Negara Palsu – Eretz Israel atau Ersatz Israel? (Bahagian 3/3)

Negara Zionis Israel jauh daripada menjadi penjelmaan nasional bagi bangsa Yahudi.

Gaza

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Baca Bahagian 1 dan Bahagian 2

Kepalsuan No. 4 – Negara Zionis Israel ialah lambang kebangsaan orang Yahudi dan mengkritik Zionisme serta Israel dianggap sebagai antisemitik

Saya tidak berniat untuk membezakan orang Yahudi sebagai satu kaum yang terpisah daripada keseluruhan kemanusiaan. Setiap kaum adalah sebahagian daripada kemanusiaan sejagat. Setiap kaum mempunyai sejarahnya yang tertentu.

‘Holocaust’ secara umumnya digunakan untuk merujuk kepada penghapusan kaum Yahudi oleh Nazi.  Ia adalah antara malapetaka yang membentuk Kurun ke-20 dan menjadi titik mulanya ‘penghapusan kaum’ dilihat sebagai jenayah menurut undang-undang antarabangsa.

Hal ini membuatkan kita berfikir tentang holocaust-holocaust sebelumnya dalam sejarah kaum yang lain. Berabad-abad lamanya, berjuta-juta penduduk Asal merentasi Amerika, Afrika, Asia dan Oceana yang dirampas haknya oleh penjajah, dibunuh beramai-ramai dan, dalam banyak kejadian, dimusnahkan.  Kesengsaraan mereka tidak pula menerima pengiktirafan undang-undang, politik mahupun moral.

Sehinggalah apabila Holocaust Nazi ke atas Yahudi Eropah berlaku, barulah diwujudkan Persidangan Pencegahan dan Hukuman ke atas Jenayah Penghapusan Kaum (1948).

Institusi-institusi Zionis dan penyokong-penyokong negara Israel telah menggunakan kenangan Holocaust Nazi untuk kepentingan politik seperti yang digambarkan oleh Norman Finkelstein sebagai “industri Holocaust”. 

Dalam nada yang sama, Pankaj Mishra merujuk dalam The World After Gaza kepada “penjajaan kekejaman”, di mana “kuasa dan prestij sebagai mangsa begitu besar sehingga golongan demagog berkuasa sekalipun… menampilkan diri mereka sebagai pihak yang terkepung…”

Dalam kerangka kerja ini, Holocaust Nazi menjadi selubung yang melindungi Israel daripada hukuman undang-undang atas kekejamannya terhadap warga Palestin dan lain-lain.

Di sinilah letaknya pemalsuan yang sangat besar: negara yang mendakwa ia bercakap tentang kesengsaraan Yahudi kini melakukan penghapusan kaum ke atas warga Palestin di Gaza, sambil terus-terusan berlagak sebagai mangsa sedangkan ia sebenarnyalah penindas.

Walau bagaimanapun, mari kita ukur Israel pada dakwaannya sendiri: ia mendakwa menjadi lambang kebangsaan orang Yahudi. Sekiranya saya diminta untuk berfikir menurut tradisi Yahudi yang beretika, adakah saya suka Israel membuat dakwaan sedemikian bagi pihak saya? Jawapannya adalah tidak.

READ MORE:  The slaughter of women and girls in Iran at the hands of the US and Israel

Adakah saya akan mengakui tertegaknya perintah-perintah itu: kamu tidak boleh membunuh; kamu tidak boleh mencuri; kamu tidak boleh mengingini apa-apa yang dimiliki oleh jiran kamu?

Adakah saya akan menurut perintah untuk tidak menindas orang lain, kerana saya tahu jiwa mereka yang tertindas? Sebagaimana disebut dalam Exodus 23:9: “Janganlah kamu menindas orang asing kerana kamu tahu bagaimana perasaan menjadi orang asing, memandangkan kamu ialah orang asing di tanah Mesir.”

Adakah saya akan menghormati kesucian dan maruah nyawa manusia, berakar umbi pada kepercayaan bahawa setiap manusia diciptakan “dalam rupa Tuhan” (Genesis 1:26–27)?

Adakah saya akan mengambil berat terhadap para balu, anak-anak yatim dan mereka yang ditindas (Deuteronomy 10:18; Deuteronomy 24:17-22; Isaiah 1:17)?

Jawapan saya adalah iya untuk yang di atas. Sekalipun saya sekular, jawapan saya masih lagi iya kerana semuanya mempunyai akar yang dalam dan kuat dalam prinsip-prinsip Judaism yang penuh etika, teras kebanyakan warisan moral dan rohani Yahudi, dan prinspip-prinsip ini selari dengan kesedaran saya sebagai seorang manusia.

Namun, apakah keadaan yang sebenarnya?

Jangan membunuh? Israel telah melakukan penghapusan kaum menurut pandangan pakar-pakar PBB, organisasi-organisasi hak-hak kemanusiaan, organisasi-organisasi kemanusiaan dan para sarjana tentang penghapusan kaum selama hampir tiga tahun di Gaza. 

Israel dihadapkan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tuduhan melanggar Persidangan Penghapusan Kaum di Gaza.

Sila semak rujukan berikut:

Luar biasanya, dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB pada Jun 2026 menyatakan bahawa kanak-kanak dijadikan sasaran dengan sengaja (pautan di atas).  Perkara ini membentuk “satu daripada elemen untama pembuktian niat melakukan penghapusan kaum oleh pihak berkuasa dan pasukan keselamatan Israel untuk memusnahkan kumpulan Palestin, secara menyeluruh atau sebahagian daripadanya, di Gaza”.

READ MORE:  Israel/occupied Palestinian territories: Newly adopted death penalty law must be repealed

Jadinya – daripada perintah Ilahi agar tidak membunuh, menjadi dengan sengaja menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran oleh pasukan Israel. Cuba fikirkan sejenak.

Jangan mencuri, jangan menginginkan hak orang lain? Penjajahan Israel telah menjadikan perkara biasa untuk merampas, membuat petempatan dan mengambil tanah dan rumah-rumah warga Palestin.

Perbezaannya adalah sangat ketara. Seorang Yahudi yang lahir di mana sahaja tanpa sebarang hubungan peribadi dengan Palestin boleh menetap atas tanah Palestin sedangkan penduduk asalnya dibuang negara, sehingga warga Palestin dan keturunan mereka terus menjadi pelarian.

Hasilnya disebut oleh Vijay Prasad sebagai aparteid yang bersifat luar wilayah. 

Oleh sebab itu, istilah ‘perampasan tanah’ digunakan untuk menggambarkan kelakuan Israel.

Jangan menindas orang lain? Hormati kesucian dan maruah nyawa manusia?  Sudah kita sebut tentang penghapusan kaum di Gaza; pembersihan kaum dan penyesaran secara paksa penduduk asal Palestin selama lapan dekad.

Gaza sendiri ialah penjara terbuka yang terkepung. Keadaannya yang sangat teruk dan menyedihkan membuahkan rasa putus harapan dan marah berlapis-lapis generasi sehingga meledaknya serangan pada 7 Oktober 2023 yang dipimpin oleh Hamas.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga penggunaan kebuluran sebagai senjata perang dan sebagai satu bentuk hukuman kolektif terhadap orang awam, yang dengan sendirinya merupakan jenayah perang.

Kebuluran yang dikenakan ke atas Gaza sejak dua tahun lalu telah didokumenkan oleh Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) – piawaian global yang digunakan oleh PBB dan kumpulan bantuan antarabangsa untuk mengukur serta mengelaskan tahap keterukan kebuluran dan malnutrisi – dan agensi PBB yang lain sebagai berada pada tahap tertinggi ketidakamanan makanan akut. Agensi-agensi PBB yang lain memberi amaran bahawa keadaan di Gaza telah melebihi ambang kebuluran.

Setiap orang, termasuk kanak-kanak, dibiarkan kelaparan dengan penuh sedar.  Perbuatan ini sahaja cukup dikatakan sebagai tindakan menghapuskan kaum.

Di manakah prinsip amalan Yahudi untuk menghormati kesucian dan maruah nyawa manusia?

READ MORE:  Malaysia should not waver in its strong pro-Palestine policies

Mengambil berat tentang orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang tertindas? Fikirkan fakta ini: lebih daripada 21,000 kanak-kanak telah dibunuh oleh kuasa-kuasa Israel di Gaza sejak dua setengah tahun yang lalu.  Beginilah hal yang sebenarnya di sebalik cakap besar Israel tentang ia mempunyai “tentera paling bermoral di dunia”. (Angka 21,000 kanak-kanak yang terbunuh oleh tentera pendudukan Israel tidak merangkumi sepenuhnya mereka yang mati secara tidak langsung akibat kebuluran, dehidrasi, kekurangan ubat-ubatan, luka yang tidak dirawat, penyakit, hospital yang runtuh, dan kemusnahan syarat asas kehidupan.)

Kematian-kematian ini tidak dikumpul dalam satu hari yang teruk. Kematian-kematian ini menunjukkan corak hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan, tahun demi tahun. Ia berterusan, pembunuhan diteruskan dengan penuh sedar akan kesannya kerana bilangan orang awam dan kanak-kanak yang dibunuh terus meningkat.

Namun, mereka terus melakukannya. Penyakit apakah sehingga perlu berbuat demikian?

Daripada menjaga anak-anak yatim, Israel sebaliknya sedang menjadikan kanak-kanak di Palestin anak-anak yatim. Tentu sekali ini tidak dapat dijadikan contoh moral tradisi Yahudi. Perkataan ‘palsu’ tidak cukup untuk memperihalkan perbuatan mereka.

Lebih parah lagi adalah selepas Oktober 2025 apabila Presiden AS Donald Trump, dalang utama yang mengupayakan tidakan-tindakan melampau Israel, mengemukakan genjatan senjata, Israel masih lagi mencengkam dan membunuh di Gaza sehingga hari ini.

Ketumbuhan yang luar biasa

Perkataan ketumbuhan ialah istilah rasmi perubatan untuk pertumbuhan yang luar biasa pada permukaan badan atau tisu.

Negara Zionis Israel jauh sekali daripada menjadi lambang kebangsaan orang Yahudi, jika yang dimaksudkan ialah menjelmakan cita-cita etika yang berakar mendalam dalam tradisi moral Yahudi.

Sebaliknya, Israel lebih tepat adalah seperti satu ketumbuhan luar biasa dalam sejarah Yahudi dan kesedaran manusia.

Jurangnya amat besar. Oleh sebab itulah menyuluh kesalahan dan bersikap kritis terhadap Zionism dan negara Israel tidak boleh disamakan dengan permusuhan terhadap Yahudi sebagai satu kaum.

Baca Bahagian 1 dan Bahagian 2

Diterjemahkan oleh Siti Hazneza Abdul Hamid

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted