Dalam surat berita ini, kita akan melihat bagaimana dunia yang kita diami sekarang berubah dengan radikal dek kerana kecerdasan buatan (AI) dengan menyentuh beberapa kesan dan implikasi utamanya.
Kemunculan AI menjadikan idea garda depan oleh Alvin Toffler dalam bukunya Future Shock dalam tahun 1970 – tentang “masyarakat pasca industri” yang akan datang – seakan sudah lapuk.
Bagaimanapun, Toffler memang meramalkan bahawa dunia kita akan menghadapi perubahan yang berterusan. Beliau merasakan bahawa barangan yang digunakan pelanggan akan menjadi semakin bersifat pakai buang, reka bentuk produk akan mempunyai jangka hayat yang singkat, set kemahiran pekerja dan profesion akan berubah dengan cepat, sebahagian besar penduduk global akan menjadi nomad, iaitu, akan berlaku penghijrahan yang meluas dan sebagainya.
Semua ini telah pun berlaku. Menulis buku keduanya, The Third Wave, pada tahun 1980, Toffler telah meramalkan bagaimana masyarakat berasaskan pengetahuan akan mengubah hidup kita secara besar-besaran – walaupun beliau tidak meramalkan dengan tepat bagaimana AI khususnya akan mengubah dunia.
Kesan AI
Hari ini, hampir tidak ada masa yang berlalu tanpa kita tidak membaca atau melihat sesuatu yang disiarkan dalam media sosial tentang AI.
Saya telah mengambil kebebasan untuk menggunakan alat AI yang meluas, ChatGPT, untuk meringkaskan apa yang Jensen Huang, Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, syarikat bernilai berbilion dolar yang merupakan pelopor kepada kecanggihan AI, katakan sebagai kesan AI terhadap masyarakat:
- AI ialah salah satu kemajuan teknologi paling berkuasa dalam sejarah, setanding dengan ciptaan internet dan elektrik. Huang sering menyoroti bagaimana AI berpotensi untuk merevolusikan setiap industri dengan menjadikan sesuatu proses lebih cekap dan membolehkan wujud keupayaan baharu
- AI boleh mengautomasikan tugasan yang berulang, membebaskan pekerja manusia untuk memberi tumpuan kepada aktiviti yang lebih kreatif dan kompleks. Ia boleh meningkatkan produktiviti dan inovasi dengan ketara
- AI boleh memainkan peranan penting dalam menangani perubahan iklim dan menggalakkan kemampanan alam. Huang telah menegaskan bahawa AI boleh mengoptimumkan penggunaan tenaga, mengurangkan sisa dan menyumbang kepada pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui.
- Walaupun AI boleh memacu pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baharu, ia juga menimbulkan cabaran seperti perpindahan pekerjaan. Huang menyokong dasar dan program pendidikan untuk melatih semula pekerja dan menyediakan mereka dengan ekonomi yang dipacu AI
- Beliau menyedari kepentingan menangani implikasi etika dan sosial AI. Ini termasuklah memastikan sistem AI adalah adil dan telus, serta menghormati ruang peribadi. Huang menyokong usaha untuk membangunkan garis panduan dan piawaian untuk pembangunan dan penggunaan AI yang bertanggungjawab
- Nvidia telah berada di barisan hadapan dalam penyelidikan dan pembangunan AI. Huang sering bercakap tentang bagaimana teknologi Nvidia, seperti unit pemprosesan grafik (GPU) dan rangka kerja pembelajaran mendalam, membolehkan penemuan baru dalam AI
Untuk ‘peminat’ AI, cubalah sekilas melihat video Jensen Huang yang memberikan pandangannya sendiri tentang ‘future shock’:
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Huang sangat yakin dan positif tentang kesan AI dan berpendapat bahawa ia akan meningkatkan semua aspek kehidupan manusia.
Cabaran etika
Pandangan yang lebih menggelisahkan tentang AI ialah berkait dengan penggunaannya dalam kehidupan seharian kita, di mana ia akan menimbulkan banyak isu etika, tadbir urus dan undang-undang yang serius yang perlu ditangani segera. Saya hanya akan menyentuh beberapa aspek yang lebih serius dalam masalah ini.
Isu yang serius ialah aplikasi AI yang mengakibatkan berlakunya berat sebelah dan diskriminasi dalam banyak dimensi kehidupan sosial.
Ambil contoh mudah: jika alat AI tertentu hanya berpusatkan kepada kaum lelaki, ia akan mewujudkan berat sebelah dan diskriminasi terhadap wanita. Ini juga berlaku melibatkan bentuk berat sebelah yang lain. Individu dan syarikat mereka yang di belakang pembangunan AI tertentu pastinya akan membawa bias nilai mereka serta syarikat mereka sendiri.
Syarikat AI merupakan syarikat yang mengaut keuntungan, oleh itu etika dan moral tidak akan menjadi keutamaan atau pertimbangan dalam penggunaan alatan dan produk AI. Dalam senario terburuk, alatan AI telah digunakan untuk menghasilkan deepfakes untuk tujuan politik serta hal yang tidak beretika lainnya.
Jadi peraturan yang komprehensif untuk mengawal kemajuan AI diperlukan supaya risiko berat sebelah dan cabaran etika tersebut dihapuskan atau sekurang-kurangnya diminimumkan.
Satu lagi bidang yang membimbangkan ialah penggunaan AI dalam penjagaan kesihatan. Implikasinya bukan hanya kehilangan pekerjaan kepada pekerja penjagaan kesihatan. Universiti Tsinghua pada tahun ini akan melancarkan hospital AI pertama di dunia, kononnya mampu merawat 3,000 pesakit setiap hari.
Cabaran etika segera kelihatan. Adakah pesakit akan selesa untuk berinteraksi dengan doktor atau jururawat robotik?
Doktor manusia biasanya mempunyai peranan untuk memaklumkan dan memberi jaminan kepada pesakit tentang akibat daripada pembedahan atau penggunaan dadah. Di mana kemudiannya, pesakitlah yang akhirnya akan memutuskan pilihan rawatan dan ubat-ubatannya dengan berhubung melalui manusia lain.
Bagaimanakah isu asas seperti perlindungan pesakit dikawal dalam hospital yang dikendalikan oleh AI yang dikendalikan nanti kebanyakannya oleh robot?
Satu lagi implikasi serius AI ialah bagaimana ia akan menjejaskan dunia yang dilanda perang seperti yang kita diami kini. Bagaimanakah kita mengehadkan atau mengawal penggunaan AI untuk membangunkan sistem senjata terkini? Adakah PBB atau mana-mana badan antarabangsa lain dapat mengawal perkembangan sedemikian?
Penggunaan model dan penyelidikan AI dalam kompleks industri ketenteraan kuasa global dunia juga sudah cukup jelas. Malangnya, tiada kawal imbang terhadap perkembangan tersebut.
Jadi walaupun benar bahawa AI telah berubah dan akan terus mengubah dunia kita menjadi lebih baik, ia sama sekali tidak jelas bahawa ia adalah ubat penawar untuk keadaan semasa keadaan manusia.
Johan Saravanamuttu
Editor bersama, surat berita Aliran
15 Jun 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme