Dirgahayu penswastaan – demi mendatarkan lekuk Covid dan lonjakan ekonomi

0
162
Gambar dari sebaran dalam Facebook

Shazni Bhai merenung mengenai tren penswastaan yang menular dalam karangan bentuk satira ini.

Ipoh yang sekian lama ini selalunya kalau tak digelar pekan pencen, jika diavatarkan barangkali berupa seorang yang sebelah kaki di tilam empuk, sebelah lagi di jalanan berlopak. Antara lena dan jaga. Mamai.

Apa lagi bab politik.

Minggu pertama bulan Oktober di Ipoh, kain putih jadi bahan berita. Dua bidang kain rentang dipasang di dua lokasi berasingan. Sunyi. Waktu ia berlaku, malam, memang di situ sepi. Nak pula semenjak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Tapi kalau siang, kebiasaannya kedua-dua lokasi itu memang sibuk dengan orang ramai dan kenderaan yang tak haus putus lalu lalang.

Satu tempat itu salah satu lubuk warga pekan isi perut, menyarap atau waktu tengah hari rembang membawa ke minum petang. Daripada kerja dewan bandaraya menyapu sampah sampaikan ke yang berkereta setengah juta bertandang ke mari.

Yang satu lagi lokasi di jejambat menyeberang ke tempat orang hidup, separuh nyawa, mati, mahu pun dihidupkan kembali. Hospital Besar nama lamanya yang kini ditukar kepada sempena nama mantan raja permaisuri negeri.

Satu kain rentang bertulisan cat mural ‘RAKYAT JAGA RAKYAT MENTERI JAGA POKET’ satu lagi dengan carutan kepada politik, 317 kes. Kedua-duanya dipamerkan buat tatapan sekalian rakyat sejagat raya di dua lokasi tumpuan ramai. Kedua-duanya sebagai muntah rasa lantunan daripada kenaikan kes mendadak dilaporkan pada 3 Oktober 2020.

Gambar dari sebaran dalam Facebook

Setakat ini pihak polis telah membuka dua kertas enkuiri polis untuk menjalankan siasatan ke atas kedua-dua kejadian kain rentang tersebut.

Berhenti sejenak barang tiga saat, dan tanya diri masing-masing. Apa maknanya perbuatan ini? Bukankah ini subversif dan menghina.

READ MORE:  Edict kecam kes penderaan ke atas tahanan di Penjara Pulau Pinang

“Kecil kecil tak mahu mampus, besar besar menyusahkan orang.”

Siapa saja rakyat Malaysia yang tak pernah dengar ungkapan ini. Pastinya dulu pembikin kain rentang itu bersekolah kerajaan. Kalau sekolah swasta tak mungkin buat kerja-kerja terkutuk sedemikian. Dengan itu kita atur semula ungkapan di atas;

“Kecil kecil tak mahu sekolah swasta, besar besar menyusahkan orang.”

***

Tuan tuan puan puan abang adik kakak sekalian rakyat, percayalah bahawasanya penswastaan dapat menghapuskan bukan sahaja bilangan kes Covid di kala rewakan meranah ini malahan amalan rasuah di negara kita. Tak lupa ia juga dapat menyelesaikan kegawatan ekonomi yang ditimang jongkang-jongket kehambaran akibat kelaziman baharu. Sapu semua habis bersih.

Sepertimana cekap dan selamat bekalan air yang kita gunakan setiap hari diuruskan badan swasta, begitulah kita harus sokong penswastaan kesemua sektor-sektor lain. Dari sekecil-kecil butir ubat gigi yang dikesat nyaris nak tunggu gaji masuk, hinggalah yang semega langit.

Hatta demikian, eloklah pusat tahanan dan penjara di negara ini diswastakan. Kluster yang timbul jadi punca kemunculan naik drastik lekuk graf jangkitan, yang cetuskan gelombang ketiga hampir semuanya disebabkan sistem penjara dan pusat tahanan negara ini yang masih belum diswastakan. Tidak berdaya saing dan cekap. Lebih utama, tak untung sikit pun.

Lagi molek kalau pasukan polis pun diswastakan juga, pasti lebih tangkas dapat berkas petualang kain rentang itu di Ipoh. Petualangan kain rentang itu adalah onar yang berat lagi mudarat. Ia harus diambil serius semua pihak. Natijahnya sekalian rakyat dalam kumpulan 40% yang terbawah dan kelas 40% pertengahan khususnya yang bekerja sendiri kini kehilangan sumber pendapatan.

Ia juga telah menyumbang kepada gelombang ketiga rewakan meranah yang makin kritikal bilangannya kini. Sebilangan besar rakyat Ipoh yang ditemuramah marah dan terjejas dek pengkhianatan itu.

READ MORE:  Edict kecam kes penderaan ke atas tahanan di Penjara Pulau Pinang

“Macam tabur pasir ke periuk nasi orang. Sejak bubuh kain rentang itu, makin kurang sangat orang datang ke kedai kami. Kurang ajar.” Kata salah seorang peniaga gerai makan yang enggan dikenali namanya.

Bukan itu sahaja, kalau pasukan polis diswastakan, nescaya amalan rasuah boleh dihapuskan. Bagaimana? Apabila amalan pengambilan wang dibenarkan, dihalalkan, diharmonikan (kita jadi pelanggan, maka memang fitrahnya kita perlu bayar untuk perkhidmatan yang ditawarkan) jadi ia bukan lagi dikira sebagai rasuah. Indeks rasuah akan jatuh merudum. Mudah dan tuntas.

Barangkali kita perlukan polis karma. Tapi apakan daya Malaysia Baharu yang patutnya bawakan polis karma sudah luntur terlingkup. Sedangkan itulah yang dinantikan generasi alaf ini. Walau kepala mereka telah tersentap, merajuk, lalu letak jawatan di kala juak-juak kem politik sedang menari langkah melangkah di lantai hotel mewah, namun serpihan anak benih penyembah neoliberal masih bernafas dan rancak melobi. Mungkin mereka ini yang boleh diharapkan demi membawa ke bumi ini polis karma yang diswastakan. Kita redha sajalah.

Di kala perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di beberapa wilayah ini, dan penangguhan pendaftaran secara fizikal kemasukan ke kampus telah menyebabkan ada para siswa kita yang terkandas. Tambah pula sekolah-sekolah yang masih ditutup. Tapi ibu bapa ramai yang perlu bekerja, bukan? Usah pening-pening, bayangkan saja kalau adanya penjara swasta yang membuka pendaftaran kemasukan kepada orang ramai.

Rakyat tak patuh kepada perintah, ingkar SOP dan PKP? Penjarakan sahaja. Jangan tunggu hingga nusa ini kucar kacir seperti jiran-jiran kita.

Anda hilang punca rezeki, tertekan akibat rewakan meranah ini? Apa perlunya ikat kain rentang carutkan politikus, mohon saja masuk ke penjara swasta. Makan pun tanggung, melabur pun cangkung!

READ MORE:  Edict kecam kes penderaan ke atas tahanan di Penjara Pulau Pinang

Shazni Bhai ialaah seorang aktivis alam sekitar

Sign Aliran's 'Save our Democracy" petition
Sign Aliran's petition calling for a review of the decision to grant Riza Aziz a DNAA
Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments