Seorang tukang kayu berusia 42 tahun baru-baru ini dikenakan hukuman rotan secara terbuka di Terengganu selepas dia ditangkap berkhalwat dengan seorang wanita yang bukan isteri atau saudara terdekatnya.
Di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu yang dipinda 2022, ia merupakan kesalahan yang boleh dihukum.
Peguam dan kumpulan hak asasi manusia, bagaimanapun, bersuara menentang bagi menjaga aib dan hukuman tidak berperikemanusiaan terhadap duda itu. Mereka meminta kerajaan Terengganu untuk mempunyai belas kasihan. Terkejut dengan pendekatan Pas, kumpulan advokasi Sisters in Islam mengingatkan parti itu bahawa tindakan itu bercanggah dengan prinsip teras Islam iaitu keadilan, belas kasihan, ihsan dan maruah manusia.
Namun, kerajaan Terengganu pimpinan Pas cukup bersungguh untuk menjadikan pesalah khalwat ini sebagai contoh kepada umat Islam yang lain. Tampaknya, parti ‘penjaga akhlak’ itu mahu menimbulkan ketakutan di hati orang-orang yang beriman.
Maka pihak berkuasa agama negeri memilih Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu sebagai tempat hukuman rotan ini. Dengan diadakan selepas solat Jumaat yang dihadiri jemaah mingguannya, peristiwa itu dilaporkan disaksikan oleh 70 orang termasuk beberapa ahli parlimen dan petugas media.
Itulah bentuk kebimbangan ‘akhlak’ yang mahu dipamerkan oleh pimpinan Pas. Kepimpinan parti itu mungkin ingin menarik perhatian masyarakat etnik Melayu (baca pengundi), khususnya di luar bandar, terhadap komitmen mereka pada ajaran Islam.
Yang pasti, moral adalah soal melibatkan prinsip-prinsip mengenai perbezaan antara yang benar dan salah.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Namun bagaimana pula untuk kita menjelaskan kurangnya kesungguhan parti itu dalam menyelesaikan masalah kualiti air paip di Kelantan? Agak ramai rakyat biasa di negeri ini seakan dihina kerana terpaksa bergantung kepada air keruh selama beberapa dekad. Bukankah ini juga sesuatu yang tidak bermoral?
Pun begitu, tanggapan dan penerapan akhlak mengikut acuan Pas nampaknya bersifat selektif. Tidaklah berlebihan untuk kita berhujah bahawa idea ‘moral’ parti itu hanya cenderung kepada isu berkaitan seks, pengambilan alkohol dan berpakaian.
Seolah-olah menyapu garam ke atas luka rakyat, kerajaan Kelantan juga turut merasakan ia penting untuk menggunakan dana awam bagi membeli 14 kereta mewah Jerman untuk pegawai tertingginya pada 2020. Wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk mengurangkan kemiskinan dan pengangguran di beberapa bahagian di negeri itu.
Kompas moral sudahpun rosak saatnya kepentingan ahli politik diutamakan berbanding keperluan mendesak rakyat biasa.
Islam mengecam rasuah yang berleluasa di negara ini kerana ia menghakis kualiti kehidupan rakyat kebanyakan.
Namun begitu, Pas begitu bersemangat untuk mengadakan perhimpunan pada awal minggu ini bersama Umno bagi menyokong penjenayah yang sudahpun disabitkan kesalahan, Najib Razak. Bekas PM itu didapati bersalah selepas perbicaraan panjang dalam menggelapkan RM42 juta yang dipindahkan daripada SRC International, bekas unit 1MDB, ke dalam akaun peribadinya.
Benar, seseorang mungkin berhujah bahawa Pas, seperti mana-mana kumpulan lain, mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dalam sebuah demokrasi. Tetapi ramai yang keliru kerana perhimpunan itu diadakan bagi menyokong bekas PM yang jenayahnya telah menyumbang kepada cabaran ekonomi dan politik yang serius di negara ini.
Namun mungkin ia tidaklah begitu memelikkan untuk mengetahui desakan dan tuntutan Pas untuk mengadakan perhimpunan awal minggu ini. Ingat bagaimana Presiden Pas Hadi Awang pernah mengisytiharkan bahawa parti itu perlu mengutamakan pemimpin Islam – walaupun mereka tidak berintegriti?
Perhimpunan tempohari bukanlah untuk mendesak agar wujudnya sistem pilihan raya yang lebih adil, media yang lebih bebas atau perang terhadap rasuah.
Perhimpunan Pas itu diadakan pada hari di mana Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib untuk kebenaran mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya untuk menjalani baki tempoh penjara di bawah ‘tahanan rumah’.
Umno membatalkan perhimpunan yang dirancang sendiri selepas pihak istana mengeluarkan kenyataan yang menggesa orang ramai menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan. Ketua polis negara juga menggesa orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan seperti itu, memetik kenyataan istana.
Pas, bagaimanapun, mengingkari kenyataan itu dan bertekad untuk mengadakan perhimpunannya, dengan sokongan beberapa NGO Melayu dan parti politik.
Bermegah dengan partinya yang ingkar akan kenyataan itu, MP Pasir Mas dari Pas, Ahmad Fadhli Shaari membuat hantaran di Facebooknya sejurus Istana mengeluarkan kenyataan: “Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban.”
Status FBnya yang samar itu menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ahli politik tertentu yang menuduh Fadhli memburuk-burukkan istana – sesuatu yang dinafikan ahli politik Pas itu.
Tindakan parti itu mungkin dilihat sebagai usaha untuk meningkatkan profil politiknya dalam masyarakat Melayu.
Namun sesetengah pihak yang sinis melihatnya sebagai percubaan licik untuk melemahkan Umno dengan menimbulkan pergeseran antara ahli Umno pro-Najib dan ahli Umno lain yang tidak mahu dilihat sebagai tidak menghormati raja.
Desakan untuk meneruskan perhimpunan itu juga boleh ditafsirkan sebagai cubaan Pas dan gabungan Perikatan Nasionalnya untuk mencetuskan perpecahan dalam “kerajaan perpaduan”, apa lagi saatnya Umno ditekan untuk menyokong Najib sedangkan Pakatan Harapan telah menjarakkan diri.
Ia sekali gus menimbulkan kekacauan apabila Pas mendakwa Umno menarik diri daripada perhimpunan itu kerana takut dengan DAP. Kedua-dua parti itu adalah rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim. Ejekan itu pastinya menyengat Umno.
Sungguh ironis apabila parti Islam ini sering menggambarkan dirinya sebagai entiti politik yang mempunyai komitmen moral untuk menyatukan ummah.
Malaysia tidak boleh leka dengan politik yang memecahbelahkan jika mahu terus maju. Politik sebegini berkembang subur dengan mengeksploitasi kaum dan agama sambil mempamerkan kebankrapan moral ahli politik tertentu.
Sebaliknya, marilah kita bersatu bagi mengangkat nilai keadilan, kebebasan, keterangkuman dan belas kasihan. Kita sangat memerlukan pemimpin yang berwibawa, berwawasan dengan asas moral yang boleh menegakkan ketelusan dan akauntabiliti.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme