam dan tragedi 9/11), tetapi juga merupakan kes buku teks berhubung keangkuhan kuasa seorang pemimpin.

Terdapat beberapa sebab mengapa Nixon dilihat merupakan watak yang paling sesuai untuk dibandingkan dengan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, yang telah pun didakwa di mahkamah hari ini. Yang pasti, persamaan mereka bukanlah kerana kedua-duanya mempunyai nama yang bermula dengan huruf N. Malah sejak memuncaknya kontroversi 1MDB, banyak penganalisis tempatan melihat sejarah Watergate dan Nixon bagi memberikan konteks terhadap perkembangan yang berlaku di Malaysia.

Kuasa terpusat

Persamaan pertama, kedua-dua isu melibatkan seorang ketua eksekutif kerajaan yang mempunyai kuasa yang begitu terpusat. Jika sejarawan liberal AS Arthur Schlesinger menggelar kepimpinan Nixon sebagai antara contoh “imperial presidency”, maka era Najib juga dapat ditanggapi sebagai “the imperial premiership” (biarpun untuk berlaku adil, karektor pemusatan kuasa ini telah diinstitusikan oleh Dr Mahathir Mahathir).

Penggunaan wang yang besar

Persamaan kedua, kedua-dua isu Watergate dan 1MDB melibatkan penggunaan wang yang besar. Dalam usaha mengekang konco-konco yang menceroboh masuk bangunan Watergate dari membuka mulut, Nixon membenarkan pasukan penasihatnya membayar konco-konco ini. Turut menyebabkan skandal ini terbongkar dengan lebih besar ialah apabila media menjejaki sumbangan wang yang disalurkan ke tabung kempen Nixon untuk kempen presiden 1972.

Apabila filem All The Presidents Men yang menggambarkan kisah dua wartawan The Washington Post yang membongkarkan skandal tersebut menemui khalayak, ia berjaya mempopularkan satu frasa popular yang kononnya disalurkan oleh pemberi maklumat, Deep Throat, dalam membongkar skandal Watergate iaitu “follow the money” (walaupun ia tidak pernah diungkapkan oleh mana-mana aktor dalam saga Watergate yang sebenar). Barangkali frasa “follow the money” merupakan frasa yang banyak memberi inspirasi kepada akhbar seperti The Edge untuk melakukan siasatan komprehensif berhubung 1MDB.

Skandal dibongkar oleh media

Persamaan ketiga ialah peranan media. Watergate ialah skandal besar kedua yang dibongkar oleh media AS selepas skandal The Pentagon Papers yang didedahkan oleh akhbar The New York Times pada 1971. Jika skandal tersebut menaikkan nama The New York Times, maka skandal Watergate menaikkan nama akhbar The Washington Post menerusi peranan dua wartawannya, Bob Woodward dan Carl Bernstein.

Dalam kes 1MDB, media turut memainkan peranan yang serupa walaupun berhadapan dengan kekangan yang lebih jelas berikutan sistem semi-autoritarian yang wujud di Malaysia. Sarawak Report dan The Edge (serta dibantu oleh media luar seperti Wall Street Journal) merupakan antara media tempatan yang banyak membongkar jejak dan pertalian yang wujud dalam isu yang cukup kompleks ini.

READ MORE:  The People v Najib Razak Ep 74: Royal money used royally

Pada 26 Julai 2015, wartawan kritis Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussein (yang kerap merujuk skandal Watergate dalam tulisan-tulisannya) sekali lagi membangkitkan kisah watak Deep Throat yang menyalurkan maklumat kepada dua wartawan Washington Post tersebut. Walaupun Ku Seman tidak merujuk sebarang kes dalam tulisannya, tidak sukar untuk mengetahui konteks isu yang Ku Seman perkatakan.

Setahun kemudiannya, Ku Seman Ku Hussein menjadi wartawan media perdana pertama yang meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan cara kerajaan mengendalikan isu 1MDB dan derma RM2.6bn. Turut mengikuti langkah ini kemudiannya ialah editor New Straits Times Mustapha Kamil yang tidak lagi mampu “berbohong kepada nalurinya” berhubung isu 1MDB.

Kaitan dengan matlamat politik

Persamaan keempat, kedua-dua isu mempunyai kaitan dengan matlamat politik. Skandal Watergate sebahagiannya muncul berikutan obsesi Nixon untuk memenangi pilihan raya presiden pada 1972 dan sejajar dengan langkah itu, jentera politik Nixon menggerakkan operasi rahsia bagi melakukan tindakan sabotaj, pencerobohan dan sumbangan wang kempen rahsia. Hal yang sama dapat ditelusuri dalam kompleksiti saga 1MDB yang sebahagiannya berfungsi sebagai mesin politik wang bagi kempen BN.

Tidak diendahkan pada awalnya

Persamaan kelima, kedua-dua isu ini pada awalnya merupakan isu yang tidak diendahkan. Watergate yang dibongkarkan pada pertengahan 1972 tidak menarik langsung perhatian rakyat Amerika Syarikat yang sekali lagi memilih Nixon pada penghujung tahun itu ke penggal keduanya. The Washington Post merupakan akhbar yang keseorangan sehinggalah salah seorang konco yang terlibat dalam pencerobohan Watergate mengadu kepada hakim berhubung “tekanan dari atas” yang wujud dalam kes itu.

Dalam kes 1MDB, walaupun isu ini telah mula ditonjolkan sejak kempen pilihan raya umum 2013 lagi, ia hanya mendapat perhatian meluas masyarakat apabila Mahathir mula menjadikannya sebagai bahan kritikan utama terhadap kepimpinan Najib bermula pada 2015.

Kawalan kerosakan lebih memburukan keadaan

Persamaan keenam, kawalan kerosakan yang dilakukan oleh kedua-dua pemimpin dalam skandal ini lebih memburukkan keadaan. Pada 31 Julai 2015, akhbar Straits Times Singapura menggesa agar Najib belajar dari sejarah Presiden Nixon yang mana tindakannya cuba menutup skandal Watergate tersebut didapati lebih kontroversi dari jenayah pencerobohan itu.

Baik Nixon mahupun Najib, kedua-duanya berikrar melakukan siasatan telus tanpa takut dan pilih kasih. Kongres menjalankan pendengaran langsung menerusi Senate Watergate Committee dan dalam pendengaran ini, beberapa bukti penting terus diketengahkan termasuklah yang paling pentingnya, pita rakaman peribadi Nixon di Rumah Putih.

Apabila Pendakwaraya Khas Watergate Archibald Cox mengemukakan sapina untuk mendapatkan pita ini, Nixon enggan mematuhi arahan ini. Malah Nixon memecat Cox yang sebenarnya hanya boleh dipecat oleh Peguam Negara Elliot Richardson. Nixon mengarahkan Richardson untuk memecat Cox tetapi Richardson enggan berbuat demikian dan meletakkan jawatannya sebagai protes. Nixon seterusnya mengarahkan Timbalan Peguam Negara William Ruckelshaus untuk memecat Cox dan Ruckelshaus juga meletakkan jawatan kerana tidak mahu mematuhi arahan ini. Arahan pemecatan tersebut hanya dilakukan oleh seorang pegawai ranking ketiga dalam Jabatan Peguam Negara.

READ MORE:  Does 'Robin Hood politics' have a place in Malaysia?

Kejadian yang berlaku pada malam minggu ini dinamakan sebagai Saturday Night Massacre dan merupakan antara titik terpenting dalam skandal Watergate yang menyemarakkan lagi kemarahan rakyat, Kongres dan Parti Republikan terhadap Nixon. Dewan Perwakilan pula mula membentangkan beberapa resolusi untuk memecat Nixon (impeachment).

Dalam kes 1MDB, pihak eksekutif juga berikrar melakukan siasatan telus menerusi PAC dan Pasukan Petugas Khas. Namun apabila wujudnya kompleksiti berkaitan Xavier Justo dan juga pendedahan Sarawak Report dan The Edge, ia boleh dianggap membuka jalan kepada Tuesday Afternoon Massacre.

Tidak sahaja kerajaan menyekat akses terhadap Sarawak Report dan menggantung akhbar The Edge, Najib pada Selasa, 28 Julai 2015 menamatkan khidmat Peguam Negara Gani Patail, yang menganggotai Pasukan Petugas Khas.

Paling dramatik, Najib menggugurkan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang sehari sebelum itu mengkritik secara lantang dan lebih terbuka kontroversi 1MDB dan juga Menteri Kemajuan Wilayah Shafie Apdal, yang turut merupakan antara pengkritik utama isu tersebut.

Detik ini merupakan salah langkah paling besar buat Najib yang menganggar-rendahkan kemarahan rakyat dan memperbesarkan lagi tanggapan bahawa kerajaan sedang melindungi sesuatu.

Tidak responsif terhadap kritikan

Persamaan ketujuh, kedua-dua pemimpin mempunyai personaliti yang tidak selamat (insecure) dan tidak responsif terhadap kritikan. Nixon diketahui mempunyai rasa rendah diri yang menebal kerana beliau berasal dari luar bandar, menyudahkan pengajian di kolej yang tidak ternama dan bukan tergolong dalam establishment politik AS seperti pesaing yang sering dicemburinya, Presiden John F. Kennedy.

Beliau tidak putus berasa obsess tentang Kennedy dan juga adik-adiknya seperti Robert dan Edward, yang boleh terlepas dari berbagai-bagai isu dan skandal sedangkan beliau seolah-olah dijadikan sasaran oleh semua pihak termasuklah untuk perkara-perkara yang begitu remeh. Umum melihat personaliti Nixon sebagai kusam dan tidak mesra. Beliau memusuhi media dengan begitu intensif sehinggakan wartawan media mewakili senarai terbesar dalam “senarai musuh” (the enemies list) yang dikumpulkan penasihat-penasihatnya.

Ini menjurus kepada sikap beliau yang petty dan pathetic seperti ungkapan popularnya, “I am not a crook” sewaktu mempertahankan dirinya dalam skandal Watergate. Dikelilingi oleh penasihat-penasihat beliau seperti HR Haldeman dan John Erlichman, Nixon terputus dengan realiti yang berlaku di luar dunianya.

Pada malam perletakan jawatan, Nixon melutut dan menangis di hadapan Setiausaha Negaranya Henry Kissinger. Nixon bertanyakan apa salah yang beliau telah lakukan dan mengapa rakyat AS boleh membencinya sebegitu rupa? Beberapa tahun selepas persaraannya, Nixon masih enggan mengambil tanggungjawab dan mengaku salah atas kejadian Watergate sehinggalah beliau “diperangkap” oleh wartawan British David Frost dalam temubual pada 1977 yang mendapat liputan meluas.

READ MORE:  Bersih 2.0 Sabah kutuk cubaan sogokan untuk lompat parti, seru pilihan raya pecat wakil rakyat (Malay/English)

Seperti juga Nixon, Najib mempunyai personaliti yang tidak kuat. Beliau kerap berpaut pada legasi dan nama baik ayahnya, Tun Razak; kerap menggunakan kata ganti diri “saya” berbanding “kerajaan” dan seringkali bersifat petty dan self-serving.

Setelah dibersihkan oleh Peguam Negara yang baru, Apandi Ali, Najib kerap menggunakan keputusan kontroversi tersebut sebagai instrumen bagi membersihkan dirinya. Bagi menyatakan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kebebasan bersuara, beliau mendedahkan bagaimana kerajaan bersikap terbuka terhadap kritikan bebas seorang ahli akademik (yang diyakini merujuk kepada seorang pakar ekonomi terkemuka) yang menerima pembiayaan dari yayasan keluarga Najib untuk mengkritik kerajaan.

Satu pendedahan penting selepas pilihan raya umum 2018 ialah kewujudan agensi perisikan khas di bawah Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan menjejaki pengkritik kerajaan di dalam dan luar negara dan hanya melaporkan pada Najib. Sehinggalah ke malam sebelum berlangsungnya pilihan raya, Najib terus meyakini yang rakyat Malaysia boleh dibeli dengan mudah seperti pengecualian cukai pendapatan pada golongan muda bawah 26 tahun, pelepasan tol selama lima hari untuk Hari Raya Aidilfitri dan cuti peristiwa selama dua hari jika BN dikembalikan sebagai pemerintah.

Keterputusan Najib dirumuskan dengan melihat pengakuan salah seorang penasihatnya selepas pilihan raya umum 2018. Selain dari menyifatkan yang “Najib lives in a bubble”, beliau juga mengakui bahawa penasihat-penasihat Najib “don’t’ accept others’ views” dan enggan “listen to bad news”.

Setelah keputusan pilihan raya diumumkan, Najib dilaporkan terkejut kerana tidak mempercayai yang rakyat Malaysia boleh membencinya sebegitu rupa. Jauh dari merendahkan dirinya selepas itu, Najib terus bersuara dengan defensif dan sehinggalah beberapa hari yang lalu, beliau sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang pathetic apabila hanya mengambil separuh tanggungjawab dari keputusan pilihan raya dan menyatakan tindakannya meletakkan jawatan adalah kerana pemimpin lain tidak mahu meletakkan jawatan.

Najib akan turut terlepas?

Persoalan terakhir: adakah Najib akan turut terlepas seperti Nixon? Nixon terlepas dari perbicaraan dan pendakwaan apabila beliau diampunkan oleh Presiden Ford. Tindakan tersebut dikritik hebat oleh rakyat AS dan mengakibatkan Ford gagal mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya presiden 1976. Walaupun setelah diampunkan, imej Nixon tercalar teruk dan gagal dipulihkan sehingga kematiannya pada 1994.

Nasib Najib kini berada di tangan mahkamah. Jika beliau didapati bersalah, dia akan menjalani hukuman di penjara. Namun sudah pastinya hal ini tidak akan berlaku dengan segera mempertimbangkan proses rayuan yang pastinya memakan masa yang panjang. Namun jika Umno memenangi semula kuasa dalam pilihan raya umum akan datang, urusan pertama parti tersebut pastilah mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib.

Muhamad Takiyuddin merupakan dosen di program sains politik, UKM. Beliau tetap mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana membina MRT yang memudahkan perjalanannya.

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
7 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Bakti Klinik Pergigian
5 Jul 2018 2.30am

History repeats itself

Calvin Wong
5 Jul 2018 12.44am

If Najib said he is not crook what else u r the theives its right Jibee

Seaman Liew
4 Jul 2018 10.57pm

Copy cat

Tengku JW
4 Jul 2018 10.37pm

B…… Negara

Kam Chee Ng
4 Jul 2018 8.48pm

Whether is crook let karma and court tell

San San Siah
4 Jul 2018 7.51pm

Which crook admit that they r crooks.

Maureen Tan
4 Jul 2018 7.32pm

Sure, he’s not a crook, he just took a little to give it to his little gal and the older one.