Apakah PAC ini satu kumpulan rahsia?

0
597
Source: theedgemarkets.com

Ahli-ahli parlimen dalam PAC adalah dipilih oleh rakyat; oleh itu, sebarang tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka haruslah dilaksanakan secara terbuka, ujar WH Cheng.

Adalah amat mendukacita sekali apabila kita mendapati ada di kalangan kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang telah mencadangkan supaya kebebasan bersuara di kalangan ahli-ahli Jawatankuasa Kira-kira Awam (Public Accounts Committee – PAC) disekat.

Ini agar maklumat berhubung dengan penyiasatan terhadap penyalahgunaan kuasa dan rasuah di dalam kerajaan yang diterajui oleh BN tidak disalurkan kepada media dan orang ramai.

Persoalan di sini adalah, adakah para pemimpin BN lebih gemar PAC ini berfungsi sama seperti satu kumpulan rahsia agar kesemua bentuk maklumat berkepentingan umum disekat daripada diketahui rakyat jelata?

Adakah para pemimpin BN ini turut mempunyai pelbagai kepentingan peribadi di sebalik penyalahgunaan kuasa dan rasuah di dalam jentera kerajaan selama ini?

Jika sekiranya larangan tersebut benar-benar diterima oleh kerajaan BN dan dikuatkuasakan, maka adalah amat jelas bahawa kerajaan BN ini sememangnya mempunyai pelbagai masalah yang ingin dirahsiakan daripada umum.

Ya, rahsia ribuan jenis salahlaku dan rasuah di dalam kerajaan yang mempunyai kaitan rapat ataupun secara langsung dengan begitu ramai pemimpin BN yang telah menyebabkan negara kita kehilangan berbilion-bilion ringgit hampir pada setiap tahun.

Disebabkan itulah, defisit belanjawan kerajaan mencapai kenaikan yang begitu mendadak pada setiap tahun, kerugian dan kehilangan asyik mencecah bukan ribuan, malah berbilion ringgit setiap kali laporan Juru Audit Negara dibentangkan. Ianya seakan-akan seperti suatu perayaan ulangtahun yang sangat diraikan oleh BN pada setiap tahun.

Kenapa rakyat perlu mengetahui apakah yang telah dan sedang berlaku di dalam proses perbelanjaaan kerajaan? Rakyat mempunyai hak untuk berbuat demikian!

READ MORE:  Another U-turn: Despite joining PH, ex-Umno MP to remain as PAC chairman

Hampir pada setiap tahun, rakyat jelata bekerja bertungkus-lumus untuk memperolehi pendapatan untuk kehidupan yang sederhana, menyara keluarga dan diri mereka. Tetapi pada akhirnya terpaksa menyumbangkan sebahagian besar pendapatan mereka kepada kerajaan BN ini dalam bentuk cukai pendapatan dan GST.

Wang yang disalurkan oleh rakyat jelata kepada kerajaan sebagai cukai pendapatan dan GST ini adalah bertujuan untuk pelbagai jenis pembangunan dan bantuan yang dapat memanfaatkan rakyat dan negara pada keseluruhannya. Dana yang dikumpul oleh kerajaan ini sebenarnya adalah wang rakyat ataupun lebih tepat lagi, dana umum.

Dana umum ini sebenarnya bukan hak milik mutlak perdana menteri ataupun mana-mana menteri kabinet serta para pegawai kanan kerajaan. Pemimpin negara, menteri-menteri dan para penjawat awam kanan sebenarnya dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dana umum tersebut untuk kebaikan rakyat jelata dan negara

Dana umum ini adalah untuk membangunkan negara, membantu rakyat jelata yang memerlukannya, serta memperoleh segala kemudahan untuk memastikan keselesaan rakyat di seluruh negara.

Rakyat selaku pembayar cukai adalah juga dianggap sebagai pihak yang turut mempunyai kepentingan di dalam hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan dana umum dan belanjawan negara.

Oleh yang demikian, jika sekiranya dana umum tersebut disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tertentu di dalam kerajaan, baik perdana menteri, menteri kabinet ataupun mana-mana pegawai kanan kerajaan, rakyat berhak untuk menyoal apa yang telah berlaku. Rakyat juga berhak untuk mengetahui apakah langkah-langkah yang seterusnya untuk membendung masalah tersebut daripada menular.

Untuk itu, segala penyiasatan terhadap penyalahgunaan kuasa dan rasuah di dalam kerajaan yang dijalankan oleh PAC perlulah dilaksanakan secara terbuka. Perlu juga diumumkan kepada rakyat jelata mengenai kedudukan dan hasil siasatan yang dijalankan tersebut.

READ MORE:  Another U-turn: Despite joining PH, ex-Umno MP to remain as PAC chairman

PAC adalah dibentuk oleh institusi parlimen; justeru daripada itu, ianya berstatuskan sebuah jawatankuasa peringkat parlimen yang dianggotai oleh ahli-ahli parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.

Ahli-ahli parlimen ini adalah dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya umum. Oleh itu, sebarang tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka haruslah dilaksanakan secara terbuka dan bukannya secara tertutup atau dirahsiakan.

Persoalan yang seterusnya, adakah PAC ini merupakan satu jawatankuasa parlimen yang benar-benar bebas daripada sebarang kongkongan pihak pengurusan parlimen dan kerajaan?

Apa yang kita sedang perhatikan selama ini adalah kebanyakan ahli-ahli parlimen BN yang menganggotai PAC hanyalah pengikut semata-mata, yang tidak mempunyai sebarang pendirian yang kukuh. Nampaknya, mereka hanya menuruti segala arahan daripada pemimpin BN sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan.

Oleh sebab itulah, beberapa siri penyiasatan PAC sering tertangguh atau terganggu oleh kerana mereka asyik menunggu arahan dan campurtangan daripada “pihak atasan” BN sebelum sesuatu keputusan ataupun pergulungan hasil siasatan dibuat.

Contoh yang paling ketara adalah keanggotaan ahli-ahli parlimen BN di dalam PAC, termasuk pengerusinya, telah digugurkan secara serentak dan digantikan dengan perlantikan yang baru, apabila PAC sedang menjalankan siasatan mereka terhadap skandal RM42bn 1MDB dan skandal RM2.6bn perdana menteri.

Akibat daripada itu, segala prosiding PAC telah digantung dengan begitu lama sehinggakan ia menjejaskan proses siasatan tersebut.

Jadi, sama ada PAC ini benar-benar berkesan dan bebas daripada segi peranannya, rakyat jelata adalah jelas.

Jika PAC benar-benar bebas daripada sebarang kongkongan dan campurtangan pemimpin BN, skandal-skandal yang merugikan negara seperti PKFZ ataupun 1MDB serta penyelewengan di dalam kerajaan secara berterusan tidak akan berlaku.

Thanks for dropping by! Apart from the views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed, the opinions in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation of whatever amount you can afford to sustain Aliran. Please make payments to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.

And why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.

Join the conversation

avatar
750
  Subscribe  
Notify of