Oleh Raveen Jeyakumar
Sistem politik dan percukaian di Malaysia mahupun dalam kebanyakan negara lain lebih memihak golongan kaya, para pelabur asing dan syarikat-syarikat multinasional.
Kebanyakan dalam golongan ini hanya mementingkan kekayaan untuk diri sendiri serta pemegang saham mereka, dan tidak mengambil berat tentang keadaan sosioekonomi serta kebajikan rakyat biasa.
Mereka tidak rasa apa-apa tanggungjawab untuk menyumbang sebahagian daripada kekayaan mereka melalui percukaian untuk membangunkan keadaan sosioekonomi rakyat biasa.
Sebaliknya, mereka berfokus terhadap cara-cara membayar sesedikit cukai yang mungkin – ataupun untuk mengelak membayarnya sama sekali – bagi memaksimumkan keuntungan mereka.
Kebanyakan kerajaan, termasuk Malaysia, bersaing antara satu sama lain untuk mengenakan tahap percukaian yang paling rendah serta mengekalkan perundangan yang longgar. Mereka membuat ini bagi menarik lebih pelaburan dan perdagangan oleh golongan kaya tersebut.
Tahap percukaian amat rendah tersebut adalah salah satu faktor utama kerajaan-kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk membangunkan kualiti kehidupan rakyat. Ia juga melebarkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi antara golongan terkaya dan rakyat biasa.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Sistem politik dan percukaian yang begitu berat sebelah adalah tidak mampan dalam jangka panjang. Semakin jurang ketidaksamaan tersebut melebar, pergolakan sosial dalam kalangan rakyat biasa akan mendidih apabila mereka menyedar bahawa sistem politik yang berat sebelah adalah punca utama masalah sosioekonomi mereka. Ini pula akan mengancam kestabilan kerajaan.
Oleh itu, untuk mempertingkatkan kesejahteraan rakyat, menaikkan sokongan rakyat terhadap kerajaan dengan tinggi, dan menambahbaik kestabilan politik, kerajaan Malaysia harus mereformasikan sistem percukaian negara bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
Kerajaan perlu melaksanakan beberapa langkah utama. Ini perlu dilakukan secara kolektif dengan negara-negara Asean yang lain untuk mengurangkan kemungkinan penarikan keluar pelaburan oleh golongan kaya dan melarikan diri dari negara untuk mengelak daripada membayar cukai lebih tinggi serta mematuhi perundangan lebih ketat.
Pertama, semua negara Asean perlu secara kolektif dan beransuran mengubah struktur cukai terhadap keuntungan modal, sama ada ia dijual atau tidak (realised or unrealised capital gains tax), dengan mengenalkan suatu ‘bunga ekuiti secara teori’ (notional equity interests) terhadap aset-aset golongan kaya.
Di bawah kaedah percukaian tradisional, cukai keuntungan modal dikenakan ke atas keuntungan yang diperoleh daripada penjualan aset yang telah meningkat dalam nilai – iaitu cukai keuntungan modal ke atas jumlah lebihan sebenar selepas penjualan aset. Amalan biasa adalah, cukai hanya ditanggung jika aset itu dijual dalam tempoh tertentu (katakan, lima tahun).
Di mana penilaian aset tertentu adalah lebih sukar, kaedah bunga ekuiti secara teori boleh digunakan. Di bawah kaedah ini, kerajaan berhak mendapat pegangan saham tahunan secara teori (katakan 1%) daripada pegangan saham atau aset lain yang dimiliki golongan kaya. Selepas pelupusan saham atau aset ini, jumlah diperolehi oleh kerajaan sepanjang tempoh tersebut kemudiannya dibayar sebagai cukai. Sebagai alternatif, bayaran pendahuluan cukai secara tahunan boleh dibuat dengan pelarasan akhir semasa pelupusan.
Ini menyingkirkan kesukaran menilai aset kompleks untuk mengenakan cukai terhadapnya. Ia juga menyingkirkan insentif bagi golongan kaya untuk menangguhkan penjualan (merealisasikan) aset mereka – iaitu selepas tempoh percukaian – untuk mengelak daripada membayar cukai keuntungan modal ke atas jualan aset tersebut.
Jika orang kaya menangguhkan pembayaran cukai bunga ekuiti secara teori (sebalik daripada membuat bayaran tahunan), tetapi kemudian melaburkan semula kecairan (liquidity) berlebihan dalam perniagaan atau harta mereka, kerajaan juga akan mendapat sebahagian wang yang dilaburkan semula itu melalui suatu lagi bunga ekuiti secara teori.
Kadar bentuk cukai ini akan berkembang berdasarkan kadar pulangan yang dijana oleh aset-aset yang ditetapkan tersebut.
Kedua, semua negara Asean perlu secara kolektif dan beransuran meningkatkan cukai pendapatan korporat (corporate tax) terhadap golongan syarikat berpendapatan tinggi dalam negara masing-masing.
Ketiga, semua negara Asean perlu secara kolektif dan beransuran meningkatkan cukai pendapatan terhadap golongan kaya dalam negara masing-masing.
Keempat, semua negara Asean harus secara kolektif dan beransuran mengenakan cukai harta pusaka (inheritance tax) terhadap golongan kaya dalam negara masing-masing.
Apabila seorang individu kaya meninggal dunia dan semua harta bendanya (harta, aset kewangan, akaun bank, aset ketara, contohnya kapal layar) dipindahkan kepada orang lain, cukai harta pusaka akan dikenakan terhadap nilai bersih semua harta benda tersebut. Cukai ini harus dibayar oleh mereka yang mewarisi aset-aset tersebut.
Kelima, semua negara Asean perlu secara kolektif dan beransuran mengenakan cukai harta benda (property tax) terhadap golongan kaya dalam negara masing-masing.
Keenam, semua negara Asean perlu secara kolektif mewujudkan suatu pendaftaran awam bagi pemilik sebenar (beneficial owners) syarikat-syarikat dan amanah dalam negara masing-masing.
Tindakan ini akan meningkatkan tahap ketelusan dan membantu menyelesaikan isu penyembunyian pemilikan aset-aset oleh golongan kaya melalui penggunaan syarikat dan amanah dalam tempat perlindungan cukai (tax havens). Ia akan mengurangkan pengelakan pembayaran cukai oleh golongan kaya.
Ketujuh, Asean harus secara kolektif memperkenalkan perundangan dalam negara masing-masing untuk mengharamkan syarikat-syarikat cangkerang yang tidak dikenali (anonymous shell companies).
Ini akan menghalang penyembunyian aset-aset oleh golongan kaya dalam syarikat-syarikat tersebut supaya mereka dapat mengelak daripada membayar cukai terhadap aset-aset yang tidak diisytiharkan tersebut.
Kelapan, semua negara Asean perlu secara kolektif dan beransuran melaksanakan strategi pengewangan hutang, dengan bermula dengan jumlah hutang yang rendah.
Strategi ini adalah di mana sekuriti kerajaan dijual kepada bank pusat sendiri pada kadar bunga yang amat rendah, seperti 0.1%. Secara asasnya, ini bermakna kerajaan meminjam daripada bank pusat sendirinya.
Strategi ini akan memberikan kerajaan dana yang diperlukan tanpa menampung beban perkhidmatan hutang yang sangat besar.
Dengan penjanaan lebih sumber kewangan daripada pelaksanaan lapan langkah-langkah ini, pihak kerajaan dapatlah berbelanja lebih terhadap program-program untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Negara-negara Asean perlu secara kolektif mereformasikan sistem percukaian masing-masing untuk mempertingkatkan kesejahteraan rakyat, menaikkan sokongan rakyat terhadap kerajaan dengan tinggi, dan mencapai kestabilan politik berjangka panjang.
Raveen Jeyakumar, seorang sukarelawan Aliran yang berumur 29 dan bermastautin di Ipoh, berminat dengan isu sosial dan alam sekitar
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme