Bahan api bio: Penyamaran ‘hijau’ untuk industri tenaga bio dan pembalakan?

55 views
Kesan laluan jet - CAROL YONG

Dalam tahun 1995, sejumlah 15.4 hektar (38 ekar) tanah nenek moyang penduduk asli Temuan di Kampung Bukit Tampoi, Dengkil, telah ‘dirampas’ oleh pihak berkuasa negeri Selangor untuk pembinaan lebuh raya Banting-Nilai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Berapa orang di kalangan Orang Asli Kampung Bukit Tampoi yang pernah, malah mampu menaiki pesawat, sedangkan mereka diusir keluar oleh pihak polis untuk mengosongkan kediaman mereka untuk lebuh raya baru itu?

[Tujuh buah keluarga mewakili penduduk Kampung Bukit Tampoi telah membawa kes ke mahkamah dan menyaman Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan kontraktor United Engineers Malaysia Bhd (Kumpulan UEM) kerana paksaan pengusiran. Pada April 2002, Hakim-hakim Mahkamah Tinggi telah mngiktirafkan hak tanah pusaka orang Temuan, dan juga memutuskan bahawa Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah melanggar tugas kewajiban mereka melindungi hak-hak tanah Orang Asli. Mahkamah mengarahkan pembayaran pampasan kepada plaintif-plantif Temuan, tetapi Kerajaan Negeri Selangor Barisan Nasional ketika itu telah membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Dalam tahun 2009, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor menarik balik rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Kes ini diselesaikan pada 26 Mei 2010, dengan pampasan RM6.5 juta diberikan kepada plaintif-plantif Temuan.

Kes Sagong Tasi & 6 Otrs v Kerajaan Negeri Selangor & 3 Otrs, Guaman Sivil No: MTI-21-314-1996 dalam Mahkamah Tinggi di Shah Alam; Sagong Tasi & Others v Kerajaan Negeri Selangor & Others [2002]; Kerajaan Negeri Selangor v Sagong Tasi & Otrs [2005]. Untuk maklumat lanjut, rujuk ke rencana ini]

Bukan sahaja rampasan tanah untuk lebuh raya yang menghantui Orang Asli. Juga yang membimbangkan ialah pencerobohan, eksplotasi dan pengambilan tanah adat Orang Asli/Asal dan tanah milik masyarakat miskin bukan-pribumi oleh pihak lain, termasuk pihak kerajaan sendiri. Tanah ini digunakan untuk projek-projek ‘pembangunan’, seperti industri balak, pembinaan empangan, perlombongan dan perladangan komersial berskala besar, terutamanya kelapa sawit.

Orang Asal sudah lama sara hidup dengan bercucuk tanam dan mengutip-memburu. Amat menyedihkan nasib mereka yang ditindas, semakin kehilangan hak tanah dan hak keperluan mereka, serta dinyahkan dari kampung asal mereka dengan sewenang-wenang.

Sebaliknya, kerajaan tetap ‘melindungi’ kepentingan industri kelapa sawit. Lebih-lebih lagi kini, industri minyak sawit Malaysia cuba mendapat manfaat daripada dasar tenaga boleh diperbaharui seperti termaktub dalam Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui Kesatuan Eropah (EU).

READ MORE:  Reject reclamation, save our seas

Tetapi industri sawit Malaysia menghadapi masalah utama dengan dasar EU ini – bahan api bio daripada minyak sawit untuk kegunaan Eropah ditamatkan menjelang 2021 dan yang berasaskan tanaman akan ditamatkan menjelang 2030.

Malaysia dan Indonesia adalah pengeluar minyak sawit terbesar di dunia dan, tidak menghairankan, telah membawa kes berasingan dengan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), mendakwa langkah EU ini adalah diskriminasi.

Bahan api jet bio untuk mengaburi pencemaran udara?

Pesawat membakar sejumlah besar bahan api jet, yang menghasilkan sejumlah besar karbon dioksida, gas rumah hijau yang berbahaya, dan mewujudkan aerosol dan karbon hitam. Udara tercemar mempunyai kesan buruk kepada manusia dan spesies lain, alam sekitar, suhu planet dan iklim.

Industri penerbangan mula ‘beraksi hijau’. Pembuat pesawat dan syarikat penerbangan terpikat dengan bahan api bio sebagai pilihan ‘bersih’ untuk pengangkutan udara. Oleh kerana bahan api bio menghasilkan kurang jelaga (soot), mereka dianggap kurang merosakkan.

Kesatuan Eropah memberi insentif kepada bahan api bio sebagai alternatif kepada bahan api fosil untuk kegunaan syarikat penerbangan kerana ia menganggap ini boleh membantu menurunkan jejak karbon EU, yang disasarkan akan jadi neutral karbon pada 2050.

Hatta, tenaga ‘hijau’, ‘bersih’ dan bahan api pengangkutan boleh diperbaharui yang ‘rendah karbon’ (iaitu bahan api bio) mempunyai rayuan yang menarik. Tenaga and bahan ini dipercayai adalah tenaga ‘mampan’ masa depan untuk sektor penerbangan, serentak cadangan kegunaan kenderaan darat kuasa eletrik.

Lebih penting lagi, Suruhanjaya Eropah mempunyai cita-cita iklim yang tinggi – untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau EU sekurang-kurangnya 55% menjelang 2030.

Minyak sawit bukan tiada gantinya

Memang ada percanggahan tertentu antara EU dan Malaysia. Antara lain, EU di bawah tekanan untuk memberi tumpuan kepada bahan api bio generasi kedua, yang bukanlah demi kepentingan industri minyak sawit.

Bahan api bio generasi kedua diperbuat daripada biomass (contohnya kayu terbakar), sisa pertanian atau sisa dan makanan ternakan seperti alga, halophytes, jatropha dan camelina. Bahan api bio generasi pertama pula diperoleh daripada minyak tanaman, tebu dan jagung.

Bahan api bio generasi pertama bukan pilihan bahan api yang berkelanjutan untuk pengangkutan udara kerana ia dihasilkan dari tanaman makanan yang tertakluk kepada turun naik harga pasaran.

Kesatuan Eropah juga telah mengambil posisi tegas mengenai pelanggaran hak asasi manusia dan pelupusan hutan yang berpunca daripada perusahaan perladangan kelapa sawit. Kebanyakan ladang kelapa sawit komersial, baik milikan kerajaan dan swasta, berskala besar untuk menjana keuntungan. Manalah boleh dicari kawasan tanah meluas begini? Petikan dari Memorandum Jaringan Kampung Orang Asli (JKOA) Perak dalam tahun 2008, yang masih realiti hari ini – mengawal, menggertak, menakut-nakutkan, mempermudahkan penindasan Orang Asli serta perampasan Tanah Adat kami – adalah sesuatu untuk direnungkan.

READ MORE:  Perhatian: Dugong berisiko kepupusan!

Banyak melobi sedang berlaku, oleh Kesatuan Eropah dan juga melalui usaha tajaan industri untuk mendorong ‘bahan api hijau’ – bukan sembarang bahan api tetapi bahan api bio generasi kedua – untuk kegunaan dalam sektor pengangkutan khususnya industri penerbangan.

Walau bagaimanapun, bahan-bahan yang sesuai untuk pengeluaran bahan api bio generasi kedua tidak tersedia dalam kuantiti yang mencukupi pada masa ini. Jelas, bahan api bio ini untuk kegunaan pesawat belum bersedia untuk berlepas.

Fokus Kesatuan Eropah terhadap bahan api bio generasi kedua tidak bermakna bahan api berasaskan minyak sawit tidak mendapat pasarannya. Malaysia misalnya mengejar pembeli ‘sukarela’ lain, termasuk China, India, Turki, Arab Saudi dan Amerika Selatan.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia tidak berhasrat untuk melepaskan pasaran Kesatuan Eropah, seperti yang dilihat dalam misi perdagangan yang berterusan ke Eropah, melobi negara-negara anggotanya, menganjurkan pameran perdagangan kelapa sawit di Eropah, dan yang paling penting, membawa kes pertikaian terhadap Kesatuan Eropah ke WTO.

Talian politik-ekonomi-perdagangan senjata

Kini ada juga persatuan pekebun kecil tertentu dilaporkan meminta kerajaan Malaysia memberi tekanan kepada Kesatuan Eropah berkaitan boikot minyak sawit Malaysia, tanpa ragu-ragu mencadangkan menggunakan pakej ‘rundingan perniagaan-perdagangan senjata’.

Saya teringat bahawa hubungan politik-perdagangan, khususnya perolehan senjata dan peralatan ketenteraan, adalah strategi yang sering digunakan untuk mengesahkan model ekonomi kapitalis dan politik yang dominan.

Nah, bukankah pada tahun 1990-an sudah ada skandal pembiayaan kerajaan Inggeris (Perdana Menteri pada waktu itu Margaret Thatcher) untuk pembinaan Empangan Pergau di Kelantan, dikaitkan dengan perjanjian pembelian senjata? Di bawah perjanjian itu, kerajaan Malaysia (era bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Pertahanan Najib Razak) bersetuju untuk membeli lebih £1bn peralatan ketenteraan British (Tim Lankester, The Politics and Economics of Britain’s Foreign Aid: The Pergau Dam Affair, 2013, Routledge).

Dan mengapa delegasi Perancis berpangkat tinggi ke Malaysia pada Januari 2018 secara terbuka memindahkan kedudukan Perancis jauh dari arahan Kesatuan Eropah untuk pengharaman bahan api berasaskan minyak sawit ke arah bekerjasama pula?

READ MORE:  Biofuels: 'Green' camouflage for big bioenergy and forestry industries?

Seperti pandangan terbuka bekas PM-kali kedua Mahathir juga: “Kerajaan mungkin terpaksa menghentikan pembelian kapal terbang termasuk pesawat jet dari negara Eropah sebagai membalas tindakan Kesatuan Eropah yang memboikot serta memburukkan imej minyak kelapa sawit negara di mata dunia.”

Kepentingan siapa mendapat keutamaan?

Terdapat banyak isu penting berkaitan industri perladangan dan pembakalan berskala besar, serta sumber tenaga boleh diperbaharui dan soal bahan api bio minyak sawit Malaysia yang kekal.

Contohnya termasuk:

  • Masyarakat miskin Orang Asal dan bukan pribumi kehilangan tanah dan sumber mata pencarian mereka kepada beberapa individu kaya, syarikat/pemilik perladangan dan pembalakan, dan elit politik
  • Kemusnahan alam sekitar, termasuk kehilangan biodiversiti, spesies dan hidupan liar terancam; hakisan; kitaran iklim ekstrim (contohnya tanah runtuh, banjir kilat, kemarau)
  • Insiden keganasan terhadap pekerja ladang (dilaporkan dan tidak dilaporkan), terutamanya terhadap kanak-kanak perempuan dan wanita
  • Isu-isu para pekerja asing/migran tanpa dokumen dan berdokumen, serta komuniti perladangan tempatan iaitu orang dewasa dan kanak-kanak yang terdesak di kawasan pedalaman, termasuk hak asasi pekerja, gaji hidup yang layak, perumahan yang selamat dan mencukupi, akses kepada kesihatan dan pendidikan, dan eksploitasi sosial dan gender

Memandangkan isu-isu ini berkembang, adalah penting untuk mendedahkannya dan memberi tekanan kepada kerajaan dan sektor perindustrian untuk mengambil tindakan konkrit untuk menyelesaikannya, bukannya bersembunyi di bawah kemelut ekonomi ‘hijau’ atau ‘rendah karbon’, dengan harapan ini akan cukup untuk menangani krisis iklim.

Adalah penting untuk bertanya: Adakah hasil daripada eksport minyak sawit digunakan untuk pembangunan sejati, terutamanya bagi pembangunan kawasan dan masyarakat terpinggir di Malaysia? Atau adakah mereka digunakan oleh golongan elit politik semata-mata untuk kepentingan sempit politik mereka dan mempertahankan status quo?

Hai! Lihatlah sahaja pengalaman dan kehidupan rakyat biasa, cukup tanda-tanda bahawa kepentingan peribadi sejumlah kecil golongan elit dan politik tertentu yang berkuasa, penyokong mereka dan syarikat-syarikat besar – baik di Timur atau di Barat – mendapat keutamaan daripada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Carol Yong adalah penyelidik dan penulis bebas

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments