Hentikan perkahwinan kanak-kanak!

0
566

Biarkan anak-anak kita menikmati zaman kanak-kanak mereka tanpa dibebani dengan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh orang dewasa, ujar Azrine Razak.

stop child marriages
Graphic: respectwomen.co.in

Sejak akhir-akhir ini banyak berita tentang perkahwinan di bawah umur dilaporkan di Malaysia. Yang terkini pasangan remaja Muhd Muaz Mislan, 15, dan Nur Izzati Amiera Ishak, 17, telah berkahwin di Kluang, Johor.

Di Kulim Kedah, perkahwinan remaja Nor Fazira, 12, dan pasangannya Mohd Fahmi, 19, turut mendapat perhatian masyarakat apabila Nor Fazira diceraikan dengan talak tiga setelah setahun berkahwin.

Kita juga digemparkan dengan perkahwinan kanak-kanak yang berusia 12 tahun di Sabah setelah dia diperkosa oleh pengurus restoran yang berumur 40 tahun dan mangsa teleh dijadikan isteri kedua.

Adakah perkahwinan bawah umur kini menjadi trend di Malaysia? Apakah kesannya terhadap kanak-kanak?

Perkahwinan di bawah umur atau lebih sinonim lagi dikenali sebagai “perkahwinan kanak-kanak” bukan isu baru di Malaysia. Malah perkahwinan kanak-kanak juga banyak berlaku di negara-negara Islam lain seperti Pakistan, Afganistan dan Iran.

Di Malaysia, perkahwinan kanak-kanak tidak terhad dalam kalangan masyarakat Melayu. Menurut data yang diperolehi dari Bancian Keluarga dan Populasi pada tahun 2000, sebanyak 6,800 remaja perempuan yang berusia di bawah 16 tahun dilaporkan telah berkahwin. Daripada jumlah itu 2,400 adalah Melayu, diikuti dengan Cina (1,600), Orang Asli (1,550), India (600) dan lain-lain (600).

Kebiasaannya, masyarakat Muslim mengatakan perkahwinan kanak-kanak tidak salah dan tidak bertentangan dengan Islam kerana Nabi Muhammad SAW mengahwini Aisyah ra ketika beliau berusia sembilan tahun (terdapat perbahasan dan kajian yang dilakukan tentang umur sebenar Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah).

Perlu kita tahu bahawa amalan perkahwinan kanak-kanak pada masa itu bukan sahaja berlaku di tanah Arab tetapi juga di Eropah, China dan lain-lain tamadun kerana pada zaman tersebut sudah menjadi tradisi dan norma masyarakat mengahwinkan anak-anak mereka apabila mencapai tahap aqil baligh tidak kira lelaki atau perempuan.

READ MORE:  Led by Putrajaya, all must tighten measures to end child marriage

Pada pendapat saya, perkahwinan kanak-kanak merupakan satu pencabulan dan pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk mereka berkembang dalam persekitaran yang sihat. Ini kerana perkahwinan yang terlalu awal menyekat mereka daripada menikmati zaman kanak-kanak sewajarnya.

Selain itu, ia turut melibatkan masalah kesihatan mental terutama kepada kanak-kanak perempuan kerana dibebani dengan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu pada usia yang begitu muda. Mereka juga perlu menjadi matang untuk memikul tanggungjawab dan memenuhi kehendak keluarga serta masyarakat untuk menjadi isteri yang sempurna – melakukan kerja-kerja rumah di samping menjaga dan mendidik anak-anak.

Dari segi kesihatan reproduktif pula, kehamilan pada usia yang sangat muda mendedahkan kanak-kanak perempuan kepada risiko keguguran dan komplikasi ketika melahirkan yang tinggi sehingga boleh menyebabkan kematian.

Perkahwinan pada usia yang terlalu muda juga mengakibatkan kanak-kanak ini tidak mendapat pendidikan yang sempurna sehingga ke peringkat yang tertinggi. Ini akan menyekat kemampuan mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil dan pendapatan yang tetap untuk menampung keluarga.

Apabila kedudukan kewangan tidak kukuh, mereka akan cenderung berada di dalam keadaan tertekan terutama bagi yang sudah mempunyai anak. Pasangan muda ini perlu menyediakan keperluan seharian dengan perbelanjaan ekonomi yang tinggi.

Keadaan ini boleh mencetuskan konflik dan jika tidak ditangani dengan bijak dan matang, kecenderungan untuk melakukan keganasan adalah tinggi dan juga boleh menjurus kepada perceraian. Kitaran situasi sebegini adalah salah satu faktor penyumbang di mana kemiskinan dan keganasan diwarisi dari satu generasi ke generasi yang berikutnya.

Kesimpulannya, perkahwinan kanak-kanak banyak memberi impak yang negatif kepada perkembangan mental dan emosi kanak-kanak. Kanak-kanak sepatutnya diberi ruang dan peluang untuk meneroka potensi dan menimba sebanyak mungkin pendidikan atau kemahiran yang boleh diaplikasi untuk masa depan mereka.

READ MORE:  Our children deserve better

Biarkan anak-anak kita menikmati zaman kanak-kanak mereka tanpa dibebani dengan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh orang dewasa. Biarkan zaman kanak-kanak mereka dipenuhi dengan warna-warna ceria supaya zaman itu menjadi kenangan yang terindah dalam hidup mereka.

Azrine-RazakAzrine Razak bertugas sebagai Pegawai Program dalam unit Advokasi, Khidmat Undang-undang dan Pendidikan Awam di Sisters in Islam. Beliau seorang isteri dan ibu kepada tiga orang cahaya mata.

Azrine mengambil bahagian dalam Bengkel Penulis Muda dengan thema Good Governance, Gender and Vulnerable Groups, anjuran Aliran dengan sokongan Canada Fund for Local Initiatives.

Ujar beliau: “Bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Aliran memberi saya banyak pendedahan tentang skil penulisan yang pelbagai. Ia juga menjadikan saya lebih yakin untuk terus menulis!”

Sign Aliran's 'Save our Democracy" petition
Sign Aliran's petition calling for a review of the decision to grant Riza Aziz a DNAA
Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments