Bila gaji tidak cukup untuk rumah sendiri

Cabaran senyap masyarakat India di Mak Mandin dan Seberang Jaya

AI-GENERATED IMAGE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Dhanapal Rengasamy

Secara zahirnya, kadar kemiskinan di Malaysia semakin menurun. Tetapi masalah kos sara hidup, khususnya di kawasan bandar, masih menjadi cabaran besar kepada masyarakat berpendapatan rendah.

Menurut Jabatan Perangkaan, kadar kemiskinan mutlak Malaysia menurun daripada 6.2% pada tahun 2022 kepada 5.1% pada tahun 2024. Bagi masyarakat India pula, kadar kemiskinan menurun daripada 5.4% kepada 3.1% dalam tempoh yang sama.

Namun begitu, penurunan kadar kemiskinan tidak bermakna semua keluarga berpendapatan rendah menikmati kehidupan yang selesa.

Harga rumah yang tidak mampu dimiliki

Masalah perumahan merupakan salah satu cabaran utama. Kerajaan menyediakan rumah mampu milik untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Namun, harga rumah sekitar RM300,000 masih dianggap tinggi bagi sesetengah keluarga yang mempunyai pendapatan rendah atau tidak tetap.

Malah, pada suku pertama 2026, terdapat kira-kira 32,800 unit rumah siap yang masih belum terjual. Daripada jumlah itu, sekitar 15,400 unit berharga RM300,000 dan ke bawah.

Keadaan ini menunjukkan bahawa masalah perumahan bukan semata-mata disebabkan kekurangan rumah, tetapi juga disebabkan oleh kemampuan rakyat untuk membelinya.

Dalam keadaan seperti ini, muncul kelompok yang boleh kita anggap sebagai ‘miskin bandar baharu’. Mereka mungkin mempunyai pekerjaan dan pendapatan. Tetapi pendapatan itu tidak mencukupi untuk memiliki rumah, membina simpanan dan menikmati kehidupan yang stabil.

Mereka terpaksa menyewa, menumpang atau berpindah-randah apabila tidak lagi mampu membayar kos perumahan.

Miskin bandar baharu di Mak Mandin

Keadaan ini juga boleh dilihat dalam kalangan sebahagian masyarakat India di Mak Mandin dan Seberang Jaya. Kita tidak boleh mengatakan bahawa semua masyarakat India di kedua-dua kawasan ini miskin.

Namun, terdapat keluarga yang berhadapan dengan pendapatan rendah atau tidak tetap. Sebahagian mereka bekerja sebagai pekerja kilang, pekerja kontrak, pemandu e-hailing, pekerja sambilan dan dalam pekerjaan tidak tetap yang lain.

READ MORE:  Do Indian Malaysians feel shortchanged by the education system?

Apabila pendapatan tidak menentu, kehidupan keluarga menjadi lebih tertekan. Masalah ini menjadi lebih berat apabila mereka tidak mempunyai rumah sendiri.

Walaupun terdapat kemudahan perumahan seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR), tidak semua keluarga berpendapatan rendah mampu memiliki rumah. Ada yang masih menyewa dan ada yang terpaksa menumpang bersama keluarga atau saudara-mara.

Pendapatan yang diperoleh pula banyak digunakan untuk membayar sewa rumah, makanan, pengangkutan, bil dan hutang. Akhirnya, tidak banyak wang yang tinggal untuk simpanan atau keperluan pendidikan anak-anak.

Mak Mandin sesuai dijadikan kajian kes. Kawasan ini mempunyai kawasan perindustrian, perumahan PPR dan komuniti India yang telah lama bertapak. Kedudukan ini menyebabkan kita dapat melihat dengan lebih jelas hubungan antara pekerjaan, pendapatan, perumahan dan kehidupan keluarga berpendapatan rendah.

Pendidikan: peluang dan cabaran

Dalam aspek pendidikan pula, kita perlu berhati-hati daripada mengatakan bahawa kebanyakan kanak-kanak daripada keluarga miskin tercicir.

Hakikatnya, kemiskinan boleh meningkatkan risiko keciciran, tetapi tidak semestinya menyebabkan semua anak keluarga miskin tercicir. Malah, terdapat usaha masyarakat setempat untuk mengelakkan perkara ini berlaku.

Di Mak Mandin, misalnya, terdapat sebuah sekolah Tamil yang besar dan mempunyai pelbagai kemudahan pembelajaran. Beberapa kelas turut dilengkapi TV pintar bagi membantu guru menjalankan pengajaran dengan lebih menarik. Kawasan sekolah yang luas juga membolehkan guru dan murid menjalankan pelbagai aktiviti. Selain pendidikan formal, terdapat juga kelas bimbingan untuk murid Tahun 4, 5 dan 6 serta pelajar STPM. Walaupun kelas ini berbayar, kadar bayaran masih diusahakan supaya tidak terlalu membebankan keluarga.

Di Seberang Jaya pula, terdapat usaha mengadakan kelas bimbingan selepas waktu sekolah. Kelas ini disediakan untuk murid Tahun 4, 5 dan 6 serta pelajar Tingkatan 4 dan SPM. Usaha sekolah, pihak kuil dan masyarakat setempat ini menunjukkan bahawa komuniti masih mempunyai kesedaran untuk membantu anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah.

READ MORE:  Modi, Vijay and the battle for Indian Malaysian political attention

Namun begitu, persoalannya bukan hanya tentang kewujudan kemudahan. Adakah semua ibu bapa mampu dan bersedia memanfaatkan peluang yang disediakan?

Ada ibu bapa yang mungkin menghadapi kekangan kewangan, kesibukan bekerja atau masalah keluarga. Ada juga yang kurang memberikan perhatian terhadap pendidikan anak-anak. Keadaan ini boleh menyebabkan anak-anak tidak mengambil kesempatan daripada peluang pendidikan yang tersedia.

Jika masalah ini berterusan, kesannya mungkin dirasai apabila anak-anak meningkat dewasa. Pendidikan yang rendah boleh menyebabkan mereka hanya mempunyai pilihan pekerjaan berpendapatan rendah. Mereka kemudiannya membina keluarga dalam keadaan ekonomi yang sama.

Akhirnya, berlaku satu kitaran yang sukar diputuskan. Pendapatan rendah menyebabkan peluang pendidikan terbatas, dan pendidikan yang rendah pula menyebabkan peluang pekerjaan yang baik semakin sempit.

Bukan sekadar soal pendapatan

Oleh itu, masalah kemiskinan bandar dalam masyarakat India di Mak Mandin dan Seberang Jaya tidak boleh dilihat hanya dari sudut pendapatan.

Masalah ini perlu dilihat secara lebih menyeluruh, termasuk perumahan, kestabilan pekerjaan, hutang, kos sara hidup dan pendidikan anak-anak.

Bantuan kerajaan penting, tetapi peranan sekolah, kuil, pertubuhan masyarakat dan ibu bapa juga amat diperlukan.

Kesimpulannya, walaupun kadar kemiskinan semakin menurun, masih terdapat keluarga yang hidup dalam keadaan ekonomi yang rapuh. Mereka mungkin tidak tergolong sebagai miskin mengikut ukuran rasmi.

Tetapi kehidupan mereka masih sangat terdedah kepada kenaikan sewa, harga makanan, kos pengangkutan, hutang dan kehilangan pekerjaan. Inilah kelompok yang wajar diberi perhatian sebagai miskin bandar baharu.

Mak Mandin dan Seberang Jaya boleh dijadikan contoh penting untuk memahami cabaran ini. Contoh ini turut menunjukkan usaha komuniti untuk membantu masyarakat India berpendapatan rendah keluar daripada lingkaran kemiskinan.

READ MORE:  Malaysia doesn't lack wage reviews. It lacks wage reform

Dr Dhanapal Rengasamy, seorang ahli Aliran, ialah bekas pendidik dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted